Seiring dengan peningkatan minat rakyat Malaysia terhadap sukan, pakar ortopedik kini melihat peningkatan kes kecederaan yang sebenarnya boleh dicegah lebih awal.
Rakyat Malaysia sememangnya aktif dalam sukan. Gelanggang badminton di negara ini sentiasa penuh pada malam hari bekerja, manakala perlawanan santai bola sepak dan futsal pula sering menjadi aktiviti pilihan pada hujung minggu.
Dalam masa yang sama, pelbagai sukan baharu turut mendapat tempat dalam masyarakat.
Gelanggang Pickleball semakin banyak dibuka di pelbagai lokasi, sukan Padel berjaya menarik minat golongan profesional, manakala acara berintensiti tinggi seperti HYROX pula menjadi pilihan mereka yang ingin menguji kemampuan fizikal mereka ke tahap maksimum. Semuanya ini merupakan gambaran yang amat menggalakkan.
Namun begitu, di sebalik trend yang menggalakkan ini, terdapat satu isu yang semakin membimbangkan di klinik-klinik seluruh negara apabila terdapat peningkatan kes kecederaan tisu lembut dan ligamen dalam kalangan peminat sukan serta individu yang kembali aktif bersukan sebelum tubuh mereka benar-benar bersedia.
Lebih membimbangkan, kebanyakan kecederaan ini berlaku kerana telah diabaikan terlalu lama.
Pakar Bedah Ortopedik Trauma, Sukan & Pembedahan Robotik di Pusat Perubatan Sunway Damansara, Dr. Gan Eng Cheng dan Dr. Raymond Yeak Dieu Kiat mengingatkan bahawa rasa lenguh atau ketidakselesaan yang dianggap ringan mungkin sebenarnya petanda awal kecederaan tisu lembut atau ligamen yang lebih serius.
Menurut mereka, pemeriksaan awal boleh menjadi faktor penentu sama ada pemulihan berjalan lancar atau mengambil masa berbulan-bulan. Lebih serius lagi, dalam sesetengah kes, pesakit perlu menjalani pembedahan.
‘Impak Rendah’ Tidak Semestinya Bermaksud ‘Risiko Rendah’
Salah satu faktor yang menjadikan sukan-sukan ini semakin popular adalah persepsi bahawa ia mudah untuk diceburi dan “mesra pemula”.

Kredit gambar: Sandra Sev Jarocka / Shutterstock.com 
Kredit gambar: Drazen / Shutterstock.com
Namun, ramai tidak menyedari kesan biomekanikal yang terdapat pada sukan-sukan tersebut. Sebagai contoh, Pickleball dan Padel melibatkan banyak pergerakan sisi yang berulang serta pertukaran arah yang pantas, sekali gus memberi tekanan berterusan pada bahu, siku dan lutut.
HYROX pula menggabungkan ketahanan kardiovaskular dan kekuatan fungsional yang memberi beban secara serentak kepada otot, tendon dan tisu penghubung.
Rakyat Malaysia sememangnya sudah lama terbiasa dengan kecederaan tisu lembut berkaitan sukan, seperti kecederaan otot hamstring semasa bermain futsal atau buku lali terseliuh ketika bermain badminton.
Kecederaan seperti ini sudah dianggap biasa kerana ia kerap berlaku. Namun, perubahan yang berlaku masa kini adalah berkenaan golongan yang terdedah untuk mengalami kecederaan tersebut serta faktor berlakunya kecederaan. Sukan-sukan baharu ini menarik ramai individu yang bersemangat tetapi kurang bersedia dari segi fizikal.
Mereka terlalu cepat meningkatkan kekerapan dan intensiti latihan tanpa memberi masa kepada tubuh untuk menyesuaikan diri.
Dr. Gan menjelaskan bahawa corak kecederaan berbeza mengikut usia dan keadaan pesakit.

“Pesakit muda biasanya mengalami tendinitis bahu dan siku, terseliuh buku lali, terkoyak ligamen lutut, serta delayed onset muscle soreness (DOMS) atau sakit otot yang muncul lewat selepas bersenam. Bagi pesakit yang lebih berusia pula, kami kerap merawat masalah sakit belakang bahagian bawah dan sakit leher akibat spondilosis, saraf terhimpit, serta keadaan osteoartritis lutut yang semakin teruk. Dalam kalangan warga emas pula, khususnya mereka yang mengalami osteoporosis, jatuh ketika melakukan aktiviti boleh menyebabkan patah tulang,” jelas Dr. Gan.
