Mama pernah dengar tentang rabies atau penyakit anjing gila? Walaupun nampak macam jauh dari kehidupan seharian kita, penyakit ni sebenarnya masih wujud dan sangat berbahaya kalau tak dicegah awal.
Meskipun Malaysia telah lama melaksanakan kawalan ketat terhadap rabies, kes jangkitan masih wujud dari semasa ke semasa, terutama di kawasan sempadan dan luar bandar.
Untuk faham lebih lanjut tentang apa itu rabies, cara jangkitan berlaku dan kenapa vaksin untuk haiwan peliharaan penting, dua pakar dari Boehringer Ingelheim iaitu Dr. Evonne Lim, Ketua Companion Animal untuk Malaysia, Singapura dan Indonesia, serta Dr. Eddie Tan, Pengurus Teknikal Kanan bagi Companion Animal Business di rantau yang sama.yang banyak berkongsi pandangan dan nasihat berguna untuk semua pencinta haiwan.
Kedua-dua pakar ini berkongsi pandangan mereka tentang bagaimana kesedaran dan tindakan awal boleh menyelamatkan nyawa bukan sahaja haiwan, tetapi juga manusia.
1. Bagaimana virus rabies merebak kepada manusia? Adakah hanya melalui gigitan haiwan? Atau sentuhan air liur haiwan juga boleh menjadi penyebab jangkitan?

Dr Eddie: Virus rabies terdapat dalam air liur haiwan yang dijangkiti. Ia boleh menular melalui gigitan, cakaran pada kulit yang terdedah, atau apabila air liur masuk ke dalam membran mukosa seperti mata, mulut atau hidung. Walaupun sentuhan dengan kulit yang utuh dianggap berisiko rendah, luka kecil yang tidak disedari masih boleh menjadi pintu masuk virus.
Dr Evonne: Dari sudut kesihatan awam, penting untuk difahami bahawa setiap pendedahan kepada air liur haiwan berpotensi berisiko. Sebab itu komuniti harus dididik untuk tidak mengambil ringan walaupun calar kecil atau kontak rapat dengan haiwan yang tidak divaksin. Kesedaran awal boleh mengurangkan kelewatan mendapatkan rawatan.

Ketua Companion Animal, Boehringer Ingelheim Malaysia, Singapura, dan Indonesia
2. Adakah haiwan selain anjing, seperti kucing, kelawar, atau monyet, juga boleh menjadi pembawa virus rabies?
Dr Evonne: Ya, boleh. Secara umumnya, semua mamalia adalah terdedah kepada jangkitan rabies dan boleh menjadi pembawa virus ini.
Walau bagaimanapun, 99% kes rabies manusia secara global berpunca daripada gigitan anjing, dan Malaysia tidak terkecuali daripada corak ini.
Dalam konteks Malaysia, anjing merupakan penyumbang utama kepada penularan rabies kepada manusia, manakala kucing juga dilaporkan sebagai pembawa rabies, walaupun pada kadar yang lebih rendah.
3. Apakah tanda-tanda awal yang pesakit rabies biasanya tunjukkan, dan adakah simptom ini sering terlepas pandang?
Dr Eddie: Mari kita perjelaskan fakta tentang rabies, khususnya berkaitan dengan simptom. Adalah penting untuk diingat bahawa rabies hanya boleh dicegah semasa tempoh inkubasi, iaitu fasa awal selepas jangkitan apabila pesakit MASIH BELUM menunjukkan sebarang gejala. Ia adalah ASIMPTOMATIK.
Jangan tunggu sehingga muncul ‘tanda-tanda awal’, atau terlalu fokus kepada ‘simptom awal yang sering terlepas pandang’. Sebaik sahaja gejala muncul, rabies hampir pasti membawa maut.
Dr Evonne: Keadaan ini menekankan kepentingan tindakan SEGERA untuk mendapatkan rawatan perubatan selepas digigit atau terdedah kepada haiwan berisiko, walaupun luka kelihatan kecil atau tidak serius.

Pengurus Teknikal Kanan, Companion Animal Business, Boehringer Ingelheim Malaysia, Singapura Indonesia
4. Jika digigit anjing liar mahupun haiwan peliharaan sendiri, apakah langkah segera atau rawatan kecemasan yang boleh dilakukan sebelum mendapatkan rawatan di klinik atau hospital?
Dr Eddie:
- Segera cuci luka dengan air yang mengalir dan sabun sekurang-kurangnya 15 minit, dengan pencucian yang menyeluruh menggunakan sabun tangan atau sabun biasa.
- Sapukan antiseptik yang sesuai untuk mencegah jangkitan sekunder. Jika perlu, tutup luka dengan balutan yang longgar dan bersih — bukan dengan balutan yang ketat.
- Segera pergi ke klinik atau hospital selepas pendedahan. Protokol Malaysia mencadangkan vaksin rabies dan imunoglobulin rabies jika luka dikategorikan sebagai risiko tinggi.
- Catat maklumat tentang haiwan yang menggigit (jenis, sama ada ia kelihatan sihat, dan sama ada ia haiwan peliharaan atau liar), serta masa dan tempat gigitan — ini berguna untuk penilaian risiko.
5. Bagaimana cara untuk mengenali tanda-tanda awal anjing atau haiwan peliharaan yang dijangkiti rabies?

