OrphanCare, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang memberi peluang kepada kanak-kanak dalam institusi dan bayi baru lahir yang tidak dirancang untuk dibesarkan dalam jagaan keluarga, akan menganjurkan malam tayangan amal yang menyentuh jiwa bersama Janji Pictures Production.
Majlis Tayangan Amal & Kutipan Dana Perdana OrphanCare ini akan berlangsung pada 13 Ogos 2025 di DADI Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, dan menawarkan pengalaman filem yang menyentuh perasaan di samping menyokong perjuangan yang bermakna.

Tayangan istimewa ini akan menampilkan Pavane for an Infant — sebuah filem yang menjentik emosi dan membuat kemunculan sulung menerusi tayangan perdana dunia di Festival Filem Antarabangsa Tokyo pada Oktober dan November 2024.
Filem ini menyelami realiti emosi di sebalik peminggiran dan rasa kekeluargaan — tema yang bertepatan dengan usaha berterusan OrphanCare untuk memastikan kanak-kanak yang rentan membesar dalam persekitaran yang selamat, penuh kasih sayang dan kekal.

Tayangan ini bukan sekadar sebuah filem semata-mata. Ia seruan untuk bertindak — membuka peluang kepada orang ramai untuk menyokong usaha meningkatkan kesedaran bekaitan perjuangan OrphanCare, merangkumi pengoperasian tempat perlindungan bayi, pemudahcaraan proses pengambilan anak angkat, dan usaha menyatukan semula kanak-kanak yang ditempatkan di institusi penjagaan ke dalam penjagaan berasaskan keluarga.
“Pavane for an Infant amat dekat dengan niat murni misi kami. Melalui tayangan perdana ini, kami berharap bukan sahaja dapat mengumpulkan dana, tetapi turut membuka mata dan hati masyarakat terhadap isu yang kami kendalikan setiap hari — pembuangan bayi, stigma, dan keperluan mendesak untuk penyelesaian isu berasaskan keluarga,” kata Pengurus Advokasi, Komunikasi dan Kutipan Dana OrphanCare, Riza Alwi.
“Setiap tiket yang dibeli akan menyumbang kepada usaha untuk memastikan tiada bayi yang ditinggalkan atau terdedah kepada risiko pembuangan tidak selamat.”
Penonton akan menikmati pengalaman tayangan eksklusif dengan perkongsian di sebalik tabir khas oleh pengarah filem dan berpeluang bertemu dengan pasukan yang menjadi tulang belakang kepada misi OrphanCare.
Bagi tujuan ini, sokongan anda mampu mencetuskan perubahan yang bermakna tidak kira sama ada anda pencinta filem, agen perubahan, atau individu yang percaya bahawa setiap anak berhak mendapat peluang untuk dikasihi.
Tiket adalah terhad! Tempah tiket sekarang dan sertai kami untuk mewarnai semula kisah hidup bayi-bayi yang terpinggir di seluruh Malaysia.