Google dan YouTube hari ini memperkenalkan Bijak Digital Bersama Google dan YouTube, satu inisiatif yang bertujuan untuk melengkapkan keluarga di Malaysia dengan ilmu, alat dan keyakinan untuk menelusuri dunia digital dengan selamat.
Melalui pengalaman langsung dan perbincangan pakar, program ini memperkasa keluarga untuk membina hubungan yang lebih sihat dan berdaya tahan dengan teknologi dan memupuk perubahan dari “pemantauan aktif” ke keyakinan dan bimbingan digital dalam jangka masa panjang.

Ini adalah rentetan daripada satu tinjauan YouGov yang dijalankan bagi pihak Google tentang persepsi dan tingkah laku berkaitan keselamatan AI yang menunjukkan satu “jurang ketahanan” dalam kalangan keluarga di Malaysia.
Walaupun 67% ibu bapa yakin untuk membimbing anak-anak mereka tentang AI, masih ramai yang menghadapi kesukaran untuk menterjemahkan keyakinan itu kepada amalan keselamatan dalam talian yang konsisten dan berkesan.
Tinjauan tersebut juga menunjukkan beberapa cabaran utama yang dihadapi ibu bapa di Malaysia:
- 3 daripada 5 ibu bapa (56.8%) menyatakan keselamatan atas talian dan privasi sebagai kebimbangan utama mereka, namun hanya 2 daripada 5 (38.9%) berasa yakin tentang melindungi data peribadi anak mereka atas talian.
- Lebih daripada separuh ibu bapa (54.5%) bimbang tentang pendedahan kandungan, manakala 86.1% percaya bahawa anak-anak mereka berisiko terdedah kepada maklumat yang salah atau kandungan berbahaya.
- 3 daripada 5 ibu bapa (52.7%) menghadapi kesukaran untuk mengurus masa skrin, tetapi hanya 1 daripada 5 (21%) menggunakan ciri penguncian jauh untuk mengurus penggunaan peranti.
Cabaran ini selalunya membawa kepada pergantungan pada “pemantauan aktif” (54%), yang boleh meletihkan ibu bapa dan menimbulkan pergeseran dengan remaja yang menghargai kebebasan digital mereka.
Berdasarkan latar belakang ini, perbincangan di Bijak Digital Bersama Google dan YouTube tertumpu pada memperkasakan keluarga untuk beralih daripada kawalan jangka pendek ke arah membina keyakinan digital jangka panjang, dialog terbuka dan kemahiran berfikir kritis yang boleh menyediakan kanak-kanak dengan lebih baik untuk mengemudi dunia dalam talian secara bebas dan bertanggungjawab.

Ben King, Pengarah Urusan Negara, Google Malaysia, berkata, “Ibu bapa hari ini lebih terlibat berbanding sebelum ini dalam membimbing anak-anak mereka di dalam talian, namun ramai yang masih menyesuaikan diri dengan cabaran baharu seiring perkembangan teknologi. Membina daya tahan digital bukanlah tentang pemantauan berterusan, tetapi memastikan keluarga dilengkapi dengan alat, pengetahuan dan perbualan yang tepat untuk menyokong pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan lebih yakin.”
Membantu Keluarga Belajar dengan Lebih Bijak dan Kekal Selamat Dalam Talian
Untuk menyokong peralihan ini daripada pemantauan kepada bimbingan, Google dan YouTube telah memperkenalkan pelbagai alatan dan sumber terbina dalam yang direka untuk membantu keluarga belajar dengan lebih baik melalui AI, di samping memupuk tabiat digital yang lebih selamat dan sihat.
Google juga komited untuk membangunkan pengalaman digital yang bersesuaian dengan usia bagi pengguna muda, selain menyediakan alat yang membolehkan ibu bapa memainkan peranan utama dalam membentuk pengalaman digital keluarga mereka menerusi produk dan ciri yang disesuaikan mengikut keperluan. Ini termasuk:
- Perlindungan kandungan untuk pengalaman digital yang bersesuaian dengan usia kanak-kanak – seperti ciri SafeSearch yang membantu menapis kandungan sensitif di laman web dan hasil carian, manakala YouTube Kids serta pengalaman diselia di YouTube menyediakan persekitaran tontonan yang sesuai mengikut tahap kematangan kanak-kanak.
- Membantu keluarga mengurus masa skrin dan rutin digital: Dengan alat seperti Family Link, ibu bapa boleh menetapkan garis panduan keluarga seperti menyesuaikan had masa penggunaan aplikasi, mengurus laman web yang dilayari serta aplikasi yang dimuat turun oleh anak-anak. Ciri seperti “School Time” dan waktu rehat peranti juga membantu mengurangkan gangguan ketika kanak-kanak perlu memberi tumpuan. Di YouTube, ibu bapa juga boleh mengaktifkan peringatan kesejahteraan digital seperti “Bedtime” dan “Take a Break” bagi membantu mengawal masa yang dihabiskan di platform tersebut. Ibu bapa turut boleh menetapkan tempoh masa anak-anak melayari Shorts, termasuk menetapkannya kepada sifar, sekali gus membantu pengguna muda berhenti seketika, berfikir dan mengurangkan tabiat menatal (scrolling) secara berlebihan.
- Memperkukuh literasi digital seisi keluarga: Melalui inisiatif seperti Be Internet Awesome, ibu bapa dan anak-anak dilengkapi dengan kemahiran praktikal untuk melayari dunia dalam talian secara lebih bertanggungjawab, daripada mengenal pasti maklumat palsu hingga membina tabiat penggunaan internet yang lebih selamat.

Merentas platformnya, Google dan YouTube terus memperkukuh langkah perlindungan bagi pengguna muda — termasuk pengalaman yang bersesuaian dengan usia, perlindungan kandungan yang dipertingkatkan serta alat yang membantu pengguna memahami dan mengesahkan maklumat yang dilihat dalam talian dengan lebih baik.
Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan untuk memastikan kanak-kanak dan remaja dapat meneroka, belajar dan berkembang dalam talian dalam persekitaran yang selamat serta memperkasa mereka.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak tips tentang keibubapaan untuk Mama Papa DI SINI!
