Setiap kali datang haid, kebanyakan wanita cuma perasan jumlah darah atau rasa sakit yang dialami. Tapi tahu tak, warna darah haid juga boleh bagi banyak petunjuk tentang apa yang berlaku dalam badan kita.
Dari hormon, jangkitan, sampai tanda kehamilan semuanya boleh dikesan awal kalau kita lebih peka dengan warna darah yang keluar tu.
Walaupun kebanyakan perubahan warna darah haid adalah normal, penting juga untuk tahu bila perlu berjaga-jaga dan bila masa sesuai untuk jumpa doktor. Jadi, jom Mama Siti kongsikan 7 jenis warna darah haid yang biasa dialami wanita, dan maksud di sebaliknya.
7 Jenis Warna Darah Haid yang Kita Perlu Tahu
1. Warna Merah Jambu

Kadang-kadang, masa awal-awal datang period tu, ada lendir keputihan bercampur dengan darah merah segar. Bila dua benda ni bergabung, warna darah tu pun boleh jadi lebih cerah macam merah muda.
Kalau darah haid kita keluar sikit je pun, warna merah jambu ni boleh muncul. Tapi bukan itu je tau, kadang-kadang darah haid berwarna merah muda ni juga boleh jadi petanda hormon estrogen dalam badan kita tak cukup.
Biasanya, ini berlaku kalau haid Mama sangat sedikit atau Mama tengah ambil pil perancang jenis hormon.
Tapi Mama kena tahu juga, warna darah merah muda ni bukan semata-mata sebab hormon je. Ia juga boleh berkait dengan masalah kesihatan macam anemia, pemakanan yang tak seimbang, atau bila berat badan turun secara mendadak.
2. Warna Jingga atau Orange

Selain warna merah jambu, darah haid juga kadang boleh jadi jingga atau orange, tau. Ini biasanya berlaku bila darah bercampur dengan cecair dari serviks kita, jadi warnanya pun nampak lebih pudar. Selalunya warna ni muncul masa awal-awal atau hujung-hujung kitaran haid.
Tapikalau Mama perasan darah warna orange ni datang bersama bau tak best, rasa gatal, atau rasa tak selesa dekat bawah tu hati-hati ya. Boleh jadi itu bukan darah haid biasa, tapi tanda jangkitan macam vaginosis bakterialis.
Sebenarnya, kadang yang keluar tu bukan darah pun, tapi keputihan yang tak normal berwarna oren.
Lagi satu, darah warna oren juga boleh jadi tanda awal kehamilan dipanggil perdarahan implantasi. Ini berlaku bila telur yang dah disenyawakan ‘melekat’ pada dinding rahim. Selalunya jadi dalam 10 ke 14 hari lepas bersama.
Kalau Mama ada keluar darah warna ni dan masa tu pula haid dah lama tak muncul-muncul mungkin dah sampai masa untuk buat ujian kehamilan ya, Mama.
3. Warna Merah Terang

kalau darah haid tu berwarna merah terang itu tandanya darah tu masih segar dan mengalir dengan lancar dari rahim. Maksudnya, darah tu belum sempat teroksida, sebab tu la warnanya tak gelap.
Warna merah terang ni biasanya keluar masa awal-awal haid, dan lama-lama dia akan berubah jadi lebih gelap bila dah dekat penghujung kitaran.
Tapi ada juga sesetengah wanita yang alami darah merah terang sepanjang tempoh haid. Kalau Mama pun begitu, jangan terus risau ya tapi ambil perhatian kalau ada tanda-tanda lain yang pelik.
Sebab dalam beberapa kes, darah haid merah terang yang luar biasa banyak atau keluar terlalu lama, boleh jadi petanda awal kanser serviks. Lagi-lagi kalau disertai dengan simptom lain macam:
- Mama merasa pening, sangat letih, atau sesak nafas semasa haid.
- Mama mengalami sakit perut yang disertai dengan pendarahan yang berlebihan.
- Haid Mama berlanjutan lebih dari 7 hari.
- Mama terpaksa menukar pad setiap 1 atau 2 jam kerana terlalu penuh.
4. Warna Merah Gelap

Kalau darah haid Mama berwarna merah tua dan ada gumpalan-gumpalan kecil atau besar itu normal je, Mama. Selalunya benda ni berlaku bila rahim kita tak dapat mengecut atau berkontraksi dengan baik, jadi darah tu ‘terperap’ sekejap dalam rahim sebelum keluar.
Disebabkan darah tu dah lama sikit dalam badan, dia pun mula menggumpal dan warna pun jadi merah tua.
Warna merah tua ni juga biasa muncul masa hujung-hujung haid, bila aliran darah dah mula perlahan. Jadi, jangan cepat panik ya kalau nampak gumpalan dan warna gelap sikit, itu salah satu fasa biasa dalam kitaran haid kita.
5. Warna Coklat Muda atau Gelap