Dr Evonne: Tanda-tanda awal yang boleh diperhatikan termasuk perubahan tingkah laku seperti menjadi agresif tanpa sebab, menggigit, atau menyerang, meskipun haiwan tersebut kebiasaannya tidak agresif. Ini sering diikuti dengan pengeluaran air liur berlebihan atau buih di mulut.
Haiwan yang dijangkiti juga mungkin mengalami kesukaran untuk menelan atau menunjukkan ketakutan terhadap air (hidrofobia), yang menandakan masalah dalam fungsi menelan. Selain itu, lumpuh atau kelemahan otot juga boleh berlaku. Pemilik haiwan perlu segera lapor kepada pihak berkuasa veterinar jika melihat tanda ini.
6. Apakah faktor yang dinilai untuk menentukan tahap risiko selepas digigit haiwan?

Dr Eddie: Beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan dalam penilaian risiko adalah seperti berikut:
- Sama ada haiwan yang menggigit diketahui mempunyai vaksinasi rabies, atau haiwan itu liar/tidak diketahui status kesihatannya. Haiwan liar atau yang tidak diuji/tidak divaksin mempunyai risiko yang lebih tinggi.
- Lokasi luka: Gigitan pada muka, leher, atau tangan lebih berisiko kerana kedudukan luka yang lebih dekat dengan otak dan sistem saraf pusat.
- Kedalaman luka: Gigitan yang menembusi kulit dan tisu lebih dalam (gigitan penetratif) mempunyai risiko yang lebih tinggi.
- Jumlah gigitan, ukuran luka, serta sama ada luka tersebut kecil atau besar juga mempengaruhi tahap risiko.
- Pendedahan tambahan seperti calar yang terdedah kepada air liur, atau mukosa yang terkena juga meningkatkan risiko jangkitan.
7. Doktor, kenapa pesakit rabies sering mengalami hidrofobia atau takut air? Bagaimana virus rabies menyebabkan reaksi ini berlaku pada tubuh pesakit?

Dr Eddie: Hidrofobia bukan hanya ‘takut air’ secara psikologi; ia berkaitan dengan kesukaran dan ketidakselesaan apabila cuba menelan air atau cecair kerana otot-otot tekak (pharynx, larynx) menjadi sangat sensitif dan mengalami kekejangan (spasm).
Virus memasuki sistem saraf setelah melalui saraf periferal dan bergerak menuju ke sistem saraf pusat (otak dan batang otak). Di peringkat ini, ia menjejaskan bahagian otak yang mengawal proses menelan serta refleks farinks/larynx, menyebabkan kejang apabila cuba menelan atau apabila air atau cecair didekatkan.
8. Bolehkah vaksin diberikan selepas seseorang digigit haiwan walaupun ia adalah haiwan peliharaan sendiri?

Dr Evonne: Ini bergantung situasi individu yang terkena gigitan. PEP (Post-Exposure Prophylaxis) disarankan walaupun digigit haiwan peliharaan jika:
- Status vaksinasi haiwan tidak pasti.
- Luka gigitan dalam / dekat kawasan berisiko. Haiwan menunjukkan tingkah laku abnormal.
- Vaksin selepas gigitan masih berkesan dalam mencegah rabies jika diberikan sebelum simptom neurologi muncul.
9. Apakah mereka yang dijangkiti rabies ini boleh sembuh dan menjalani aktiviti harian seperti sebelumnya?

Dr Eddie: Berdasarkan kes-dilaporkan di Malaysia dan kajian antarabangsa, pesakit yang mula menunjukkan simptom rabies menghadapi risiko sangat tinggi untuk membawa maut.
Kes yang bertahan selepas muncul simptom adalah sangat jarang, dan dalam beberapa kes, mereka yang selamat mengalami kecacatan neurologi kekal. Oleh itu, vaksinasi haiwan, kesedaran komuniti, dan PEP selepas gigitan adalah amat penting dalam pencegahan rabies.
Dr Evonne: Kami ingin menyeru komuniti untuk sentiasa peka dan mengambil langkah berjaga-jaga — sama ada dengan memvaksin haiwan peliharaan atau mendapatkan rawatan segera selepas gigitan.
Dengan kerjasama masyarakat, profesional kesihatan, dan pihak berkuasa, kita dapat mencegah rabies dengan berkesan. Inilah cara kita bersama-sama mencapai matlamat sifar kematian rabies menjelang 2030.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Terokai lebih banyak panduan dan ilmu keibubapaan untuk Mama Papa di SINI.


