Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada 10 wanita di dunia didiagnosis dengan endometriosis, iaitu sejenis penyakit kronik yang dikaitkan dengan kesakitan yang teruk dan boleh menjejaskan kehidupan semasa haid, hubungan seksual, buang air besar atau kencing, sakit pelvis kronik, kembung perut, loya, keletihan, dan adakalanya kemurungan, kegelisahan, dan ketidaksuburan.1

Pengenalan pembedahan dengan bantuan robotik menandakan kemajuan dalam rawatan endometriosis, sekali gus menjadi penyelesaian pembedahan yang tepat dan invasif minima merentas pelbagai kepakaran perubatan, termasuk mereka yang menghidap endometriosis.
Dr Thow Sun Ta, Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi & Kesuburan di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, berkongsi pandangannya tentang keupayaan pembedahan dengan bantuan robotik dalam rawatan endometriosis.
Perbandingan antara laparotomi dan pembedahan endometriosis yang dibantu oleh robot
“Selama ini, intervensi pembedahan tradisional telah menjadi kaedah utama untuk banyak pembedahan. Walaupun berkesan pada tahap tertentu, ia juga mempunyai kelemahan yang ketara, termasuk tempoh pemulihan yang panjang dan pembedahan itu sendiri agak kompleks,” jelas Dr Thow.
Dalam laparotomi tradisional iaitu pembedahan terbuka untuk endometriosis, disebabkan sudut pandangan dan penglihatan yang terhad, pakar bedah sering mengalami kesukaran untuk membuang lesi endometriotik sepenuhnya.
“Sepanjang pengalaman saya, 90 peratus lesi endometriotik berlaku di bahagian belakang rahim yang menyukarkan pakar bedah untuk mengenal pasti kedudukannya sekiranya melakukan prosedur laparotomi konvensional. Walau bagaimanapun, pembedahan dengan bantuan robotik menawarkan sokongan visual yang dipertingkatkan (seperti sudut berbilang dan penglihatan berkualiti tinggi) bagi membolehkan pakar bedah mengenal pasti lesi yang mungkin terlindung daripada penglihatan langsung dan tidak disedari. Justeru, pembedahan robotik menjadi pilihan yang lebih baik untuk prosedur invasif minima, terutamanya bagi menangani kes endometriosis yang lebih kompleks dan mencabar. Secara umumnya, ia memberi harapan untuk beroleh hasil yang lebih baik dan kualiti hidup yang dipertingkatkan kepada wanita yang bergelut melawan penyakit ini,” ulas Dr Thow.
Tambahan pula, tempoh pemulihan yang lebih singkat, komplikasi yang berkurangan, dan parut yang minimum dengan kurang kesakitan dan kehilangan darah menjadikan pembedahan dengan bantuan robotik sebagai pilihan rawatan yang sesuai untuk pesakit endometriosis, terutamanya dalam kes melibatkan lesi yang kompleks dan tersembunyi. Ia juga membolehkan pesakit kembali kepada gaya hidup yang normal lebih awal.
“Kami mempunyai ramai pesakit yang mengalami dismenorea yang teruk akibat endometriosis. Bagaimanapun, selepas menjalani pembedahan bantuan robotik, hampir kesemua mereka menunjukkan kelegaan simptom sepenuhnya,” kongsi Dr Thow.
Salah satu kelebihan pembedahan bantuan robotik yang paling mengujakan ialah potensinya untuk mengekalkan kesuburan. “Endometriosis boleh memudaratkan organ-organ reproduktif dengan teruk. Sebagai contoh, menjejaskan fungsi tiub fallopio, mengurangkan simpanan ovari, dan mewujudkan persekitaran yang berlawanan untuk persenyawaan dan implantasi. Namun begitu, pembedahan robotik boleh merawat penyakit ini serta memelihara fungsi organ berkenaan, sekali gus meningkatkan hasil kesuburan,” tambahnya.
