Mama pernah terfikir tak, kenapa hidangan yang berbeza memerlukan jenis potongan yang berbeza? Potongan bawang untuk sambal lain, goreng biasa lain, untuk masak stim pun lain.
Macam mana nak tahu beza potongan bawang ni bila mak mertua sebut? Mujur ada perkongsian daripada Faeez Harith tentang jenis potongan bawang yang Mama WAJIB tahu!
Jom kita baca~
Macam Mana Nak Potong Bawang Ni?
Malam tadi aku terbaca ada yang tanya biasa masak potong bawang macam mana? Sebenarnya cara potong masing-masing ada nama, kegunaan dan masanya tertentu untuk guna. Sesetengah potongan tak sesuai untuk sesetengah resepi.
Jenis-Jenis Potongan Bawang Merah
1) Potong – Potong maksudnya bawang akan dipotong secara melintang. Bermula dari potong akan menghasilkan potongan gegelung dan mayang.
2) Gegelung – Mula dari potong, dan diulang-ulang mengikut ketebalan yang dikehendaki. Potongan gini biasa untuk masak kicap, masak merah.
3) Mayang – Hirisan halus tetapi melintang, kebiasaannya untuk membuat bawang goreng atau ditumis.
4) Belah – Potongan secara menegak untuk menghasilkan potongan yang lainnya.
5) Baji – Juga disebut ‘wedges’ dalam B.Inggeris. Biasanya potongan ini diguna untuk hiasan, seperti dalam sup atau kari dan sebagainya. Juga untuk kebab.
6) Hiris – Potongan nipis, halus secara menegak yang berulang-ulang. Untuk ditumis atau dibuat ulam/rencah sambal/budu/cencaluk dan sebagainya.
7) Dadu – Biasanya untuk buat cekodok/jemput-jemput bilis atau bawang.
8) Dadu kecil / cincang kasar – Untuk tumisan nasi goreng, mi goreng dan sebagainya.
9) Cincang – Untuk perapan, tumisan dan sebagainya.
Penting ke potongan ni semua? Sesetengah resepi, penting sebab lain cara potong boleh mempengaruhi rasa masakan dan tempoh memasak. Jadi kena teliti resepinya sebelum mula memotong.
Kalau kisar bawang, seboleh-bolehnya jangan tambah air kalau nak simpan bawang tu atau masak resepi yang tak terlalu berkuah. Letak minyak masak je sikit. Nanti tumis pun tak perlu pakai minyak banyak dah. Bawang pun boleh simpan lama dalam sebulan dua.
Jenis-Jenis Potongan Bawang Putih
Bawang putih ada beza juga ke cara potong? Ada tapi tak ketara sangat pun dan kebanyakan masa tak payah susah hati sangat. Cuma kena ingat bawang putih lagi cepat hangit, kena jaga-jaga. Pertama kena kenal dulu banyak mana bawang putih nak diguna.
Ini dipanggil satu labu/selabu. Dalam satu labu ada 1-15 ulas bawang putih, tengok keadaan. Dalam B.Inggeris kita panggil ni ‘bulb’.’
1) Ulas – Bahagian dari selabu. Dalam B.I kita sebut ‘cloves’
2) Ketuk – Yang ini paling senang, hampir semua masakan boleh guna gaya ni.
3) Mayang – Potongan melintang. Biasa untuk buat bawang putih goreng untuk hiasan atau masakan tumis.
4) Hiris – Lebih kurang je dengan mayang, cuma dia menegak.
5) Racik kasar/mancis – Ini biasa untuk buat sos, masak stim/kukus, goreng, dan lain-lain.
6) Racik halus – Pun tak jauh beza dengan racik kasar. Tak banyak resepi pun guna potongan ni.
7) Dadu – Untuk sos, tumis, nasi goreng dan lain-lain.
8) Cincang – Untuk sos, tumis dan lain-lain.
Macam aku sebut kat atas, bawang putih cepat hangit, jadi kena jaga api masa menumis. Satu lagi, bawang putih lepas dipotong baru baunya lagi naik bila masak, jadi potong awal sebelum masuk kuali/periuk.
Bukan sahaja bawang merah, tetapi nama untuk potongan bawang putih pun ada tau! Bentuk mereka berbeza dan haruslah ada perbezaan cara potong. Mujurlah ada perkongsian tentang nama potongan bawang ni, kalau tak jenuh terkial-kial depan mak mertua Mama kan? Mama Siti pun sama je.
Semoga bermanfaat dan selamat mencuba!
Kredit: Mohammad Faeez Harith
Jom cuba pelbagai resepi lain seperti yang telah dikongsikan DI SINI.
Dapatkan e-baucar istimewa apabila Mama mengundi jenama barangan bayi dan keperluan ibu hamil kegemaran Mama di Motherhood Choice Awards 2022 hari ini!