Kita semua pernah melihat babak di televisyen mahupun di pawagam, di mana seorang watak pengsan atau rebah secara dramatik selepas menerima berita yang mengejutkan.
Walaupun babak-babak sedemikian sering didramatikkan, seseorang boleh pengsan disebabkan oleh pelbagai faktor, dan tidak semuanya berbahaya.

Walaupun kebanyakkan pengsan dikaitkan dengan tekanan, dehidrasi, berdiri terlalu lama, atau emosi yang tidak menentu, sesetengah pengsan sebenarnya merupakan tanda amaran pertama yang diberikan oleh badan mengenai masalah serius yang melibatkan jantung.
Apa yang kelihatan seperti pengsan yang sekejap kadangkala boleh membawa kepada keadaan yang jauh lebih berbahaya yang memerlukan perhatian perubatan dengan segera.
Menurut perkongsian Dr Cyrus Lai Sin Nan, Pakar Perunding Perubatan Kecemasan di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), sinkop, atau lebih dikenali sebagai pengsan hanya menyumbang sekitar 1 hingga 3 peratus daripada kes di jabatan kecemasan.
Namun, sinkop berkaitan jantung adalah jauh lebih berbahaya kerana ia berkait dengan aritmia yang serius yang boleh menyebabkan kemerosotan kesihatan yang mendadak dan kematian.
Beliau juga turut menambah bahawa walaupun kes sinkop jantung jarang berlaku, tahap risikonya masih tinggi dan tidak boleh diabaikan, terutamanya jika berlaku secara tiba-tiba, berulang tanpa mempunyai sebab yang jelas, atau disertai dengan simptom lain yang membimbangkan.
Apa itu Sinkop Jantung?
Sinkop jantung merujuk kepada pengsan yang disebabkan oleh penurunan mendadak aliran darah dari jantung ke otak.
Dr Lim Chiao Wen, Pakar Perunding Kardiologi, Elektrofisiologi dan Pakar Perubatan Dalaman daripada SMCV menjelaskan bahawa situasi yang berlaku ini tidak sama seperti keadaan pengsan yang biasa dilihat.

Hal ini kerana, sinkop jantung lebih berbahaya, boleh berlaku tanpa sebarang amaran awal dan boleh meragut nyawa seseorang jika dibiarkan tanpa mendapat rawatan perubatan dengan segera.
Dr Lim juga menerangkan bahawa antara punca-punca sinkop jantung berlaku ialah apabila terdapat masalah ritma jantung yang tidak teratur, masalah struktur yang menjejaskan otot atau injap jantung, serta kejadian berkaitan peredaran darah yang serius seperti pembekuan darah di paru-paru atau terdapat koyakan di arteri utama badan.
Keadaan ini sering disalah anggap sebagai salah satu episod pengsan biasa. Dr Lim menghuraikan bahawa apabila jantung berdegup terlalu laju atau terlalu perlahan, tekanan darah boleh turun secara mendadak dan menggangu aliran darah ke bahagian otak dan menyebabkan seseorang pengsan secara tiba-tiba.
Beliau juga turut menekankan bahawa terdapat sebilangan kecil masalah struktur jantung yang berkait rapat sebagai punca sinkop jantung berlaku, termasuk kardiomiopati hipertrofik (penebalan otot jantung), stenosis aorta (penyempitan injap aorta), dan miokarditis (keradangan otot jantung).
Beliau turut menambah bahawa tekanan emosi juga boleh memberi kesan secara langsung kepada jantung melalui lonjakan adrenalin yang mengganggu degupan jantung dan tekanan darah.
Dr Lim menekankan bahawa degupan jantung yang tidak normal boleh berlaku secara tiba-tiba dan mungkin tidak dapat dikesan melalui ujian saringan rutin, menyebabkan individu yang kelihatan sihat juga boleh rebah tanpa sebarang tanda amaran.