Kalau darah haid Mama keluar warna cokelat tak perlu risau ya. Itu biasanya bermaksud darah tu dah lama ‘tersimpan’ dalam rahim sebelum dikeluarkan. Jadi, bila darah tu lama dalam badan, dia pun teroksida dan bertukar warna jadi cokelat, sama ada cokelat muda atau cokelat gelap.
Warna ni selalunya keluar masa awal-awal haid nak datang, atau masa hujung-hujung bila aliran darah dah makin perlahan. Normal je, Mama.
Tapi kadang-kadang, darah cokelat juga boleh jadi petanda sesuatu yang tak kena, contohnya keguguran awal atau kehamilan ektopik (iaitu kehamilan di luar rahim). Kalau Mama tengah cuba untuk hamil dan keluar darah macam ni, elok juga periksa dengan doktor ya.
Satu lagi, tekstur darah haid kita pun boleh berbeza-beza. Ada yang keluar macam air (encer), ada juga yang likat, kental atau melekit. Biasanya kalau darah tu cair atau berair, warnanya lebih ke arah merah muda. Tapi kalau pekat atau melekit, warnanya selalunya cokelat atau gelap sikit.
6. Warna Keabuan

Kalau Mama perasan darah haid yang keluar tu berwarna merah keabuan itu mungkin tanda ada jangkitan kat bawah sana. Contohnya, boleh jadi jangkitan bakteria atau penyakit kelamin.
Biasanya bila ada jangkitan, pH dalam faraj kita jadi tak seimbang. Faraj yang sihat sepatutnya ada pH yang berasid sikit. Tapi kalau pH tu jadi terlalu beralkali (basa), bakteria baik pun boleh terganggu, dan bakteria jahat pula mudah membiak.
Kalau Mama perasan darah tu berbau tak menyenangkan atau ada bau pelik jangan tunggu lama ya. Elok terus jumpa doktor untuk periksa dan dapatkan rawatan awal. Lagi cepat dirawat, lagi cepat lega!
7. Warna Hitam

Kalau darah haid Mama keluar warna hitam, jangan terus panik ya. Selalunya ini berlaku sebab darah tu dah lama ‘tersimpan’ dalam rahim sebelum sempat keluar. Mula-mula dia akan jadi warna cokelat dulu, kemudian makin gelap jadi hitam.
Tapi hati-hati juga Mama. Darah hitam kadang boleh jadi petanda ada sesuatu yang menghalang darah daripada keluar dengan lancar mungkin ada penyumbatan dalam faraj.
Kalau Mama alami darah haid hitam bersama gejala lain macam demam, susah nak buang air kecil, gatal-gatal atau bengkak di kawasan faraj baik terus jumpa doktor ya. Lebih cepat diperiksa, lebih cepat dirawat.
Bila Mama Perlu Bimbang?
Walaupun kebanyakan variasi darah haid adalah normal, ada beberapa tanda yang memerlukan perhatian perubatan:
- Pendarahan di luar siklus haid yang tidak biasa.
- Darah berwarna merah kelabu atau berbau sangat busuk.
- Ketulan darah yang sangat besar dan terjadi secara berterusan.
- Sakit haid yang sangat teruk dan tidak lega dengan ubat tahan sakit.
- Perubahan signifikan pada siklus haid, seperti tempoh yang tiba-tiba menjadi sangat panjang atau sangat pendek.
Sebenarnya, warna jenis darah haid yang berubah-ubah dalam satu kitaran tu perkara biasa je, Mama. Boleh jadi merah muda, kekuningan, merah terang, merah tua, cokelat sampai la hitam pun masih dalam kategori normal kalau tiada gejala pelik lain yang ikut sekali.
Jenis darah haid pun boleh dipengaruhi oleh faktor usia contohnya masa remaja, atau bila badan kita mula masuk fasa pra-menopaus.
Cuma apa yang penting, Mama perlu sentiasa peka dengan perubahan tubuh sendiri. Kalau ada sesuatu yang rasa pelik dari biasa, jangan tunggu lama-lama. Lebih baik terus periksa dengan doktor untuk pastikan semuanya okay.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak info tentang kesihatan Mama Papa dan anak-anak di SINI.
