Biasalah mana-mana anak kecil pasti suka mengadu sesuatu perkara kepada ibu dan ayahnya. Sikap suka mengadu ini nampak remeh tetapi ia harus diberi perhatian kerana ia boleh membuatkan karektor anak kelihatan tidak baik. Penyebab utama anak suka mengadu sama sahaja seperti orang dewasa. Mereka cuba menunjukkan kekuatan, meningkatkan rasa keyakinan diri atau sekadar inginkan perhatian. Mereka beranggapan dengan mengadu, ia boleh membuatkan dirinya disukai oleh ibu bapa atau guru di sekolah.
Tidak semua perbuatan anak suka mengadu itu tidak betul, jika dilihat dari sudut positif, si anak yang suka mengadu membuktikan dirinya faham tentang peraturan dan boleh membezakan perkara yang baik dan sebaliknya. Bagaimanapun pada sesetengah perkara sikap mengadu boleh dilihat sebagai kurang keyakinan diri apabila mereka menghadapi masalah dan tidak tahu macam mana ingin menyelesaikan sendiri. Oleh itu sebagai orang dewasa, kita perlu faham mengapa si anak itu mengadu, barulah boleh membuat penyelesaian dengan lebih bijak.
Ini tindakan yang boleh ibubapa lakukan:
- Apabila mendengar aduan anak, ada baiknya ibu bapa siasat apa situasi sebenar. Jangan terlalu mudah percaya dengan kata-kata aduan. Mereka perlu diajar yang tidak semua aduan itu menunjukkan mereka dalam pihak yang benar. Contoh si abang mengadu si adik main permainannya. Ajar mereka untuk mengadu apabila melibatkan perkara yang berbahaya dan mengancam keselamatan dirinya seperti mengadu jika ternampak si abang atau adik memanjat kabinet dapur.
- Jika anak-anak anda sering mengadu antara satu sama lain hampir setiap hari, cuba alihkan perhatian mereka kepada perkara lain sehingga mereka lupa untuk mengadu. Beritahu kepadanya anda lebih gembira mendengar dia bercerita tentang apa yang dilakukan berbanding aduannya.
- Apabila anak mengadu, mungkin anda boleh berbincang dengannya mengapa masalah yang diadukannya itu timbul. Kemudian sama-sama memikirkan jalan penyelesaian. Misalnya jika dia mengadu, kakaknya suka menyembunyikan barang miliknya. Ajak dia fikir kenapa ia boleh berlaku. Adakah si kakak sekadar suka bergurau dengan adik atau benar-benar mahu menyakitkan hati adiknya. Kemudian sama-sama mencari jalan penyelesaian supaya kakak tidak lagi melakukan perkara tersebut.