Golongan individu yang mengalami kecederaan juga semakin berubah.
Mereka bukan lagi hanya melibatkan atlet profesional yang terlalu memaksa diri, tetapi juga golongan pemula yang terlalu cepat meningkatkan kekerapan serta intensiti aktiviti, melebihi kemampuan tubuh mereka untuk menyesuaikan diri.
Menurut Dr. Gan, keadaan ini sering berpunca daripada gabungan beberapa faktor yang sering ditemui dalam kebanyakan kes, termasuk sikap terlalu kompetitif, pemanasan badan yang tidak mencukupi, kurang tidur, tekanan yang tinggi, pemakaian kasut yang tidak sesuai, serta kurang pengalaman dalam sukan yang diceburi.
Setiap faktor ini meningkatkan risiko kecederaan. Apabila beberapa faktor tersebut berlaku serentak, kecederaan sering terjadi terutamanya bagi kecederaan yang melibatkan sakit otot biasa sehinggalah kepada koyakan otot gastroknemius (lebih dikenali sebagai otot betis), koyakan tendon Achilles, koyakan anterior cruciate ligament (ACL) atau ligamen krusiat anterior, serta pelbagai jenis kecederaan bahu dan siku.
Apabila “Biarkan Saja, Nanti Baik Sendiri” Tidak Lagi Mampu Menghilangkan Kesakitan
Salah satu masalah terbesar berkaitan kecederaan tisu lembut adalah kecederaan ini sering dipandang ringan atau diabaikan.
Tidak seperti patah tulang, kecederaan tisu lembut kebiasaannya tidak menyebabkan kesakitan yang teruk secara serta-merta atau menunjukkan tanda yang jelas. Sebaliknya, ia biasanya bermula dengan rasa tidak selesa atau sengal ringan.

Dr. Raymond menjelaskan bahawa pada peringkat inilah kebanyakan pesakit terlepas peluang untuk mendapatkan rawatan awal.
Menurut beliau, kecederaan pada sendi yang tidak menanggung berat badan selalunya paling lama diabaikan, terutamanya bahu.
“Ramai menganggap ketidakselesaan pada bahu hanyalah berpunca daripada duduk terlalu lama di meja kerja atau sekadar ketegangan otot biasa. Oleh sebab bahu merupakan sendi yang paling fleksibel dalam tubuh manusia, ramai akan mengubah pergerakan mereka tanpa sedar untuk mengurangkan rasa sakit. Mereka cuba menyesuaikan diri dengan masalah itu, bukannya merawat punca. Inilah antara sebab utama masalah rotator cuff sukar dikesan lebih awal hingga kerosakan menjadi lebih serius,” kata Dr. Raymond.
Mengetahui perbezaan antara sakit otot biasa dan kecederaan sebenar amat penting.
DOMS biasanya akan kelihatan ketara antara 24 hingga 48 jam selepas bersukan, menyebabkan rasa sakit yang lebih menyeluruh dan tidak tertumpu pada satu kawasan, serta biasanya akan beransur lega apabila badan mula bergerak atau dipanaskan.
Sebaliknya, kecederaan sebenar pula menyebabkan kesakitan yang tajam dan tertumpu pada bahagian tertentu – dirasai ketika melakukan aktiviti dan bertambah sakit apabila bergerak, serta kebiasaannya berlaku pada satu bahagian badan sahaja.
Seperti yang dijelaskan Dr. Raymond, “Jika anda boleh tunjuk dengan tepat bahagian yang sakit, itu merupakan menjadi petanda yang perlu diberi perhatian serius.”
Meneruskan aktiviti walaupun tubuh telah memberi isyarat amaran boleh membawa kesan yang melangkaui kecederaan asal. Otak akan secara automatik mengubah cara pergerakan tanpa disedari untuk mengelakkan kesakitan, tetapi ini memberi tekanan kepada bahagian lain.
Sebagai contoh, kecederaan buku lali yang tidak dirawat boleh berkembang menjadi masalah pada pinggul, manakala koyakan kecil pada meniskus pula boleh bertambah teruk hingga menjadi koyakan penuh dan memerlukan pembedahan.
Menurut Dr. Raymond, meneruskan aktiviti walaupun mengalami ketidakselesaan bukan soal ketahanan terhadap kesakitan, sebaliknya tindakan tersebut boleh mengubah biomekanik tubuh secara aktif hingga mewujudkan masalah baharu yang tidak dijangka.
