Artikel Hantavirus ini dikongsikan oleh Dr Lee Kok Soon, Pakar Perunding Perubatan & Penyakit Berjangkit, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), khas buat pembaca Kelab Mama.

Baru-baru ini, berita mengenai wabak hantavirus yang dikaitkan dengan sebuah kapal pelayaran telah menimbulkan kebimbangan, terutamanya selepas beberapa kematian dilaporkan serta penglibatan strain yang mampu merebak secara terhad antara manusia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menekankan bahawa ini tidak dianggap sebagai permulaan pandemik baharu kerana cara penularannya berbeza daripada virus yang sangat mudah berjangkit seperti COVID-191.
Namun, pakar mengingatkan bahawa jangkitan ini tetap tidak boleh dipandang ringan. Bergantung kepada jenis strain, kadar kematiannya boleh mencecah antara 30 dan 40 peratus2.
Menurut Dr Lee Kok Soon, Pakar Perubatan & Penyakit Berjangkit, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), hantavirus bukanlah penyakit baharu dan telah dikenali di peringkat global, khususnya di beberapa bahagian Asia, Eropah, dan Amerika di mana jangkitan bawaan haiwan pengerat terus dilaporkan setiap tahun.
“Adalah normal untuk orang ramai menjadi lebih berwaspada setiap kali penyakit berjangkit baharu muncul dalam laporan media, terutamanya selepas COVID-19. Walaupun kesedaran itu penting, pemahaman tentang bagaimana jangkitan ini sebenarnya merebak serta tahap risiko yang terlibat juga sama penting,” katanya.
Setiap Strain Memberi Kesan Berbeza
Hantavirus bukanlah satu virus tunggal, sebaliknya kumpulan virus bawaan haiwan pengerat yang secara semula jadi menjangkiti haiwan tersebut dan dalam keadaan tertentu boleh menjangkiti manusia.
Setiap strain virus ini memberi kesan yang berbeza pada tubuh. Ada yang menyerang paru-paru dan sistem penafasan, manakala yang lain lebih berkait dengan komplikasi buah pinggang sehingga membawa kepada demam berdarah dengan sindrom buah pinggang (HFRS).
“Di Amerika, beberapa strain hantavirus boleh menyebabkan Hantavirus Pulmonary Syndrome (HPS), satu keadaan serius yang menyebabkan paru-paru dipenuhi cecair sehingga sukar untuk bernafas, dan sistem pernafasan gagal berfungsi,” katanya. “Di Eropah dan Asia pula, hantavirus lebih dikaitkan dengan komplikasi buah pinggang serta masalah pendarahan.”
Wabak ini menarik perhatian dunia kerana ia melibatkan strain Andes, salah satu strain hantavirus yang dikaitkan dengan penularan terhad antara manusia. Namun, cara penularannya sangat berbeza berbanding COVID-19.
Risiko Hantavirus Yang Sering Tidak Disedari

Menurut Dr Lee, jangkitan hantavirus lazimnya berlaku akibat pendedahan kepada persekitaran yang dicemari haiwan pengerat yang dijangkiti, termasuk tikus rumah dan tikus liar.
Virus ini boleh merebak apabila zarah halus daripada air kencing, air liur, atau najis tikus tersebar di udara lalu dihidu manusia. Walaupun jarang berlaku, jangkitan juga boleh berlaku akibat gigitan atau cakaran tikus.
“Perkara yang kelihatan biasa seperti menyapu atau menggunakan vacuum di stor yang tercemar boleh menyebaban zarah ini tersebar ke udara tanpa disedari,” kata Dr Lee.
Sehubungan itu, Dr Lee menasihatkan supaya tidak menyapu secara kering kawasan yang dijangkiti tikus seperti bangunan terbengkalai, gudang berdebu, atau kawasan yang telah lama diabaikan.
Sebaliknya, kawasan yang tercemar disarankan disembur terlebih dahulu dengan bahan pembasmi kuman (disinfectant), dibiarkan selama beberapa minit sebelum dibersihkan menggunakan kain lembap.
Beliau turut menggalakkan langkah pencegahan mudah seperti memakai sarung tangan dan pelitup muka semasa membersih, membuang sampah dengan betul dan memastikan pengudaraan yang baik.
Gejala Hantavirus Boleh Menyerupai Penyakit Biasa

Salah satu cabaran hantavirus dan penyakit berjangkit lain ialah gejala awalnya sering menyerupai penyakit biasa. Pada peringkat awal, pesakit mungkin mengalami demam, sakit badan, keletihan, loya atau pening, simptom yang mudah disalah anggap sebagai influenza, denggi, leptospirosis atau COVID-19.
“Sejarah pendedahan menjadi petunjuk penting, terutamanya jika pesakit baru-baru ini berada di kawasan yang tercemar dengan tikus atau di ruang yang kurang pengudaraan,” katanya.
Doktor biasanya bergantung kepada penilaian klinikal, ujian makmal dan pemeriksaan pengimejan untuk menyokong diagnosis. Dalam kes yang melibatkan komplikasi pernafasan lebih serius, pengimejan dada mungkin menunjukkan pengumpulan cecair di paru-paru, manakala ujian darah mungkin menunjukkan ketidaknormalan kiraan platelet, fungsi buah pinggang atau fungsi hati. Pengesahan biasanya dilakukan melalui ujian makmal khusus seperti PCR atau ujian antibodi.
Walaupun masih belum terdapat rawatan khusus untuk jangkitan ini, Dr Lee berkata perhatian perubatan awal tetap penting kerana penyakit ini boleh melarat dengan cepat apabila simptom pernafasan menjadi lebih serius. Kes yang serius mungkin memerlukan sokongan oksigen, rawatan rapi, atau sokongan dialisis bergantung pada organ yang terjejas.
Kesedaran Amat Penting
Walaupun Malaysia tidak melaporkan sebarang wabak hantavirus setakat ini, Dr Lee berkata perhatian global terhadap virus ini menjadi peringatan penting bahawa jangkitan bawaan haiwan pengerat tidak boleh dipandang remeh.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan persekitaran rumah bersih, menyimpan makanan dengan baik serta mengambil langkah berjaga-jaga tambahan ketika membersihkan kawasan lama atau berdebu, khususnya selepas banjir, kerja pengubahsuaian atau di kawasan yang telah lama ditinggalkan.
“Amalan pencegahan yang mudah dan kaedah pembersihan yang selamat boleh mengurangkan risiko pendedahan dengan ketara. Jika gejala menjadi lebih teruk selepas kemungkinan terdedah kepada tikus, adalah penting untuk mendapatkan perhatian perubatan dengan segera,” tambahnya.
Rujukan:
- ‘Limited’ hantavirus outbreak not the start of pandemic, says WHO – CNA
- MOH says no domestic hantavirus cases, no Malaysians involved in outbreak
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan info terkini daripada pakar kesihatan di Malaysia melalui ruang INI.