Bagi menentukan kesesuaian untuk menjalani pembedahan dengan bantuan robot memerlukan proses yang teliti. Walaupun mana-mana pesakit boleh dipertimbangkan, Dr Thow menekankan kesesuaian untuk melakukan pembedahan robotik tertakluk kepada kes endometriosis yang memerlukan pembedahan terbuka seperti endometriosis menyusup ke dalam, iaitu satu keadaan endometriosis serius yang melibatkan pertumbuhan mendalam bagi tisu seakan-akan endometrium ke dalam struktur pelvis.
Ia menyebabkan kesakitan yang teruk dan beberapa komplikasi2 lain atau tumor benigna yang besar, iaitu ketumbuhan bukan kanser yang boleh berlaku di pelbagai bahagian badan serta berpotensi mencetuskan gejala disebabkan saiz dan lokasinya3.
Masa hadapan pembedahan dengan bantuan robotik

Dr Thow menjangkakan peningkatan dalam pembedahan robotik di seluruh Malaysia, terutamanya bagi penyakit yang mencabar seperti endometriosis. Beliau juga berkata di sebalik cabaran yang ada, pakar bedah baharu sedang giat dilatih untuk mengguna pakai kaedah robotik dalam pembedahan, sekali gus menggalakkan pertambahan tenaga pakar yang diperlukan untuk mengendalikannya.
Disebabkan ketepatan dan sifat invasif minimumnya, pembedahan robotik mungkin menjadi pilihan bagi rawatan yang lebih kompleks. Walaupun jarang berlaku salah tanggapan mengenai pembedahan bantuan robotik, namun kosnya mungkin lebih tinggi berbanding kaedah tradisional.
Dr Thow berkata, “Walaupun kebolehcapaian pembedahan dengan bantuan robotik adalah terhad pada masa ini, saya meramalkan bahawa robotik akan memainkan peranan yang lebih besar dalam pembedahan selain fungsi sokongan kerana ia berpotensi untuk memberikan potongan yang lebih tepat, memendekkan masa pembedahan, dan mengurangkan kemungkinan komplikasi. Dalam sesetengah kes juga, pesakit kami berasa lebih yakin apabila prosedur mereka melibatkan robotik, terutamanya bagi prosedur yang lebih kompleks. Sudah tentu, keputusan untuk memilih sama ada pembedahan robotik atau tradisional akan dibuat secara kolaboratif antara pesakit dan doktor, dengan mengambil kira semua pilihan yang ada dan keadaan individu tersebut.”
Mengambil kira semua faktor ini, Dr Thow juga berpendapat bahawa apabila semakin banyak teknologi inovatif digunakan dalam prosedur pembedahan, secara tidak langsung boleh mempersiapkan pengamal penjagaan kesihatan profesional dengan lebih baik untuk bertindak dan menguruskan kes yang lebih rumit, sekali gus menyediakan penjagaan kepada lebih ramai pesakit dalam tempoh jangka panjang.
Sebagai salah sebuah hospital swasta kuaternari terbesar di Malaysia, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) memiliki beberapa sistem pembedahan robotik tercanggih di pasaran melalui Pusat Kecemerlangan Pembedahan Robotik dan MIS untuk menangani pelbagai masalah kesihatan, termasuk kesihatan wanita.
SMC juga baru-baru ini telah disenaraikan dalam 250 hospital teratas dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024 pada awal tahun ini, sekali gus menjadi penanda aras untuk hospital di seluruh dunia dalam bidang kecemerlangan klinikal, penyelidikan dan inovasi.
Rujukan
- https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/endometriosis
- Halis G, Mechsner S, Ebert AD. The diagnosis and treatment of deep infiltrating endometriosis. Dtsch Arztebl Int. 2010 Jun;107(25):446-55; quiz 456. doi: 10.3238/arztebl.2010.0446. Epub 2010 Jun 25. PMID: 20644707; PMCID: PMC2905889
- Uimari O, Nazri H, Tapmeier T. Endometriosis and Uterine Fibroids (Leiomyomata): Comorbidity, Risks and Implications. Front Reprod Health. 2021 Oct 26;3:750018. doi: 10.3389/frph.2021.750018. PMID: 36304022; PMCID: PMC9580755.
Dapatkan lebih banyak info kesihatan yang bermanfaat untuk Mama Papa dan anak-anak, di SINI.