Peranan Jabatan Kecemasan & Kemalangan (A&E) dalam Merawat Sinkop Jantung

Apabila seseorang sedar dengan cepat selepas pengsan, ia tidak bererti ianya tidak merbahaya kepada diri mereka. Dalam konteks sinkop jantung, hilang kesedaran boleh berlaku dalam tempoh jangka masa yang singkat namun punca disebaliknya boleh menjadi lebih serius.
Keadaan ini menjadikan Jabatan Kecemasan dan Kemalangan memainkan peranan penting sebagai pihak yang bertanggungjawab untuk menjalankan penilaian awal oleh kerana objektif utama bukan sahaja untuk memastikan keadaan pesakit itu stabil tetapi juga untuk memeriksa jika punca pengsan itu berkaitan dengan masalah jantung yang lebih bahaya dan memerlukan rawatan segera.
“Di Jabatan Kecemasan, kes berkaitan jantung yang biasa dilihat termasuk sakit dada atau sindrom koronari akut, aritmia, kegagalan jantung, dan masalah tekanan darah tinggi yang tidak terkawal,” kata Dr Cyrus.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun sinkop jantung boleh berlaku pada semua peringkat umur, ia lebih membimbangkan dalam kalangan warga emas, terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah aliran darah ke jantung yang berkurangan, penyakit injap jantung, ritma jantung yang tidak normal, penggunaan perentak jantung (pacemaker), atau mereka dengan pelbagai penyakit lain.
Namun, golongan muda juga tidak terkecuali. “Dalam kalangan pesakit muda, perhatian khusus akan diberikan jika mereka pengsan semasa melakukan aktiviti fizikal, mereka dengan ritma jantung yang tidak normal, atau mereka dengan sejarah keluarga yang mengalami kematian mengejut, kerana penyakit aritmia yang diwarisi atau masalah struktur jantung seperti kardiomiopati hipertrofik mungkin terlibat.”
Beliau juga menekankan bahawa orang ramai perlu prihatin mengenai simptom seperti sakit dada, degupan jantung yang laju, sesak nafas, pitam ketika melakukan aktiviti, episod pengsan yang berulang atau mempunyai sejarah ahli keluarga yang mengalami kematian mengejut untuk mendapatkan rawatan yang komprehensif dengan segera.
Pengurusan dan Rawatan Sinkop Jantung
Setelah pesakit sinkop jantung dinilai dan dirawat di Jabatan Kecemasan & Kemalangan serta sebarang keadaan berisiko tinggi telah dikawal atau distabilkan, fokus utama pasukan perubatan adalah untuk mengenal pasti punca utama yang mengakibatkan pesakit pengsan dan membuat keputusana sama ada pesakit perlu menjalani rawatan susulan atau memerlukan pengawasan lebih lanjut.
Dr Cyrus menjelaskan bahawa penilaian asas di jabatan kecemasan biasanya merangkumi pemeriksaan saluran pernafasan, pernafasan dan peredaran darah, tanda vital, pemeriksaan paras gula dalam darah, pengambilan sejarah pesakit secara khusus, pemeriksaan fizikal, pengukuran tekanan darah ortostatik jika perlu, serta ujian ECG 12 plumbum yang digunakan untuk merekod aktiviti elektrik jantung bagi mengesan sebarang gangguan ritma jantung atau tanda amaran lain.
Pesakit yang menunjukkan simptom yangmembimbangkan mungkin memerlukan pemantauan jantung secara berterusan dan ujian lanjut lain merangkumi pemeriksaan penanda jantung dalam darah, ujian darah, ujian fungsi buah pinggang dan elektrolit, serta beberapa ujian pengimejan tertentu yang bergantung kepada keadaan klinikal pesakit.
Dari sudut kardiologi, Dr Lim menyatakan bahawa penilaian lanjut mungkin melibatkan ujian ekokardiografi, iaitu penggunaan ultrabunyi untuk menilai struktur dan fungsi pengepaman jantung, pemantauan Holter untuk merekod degupan jantung dalam tempoh lebih 24 jam, serta ujian berlari (stress test) dan ujian pengimejan koronari terpilih jika diperlukan.
