Ramai Mama Papa tertanya-tanya, “Bila anak dah cucuk vaksin sekali, bukankah itu dah cukup untuk melindungi daripada penyakit? Kenapa masih kena vaksin booster lagi?”
Soalan ni sangat biasa ditanya, dan penting untuk kita faham sebab ia melibatkan perlindungan anak dalam jangka masa panjang.

Vaksin ibarat “latihan ketenteraan” untuk sistem imun anak dengan suntikan pertama memberi pengenalan, tapi untuk pastikan askar-askar imun kuat dan bersedia lawan penyakit, mereka perlu “latihan tambahan” iaitu booster.
Bagi menjawab kekeliruan Mama Papa tentang vaksin booster ini, Dr. Jovitra Girubaharan, Pakar Perunding Pediatrik di Bukit Tinggi Medical Centre (BTMC), akan berkongsi kenapa vaksin booster tetap penting walaupun anak sudah menerima vaksin dos pertama.
1. Ramai Mama Papa kata kalau anak dah cucuk (sesuatu vaksin) sekali, kenapa masih perlu cucuk booster lagi? Bukankah sekali cukup untuk “kebal”?
Vaksin memainkan peranan untuk menaikkan tahap antibodi badan kita terhadap sesuatu kuman yang spesifik.
Cara kerja pembentukan antibodi tersebut ialah dengan kenaikkan tahap antibodi di dalam badan secara berfasa.
Dengan dos pertama, vaksin akan memulakan proses pembentukan antibodi jangka masa pendek dan dengan dos kedua dan seterusnya antibodi jangka masa panjang akan dihasilkan yang dipanggil built in memory.
Dos booster memainkan peranan yang penting kerana dalam tempoh masa yang panjang tahap antibodi badan kita akan menurun dan tahap yang rendah ini mungkin tidak mencukupi untuk menghalangi suatu penyakit.
2. Ada juga yang risau, makin banyak dos vaksin, makin tinggi risiko kesan sampingan. Betul ke vaksin yang berulang-ulang tu lebih bahaya?

Tidak , dos booster vaksin tidak berbahaya!
Secara ringkas vaksin itu hanya merupakan cebisan virus atau komponen kecil virus yang tidak boleh mendatangkan penyakit dan tidak boleh berreplika di dalam badan kita.
Andai kata kita mendapat penyakit yang dikatakan ini, virus sepenuhnya berada di dalam badan kita dan boleh berreplika sehingga berjuta juta kali. Virus yang menjangkiti kita ini akan merebak ke setiap sistem badan kita dan menghasilkan simptom simptom penyakit tersebut.
Sesetengah virus tidak boleh dihapuskan dan akan sentiasa berada di dalam badan kita dan boleh mendatangkan masalah apabila usia kita semakin meningkat.
3. Kenapa sesetengah vaksin perlu 2–3 kali, tapi ada vaksin lain hanya sekali seumur hidup sudah cukup?

Kebanyakan vaksin memerlukan dua dos untuk mencapai tahap imunisasi yang disarankan. Walau bagaimanapun, ada sesetengah vaksin yang diberikan satu dos sahaja.
Ini kerana, vaksin tersebut adalah live attenuated vaksin yang bermaksud vaksin separa hidup yang telah di lemahkan.
Vaksin sebegini tidak bahaya, tetapi boleh mendorong sistem imun badan kita untuk menghasilkan tahap antibodi yang lebih tinggi apabila diberi pendedahan walaupun pendedahan itu sekali sahaja.
4. Kalau anak terlepas dos booster ikut jadual, adakah masih selamat kalau ambil lewat? Atau kena mula semula dari awal?
Ya, sememangnya selamat untuk diambil pada bila-bila masa.
Kita tidak perlu bermula dari dos pertama, tetapi akan catch up atau bersambung dengan dos yang terlepas dan berterusan dengan jadual vaksin KKM yang disarankan.
5. Ada orang kata sistem imun anak jadi “lemah” sebab selalu bergantung pada vaksin berulang. Betulkah vaksin booster boleh buat imuniti anak-anak menjadi lebih lemah?

Tidak . Vaksin booster cuma akan mendorong badan untuk mengingat kembali antibodi yang perlu dihasilkan untuk melawan sesuatu jenis kuman dan bersedia untuk membentuk antibodi terhadap kuman tersebut sekiranya kita dijangkiti.
Dengan kata ringkas, vaksin booster ni umpama memberi ulangkaji kepada badan supaya bersedia untuk berlawan dan mengatasi kuman yang berbahaya tersebut.
Dengan tahap imun yang mantap dan bersedia, kita boleh menghalang penyakit berbahaya seperti ini dari awal lagi dan tidak akan mengalami simptom-simptom atau komplikasi yang serius daripada penyakit yang telah diberikan vaksin ini.
6. Kenapa ada kanak-kanak yang walaupun dah lengkap vaksin MMR, masih boleh kena campak?

MMR merupakan vaksin yang sangat berkesan dimana tahap imuniti terhadap Measles yang dicapai adalah 90% sekiranya diberikan pada umur 9 bulan dan 95% sekiranya diberikan pada umur 12 bulan.
Sekiranya ramai kanak- kanak yang terlepas vaksin MMR, penularan penyakit tersebut boleh menyebabkan viral load yang tinggi di sesuatu kawasan persekitaran.
Ini boleh menyebabkan kanak-kanak yang lemah sistem ketahanan badan mendapat penyakit tersebut walaupun telah diberikan vaksin MMR.

