Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, telah memeterai kerjasama dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) untuk mempertingkat penjagaan dan kesedaran kanser kanak-kanak di negara ini.
Inisiatif ini disempurnakan menerusi sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) antara SMC, NCSM, dan 11 organisasi-organisasi lain, termasuk Persatuan Kanser Kanak-Kanak Kami Endah HRPB (PEKA-ENDAH HRPB), Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak PPUKM (CAKNE-PPUKM), dan Persatuan Hematologi dan Onkologi Pediatrik Malaysia (MASPHO).
MoU ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama, meneroka peluang-peluang baharu dan pengetahuan dalam penjagaan serta kesedaran kanser kanak-kanak di Malaysia. Menyedari betapa pentingnya untuk terus menambah baik penjagaan kanser pediatrik dan kesedaran awam di negara ini, SMC percaya bahawa setiap kanak-kanak yang menghadapi masalah kesihatan serius atau kanser berhak dirawat oleh sebuah pasukan pediatrik yang khusus.

Dr Seow Vei Ken, Ketua Pegawai Eksekutif SMC, berkata, “Pendekatan pelbagai disiplin adalah salah satu teras utama penjagaan kanser di Unit Hematologi & Onkologi Pediatrik SMC. Pasukan pakar kami, yang terdiri daripada pakar pediaktrik hematologi, pakar pediaktrik onkologi, pakar pediaktrik rawatan rapi, jururawat, ahli psikologi, dan terapis permainan, bekerjasama untuk memberikan penjagaan holistik yang mengutamakan keselamatan, keperluan perubatan serta emosi pesakit pediatrik kami.”
SMC juga melancarkan Program Pakar Permainan (Play Specialist Programme) pada tahun 2024. Di bawah bimbingan pakar permainan bertauliah, program ini menggunakan terapi seni dan permainan untuk membantu pesakit kanak-kanak meluahkan emosi mereka serta mengekalkan rasa normal sepanjang rawatan mereka.
Salah satu aspek menarik dalam program ini ialah koleksi lukisan yang dihasilkan oleh pesakit kanser pediatrik dipamerkan di kawasan lobi hospital. Karya seni ini mencerminkan pengalaman dan emosi mereka, lantas mempamerkan kuasa kreativiti dalam proses penyembuhan mereka.
Pengarah Urusan NCSM, Kol. Bersekutu (PA) Prof. Dr Murallitharan Munisamy, berkata, “Sebagai pengamal perubatan, kami sering menumpukan pada kiraan sel. Tetapi di sebalik kiraan tersebut adalah kanak-kanak yang mempunyai impian dan harapan. Bukan sekadar statistik, semangat merekalah yang sebenarnya menggerakkan misi kami.”
Dengan lebih daripada 26 subkepakaran pediatrik dan lebih 50 perunding pediatrik, SMC mempunyai salah satu rangkaian perkhidmatan penjagaan kesihatan kanak-kanak yang paling komprehensif di negara ini. SMC juga mempunyai sebuah Pusat Kesihatan & Pembangunan Kanak-Kanak dan merupakan hospital swasta pertama di Malaysia yang mempunyai Jabatan
Kecemasan Kanak-Kanak 24 jam yang berasingan daripada Jabatan Kemalangan dan Kecemasan bagi pesakit dewasa.
Tambahan pula, Pusat Kanser Sunway menyediakan perkhidmatan penjagaan kanser yang komprehensif, termasuk rawatan lanjutan seperti kemoterapi, radioterapi, dan terapi sasaran. Ini memastikan pesakit yang menghidapi semua jenis kanser, daripada yang paling lazim hingga yang paling jarang, menerima sokongan dan penjagaan khusus yang mereka perlukan.
Sebagai hospital utama Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, SMC mempunyai lebih 300 perunding perubatan. Hospital ini menawarkan pelbagai perkhidmatan merangkumi 80 kepakaran perubatan, dan 28 Pusat Kecemerlangan. Setelah siap blok keenam, Menara F (Pavilion Kanak-kanak), SMC akan mempunyai kapasiti untuk berkembang kepada lebih 1,100 katil.
Sejak 2023, SMC telah mendapat pengiktirafan sebagai hospital terbaik Malaysia untuk bidang pediatrik selama tiga tahun berturut-turut dalam ranking Hospital Pakar Terbaik Asia Pasifik Newsweek. SMC turut berada antara 75 hospital teratas untuk bidang onkologi dalam ranking yang sama pada tahun 2025. Hospital ini juga disenaraikan sebagai hospital terbaik Malaysia dalam ranking Hospital Pintar Terbaik Dunia Newsweek baru-baru ini.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Terokai lebih banyak panduan dan ilmu keibubaapn untuk Mama Papa di SINI.