Jenis rawatan pula bergantung kepada punca sebenar dan boleh merangkumi penggunaan ubat, pemasangan peranti seperti perentak jantung atau defibrilator, atau prosedur ablasi untuk membetulkan laluan elektrik yang tidak normal untuk kes aritmia yang boleh mengancam nyawa.
Jika serangan jantung dikenal pasti, rawatan segera seperti prosedur angioplasti koronari dan pemasangan stent mungkin diperlukan bagi memulihkan aliran darah.
Pada masa yang sama, Dr Cyrus menegaskan bahawa penilaian risiko kekal sebagai aspek penting dalam pengurusan sinkop jantung.
Pesakit yang disyaki mengalami sinkop jantung, mempunyai keputusan ECG yang tidak normal, tekanan darah rendah, mereka dengan keputusan ujian penanda darah dalam jantung yang tinggi, mempunyai penyakit struktur jantung, masalah kesihatan yang serius, atau pengsan semasa aktiviti fizikal lebih berkemungkinan tinggi untuk memerlukan kemasukan ke hospital.
Manakala pesakit yang tergolong dalam kes berisiko rendah boleh dibenarkan pulang dengan pemantauan susulan yang bersesuaian.
Hal di atas menunjukkan lagi mengapa pengsan tidak boleh dianggap remeh, terutamanya apabila ia berlaku secara tiba-tiba, berulang, atau disertai simptom seperti sakit dada, jantung berdegup kencang, atau sesak nafas.
Walaupun kebanyakan kes pengsan tidak berbahaya, sinkop jantung merupakan antara punca paling serius kerana ia mungkin menjadi satu-satunya tanda amaran yang diberikan badan sebelum berlakunya serangan jantung yang serius.
Dr Lim memberi amaran bahawa jika tidak didiagnos, sinkop jantung boleh mengancam nyawa dan membawa kepada peratusan risiko kematian yang tinggi.
Pada masa yang sama, Dr Cyrus menegaskan bahawa pengesanan awal di jabatan kecemasan amat penting kerana sesetengah pesakit mungkin kelihatan stabil pada awalnya tetapi masih berisiko untuk mengalami kemerosotan secara cepat.
Dengan kata lain, apa yang kelihatan seperti pengsan yang sekejap sebenarnya boleh menjadi satu-satunya tanda amaran sebelum seseorang itu mendapat serangan jantung yang serius, menjadikan penilaian dan rawatan segera sangat penting untuk mencegah sebarang kemungkinan yang boleh membawa maut.
Sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai digalakkan untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Individu yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit jantung disarankan untuk memulakan saringan kesihatan pada usia yang lebih muda kerana pengesanan awal memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit jantung yang serius serta meningkatkan kesihatan untuk jangka panjang.
Akhir sekali, orang ramai perlu memahami risiko dan simptom sinkop jantung dan tidak menganggap setiap kejadian pengsan sebagai perkara remeh.

Penilaian dan rawatan perubatan segera perlu didapatkan jika seseorang itu pengsan disertai simptom seperti sakit dada, jantung berdegup laju, sesak nafas, pengsan semasa bersenam atau ketika berbaring, atau diikuti kekeliruan berpanjangan atau kecederaan serius.
Individu yang mengalami pengsan berulang, mempunyai penyakit jantung sedia ada, atau sejarah keluarga dengan kematian mengejut juga perlu mendapatkan penilaian segera. Walaupun pemulihan kelihatan cepat, tanda-tanda ini mungkin menunjukkan keadaan yang berpotensi mengancam nyawa dan memerlukan penilaian serta rawatan segera di hospital terdekat.
Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk pertanyaan, sila hubungi +603 9772 9191 atau e-mel smcv-enquiry@sunway.com.my. Untuk maklumat lanjut atau untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Sunway Medical Centre Velocity, layari www.sunwaymedicalvelocity.com.my (Facebook: Sunway Medical Centre Velocity).
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Terokai lebih banyak panduan dan ilmu keibubapaan bersama pakar-pakar ternama di SINI.