Pelari dan pemain pickleball merupakan antara golongan yang paling kerap lewat mendapatkan rawatan. Atlet untuk sukan ketahanan pula sering menganggap sakit sebagai sebahagian daripada latihan dan hanya mendapatkan rawatan apabila mereka sudah tidak mampu lagi meneruskan aktiviti.
Sementara itu, pemain pickleball pula sering meremehkan risiko kerana menganggap sukan ini rendah impak, lalu cenderung mengabaikan gerakan pemanasan badan serta persediaan fizikal.
“Kecederaan yang sering berlaku dalam kalangan pemain pickleball termasuk sakit otot, koyakan otot gastroknemius, koyakan tendon Achilles, koyakan ACL, serta kecederaan bahu dan siku. Anggapan bahawa sukan ini rendah risiko itu sendiri sebenarnya adalah faktor risiko,” kata beliau.

Bersukan Dengan Bijak, Bukan Hanya Kekuatan
Perbincangan mengenai kecederaan sukan sering tertumpu kepada punca berlakunya kecederaan. Namun, perbincangan yang lebih penting adalah mengenai apa yang berlaku selepas kecederaan dan bagaimana seseorang pemain mengubah pendekatan mereka terhadap sukan setelah sembuh.
Apabila kecederaan berlaku, tidak ada satu rawatan khusus yang boleh digunakan untuk merawat semua kecederaan.
Kebanyakan kecederaan tisu lembut dan ligamen boleh dirawat tanpa pembedahan dengan mendapatkan rehat yang secukupnya dan menjalani pemulihan berstruktur. Namun, rawatan bergantung kepada tahap kecederaan.
“Kecederaan yang lebih serius seperti koyakan ligamen sepenuhnya atau ketidakstabilan yang berterusan mungkin memerlukan pembedahan, terutamanya jika pesakit ingin kembali bersukan dengan selamat. Setiap kecederaan adalah berbeza, dan rawatan perlu disesuaikan mengikut individu,” jelas Dr. Gan.
Menurut beliau, pembedahan biasanya hanya dipertimbangkan jika tiada kemajuan selepas beberapa bulan rawatan. Lebih awal kecederaan dikesan, lebih tinggi peluang untuk mengelakkan pembedahan.
Namun begitu, pemulihan hanyalah sebahagian daripada keseluruhan proses.
“Banyak kes kecederaan berulang berlaku kerana individu kembali bersukan terlalu awal sebaik sahaja rasa sakit berkurang, walaupun tubuh mereka belum benar-benar pulih sepenuhnya. Pencegahan kecederaan sepatutnya perlu menjadi sebahagian daripada rutin dalam bersukan dan bukan sesuatu yang hanya difikirkan selepas mengalami kecederaan,” kata Dr. Raymond.
Bagi mereka yang bersukan tiga hingga empat kali seminggu, amalkan rutin asas iaitu lakukan pemanasan badan, latihan kekuatan, ambil hari rehat yang mencukupi, dan jangan mengabaikan ketidakselesaan yang berterusan.
Seperti yang ditegaskan oleh kedua-dua doktor, perubahan terbesar yang boleh dilakukan oleh seseorang pemain bukan terletak pada teknik atau jumlah latihan, tetapi pada keupayaan untuk mendengar isyarat tubuh lebih awal.
Sukan Terbaik Adalah Sukan Yang Anda Boleh Terus Lakukan
Dengan keterujaan terhadap bola sepak yang semakin meningkat menjelang Piala Dunia pada Jun ini, lebih ramai dijangka kembali ke padang.
Perkara ini menjadikan pencegahan kecederaan, persediaan fizikal yang betul, dan rawatan awal semakin penting. Kecederaan bola sepak yang biasa seperti koyakan ACL, terseliuh buku lali, dan ketegangan otot boleh dikurangkan dengan persediaan serta pemulihan yang baik.
Minat rakyat Malaysia terhadap sukan adalah sesuatu yang positif dan wajar diraikan. Namun, matlamat sebenar bukan sekadar penyertaan atau prestasi, tetapi untuk terus aktif dalam jangka panjang.
Kesakitan atau ketidakselesaan yang berterusan selepas bersukan tidak seharusnya menjadi sesuatu yang perlu diabaikan. Layari laman web Pusat Perubatan Sunway Damansara untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan ortopedik dan rawatan kecederaan sukan.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak tips tentang keibubapaan untuk Mama Papa DI SINI!