Sekiranya semua kanak-kanak menerima vaksin MMR , kita akan membentuk sebuah perisai ghaib yang melindungi semua kanak-kanak daripada dijangkiti Measles. Ini bermakna virus campak ini tidak boleh menjangkiti seorang pun dalam komuniti kita.
Dengan cara herd protection ini, bayi kecil yang belum cukup umur untuk menerima vaksin MMR dan kanak-kanak yang lemah sistem pertahanan badan juga secara langsung akan dilindungi.
7. Adakah bayi atau kanak-kanak yang badan “kecil” atau kurang sihat tak sesuai ambil booster terlalu rapat jaraknya?
Tidak. Kanak-kanak yang berbadan kecil tidak mempunyai masalah dengan pengambilan vaksin mengikut jadual KKM.
Kita perlu memahami konsep vaksin yang memerlukan sistem imunisasi yang teguh untuk membentuk tahap antibodi yang memuaskan.
Kanak-kanak harus mengambil pemakanan yang sihat supaya boleh membesar dan mampu membuat antibodi untuk menghalang penyakit berjangkit. Kandungan protein yang mencukupi amat penting sebagai bahan asas untuk membentuk sistem imun yang kuat.

Ini akan membolehkan sistem imun kita membentuk “memori antibodi” yang mencukupi apabila vaksin booster diberi.
Kanak-kanak yang kurang sihat digalakan mengambil vaksin apabila sihat. Ini kerana semasa tidak sihat, badan kita sudah pun sibuk melawan sesuatu kuman . Pada masa ini, sistem imun kita tidak mampu untuk menghasilkan antibodi yang mencukupi sekiranya diberikan vaksin pada masa yang sama.
8. Betul ke vaksin booster hanyalah strategi bisnes farmasi untuk bagi lebih banyak dos, bukan betul-betul keperluan kesihatan?
Tidak betul!
Booster dos hanya diberikan sekiranya penularan sesuatu penyakit tersebut membawa kepada simptom atau komplikasi yang serius.
Tanpa pengetahuan kita , kita sebenarnya telah berjaya menghindari pelbagai jenis komplikasi penyakit berjangkit yang boleh membawa kepada kemudaratan jangka masa panjang atau lebih teruk lagi komplikasi yang boleh membawa kepada maut.
9. Kenapa vaksin MMR kena 2 kali, tapi vaksin BCG (TB) cukup sekali je — apa beza cara ia “mendidik” antibodi anak?

Vaksin BCG adalah untuk menghalang TB selaput otak (TB meningitis)Tb dan Tuberkulosis yang tersebar (miliary Tuberculosis)di kalangan bayi yang baru lahir. Satu dose didapati mencukupi kerana pengambilan vaksin BCG semasa lahir menghampiri 100% di kalangan rakyat Malaysia.
Ini telah memberikan perlindungan yang mencukupi dan boleh dilihat dengan pengurangan kes TB Meningitis dan Miliary Tb di kalangan kanak-kanak.
Analisa terhadap pemberian semula vaksin BCG sebagai booster tidak menunjukkan sebarang perbezaaan dari segi efikasi pada masa sekarang, mungkin kerana kes TB menigitis dan miliary sudah pun berkurang.
Kes Measles (campak) di kalangan kanak-kanak belum menunjukan pengurangan pada tahap yang memuaskan dan masih berlaku secara berleluasa apabila berlaku outbreak. Ini mungkin disebabkan oleh kekurangan imuniti dikalangan masyarakat kerana ada yang terlepas vaksin.
Sekiranya ramai kanak-kanak tidak menerima vaksin MMR pada masa yang disarankan , ada kemungkinan besar virus campak boleh menular di kalangan komuniti dan apabila kandungan virus itu tinggi di dalam komuniti, anak-anak kita senang dijangkiti penyakit tersebut, walaupun sudah mendapat satu dos vaksin.
Disebabkan keadaan ini kita harus mendapat 2 dos MMR untuk mengelakan dijangkiti penyakit Measles dan untuk menguatkan herd immunity di dalam komuniti kita.
10. Ramai mak ayah rasa anak dah cukup kuat sebab pernah kena demam campak ringan masa kecil. Jadi kenapa masih wajib booster MMR walaupun dah pernah kena?

Penyakit campak Measles mempunyai simptom yang agak serius selain daripada ruam merah yang berbintik kecil di badan. Anak-anak biasanya akan mempunyai demam tinggi selama 5 hari berterusan, conjunctivitis mata dan sering sekali mendapat kuman paru paru yang serius akibat penyakit Measles.
Demam campak ringan yang dikatakan berkemungkinan besar bukan campak Measles yang sebenar tetapi boleh jadi kuman virus biasa dengan ruam virus (viral fever with viral exanthem).
Demam campak ringan yang disebutkan ini bukan sebenarnya campak tetapi cuma ruam yang kelihatan apabila mana-mana penyakit virus menjangkiti anak kita .
Di bahagian penghujung penyakit virus tersebut anak-anak kecil boleh mendapat ruam bintik merah yang ringan bermula dari pangkal leher dan akan berakhir di bahagian kaki dalam tempoh beberapa hari.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Plasenta previa atau uri halang laluan bayi? Ini penjelasan pakar untuk Mama. Klik di SINI.