Bila sebut kolesterol tinggi, ramai terus risau dan mula fikir ubat. Tapi sebenarnya, pemakanan harian memainkan peranan besar untuk bantu kawal paras kolesterol. Apa yang Mama masak dan hidangkan setiap hari sangat mempengaruhi kesihatan jantung seisi keluarga.
Berita baiknya, ada banyak makanan yang membantu menurunkan kolesterol yang mudah didapati, sedap dan boleh dimasukkan dalam menu harian. Jom kita kenal 10 jenis makanan yang boleh bantu turunkan kolesterol secara semula jadi.
10 Jenis Makanan Bantu Turunkan Kolesterol
1. Oat dan Bijirin Penuh

Oat merupakan antara makanan terbaik untuk menurunkan kolesterol kerana kandungan serat larutnya yang tinggi, khususnya beta-glucan. Serat ini berfungsi dengan cara menyerap kolesterol jahat (LDL) dalam sistem pencernaan sebelum ia sempat masuk ke dalam aliran darah. B
ila kolesterol diserap dan dibuang melalui najis, paras kolesterol dalam badan akan berkurang secara semula jadi. Pengambilan oat secara konsisten, contohnya sebagai sarapan pagi, bukan saja membantu mengawal kolesterol tetapi juga memberi rasa kenyang lebih lama.
Ini secara tidak langsung membantu Mama mengawal pengambilan makanan berlemak atau manis sepanjang hari.
2. Ikan Berlemak

Ikan berlemak seperti salmon, sardin, kembung dan tenggiri kaya dengan asid lemak omega-3 yang sangat baik untuk kesihatan jantung. Omega-3 membantu mengurangkan tahap trigliserida dalam darah, melancarkan aliran darah dan mengurangkan risiko pembentukan plak di dinding salur darah.
Selain itu, pengambilan ikan secara berkala juga membantu mengurangkan keradangan dalam badan, yang sering dikaitkan dengan masalah jantung dan kolesterol tinggi.
Untuk manfaat maksimum, Mama digalakkan memasak ikan secara stim, bakar atau sup, dan elakkan kaedah goreng yang boleh meningkatkan lemak tepu.
3. Avokado

Avokado kaya dengan lemak tak tepu tunggal, iaitu sejenis lemak baik yang membantu menurunkan kolesterol jahat tanpa menjejaskan kolesterol baik (HDL).
Lemak sihat ini membantu memperbaiki keseimbangan kolesterol dalam badan dan menyokong fungsi jantung yang lebih sihat. Selain itu, avokado juga mengandungi serat yang membantu sistem pencernaan berfungsi dengan baik.
Rasa lemak semula jadi avokado memberi rasa kenyang lebih lama, sekali gus membantu Mama mengawal selera makan dan mengelakkan pengambilan makanan tidak sihat.
4. Kekacang

Kekacang seperti badam, walnut dan kacang tanah mengandungi gabungan serat, protein dan lemak sihat yang baik untuk jantung.
Pengambilan kekacang secara sederhana boleh membantu menurunkan kolesterol jahat dan mengurangkan risiko penyakit jantung. Kekacang juga membantu meningkatkan rasa kenyang, menjadikan ia snek sihat berbanding makanan ringan tinggi gula atau garam.
Namun begitu, Mama perlu kawal kuantiti kerana kekacang mengandungi kalori yang agak tinggi. Segenggam kecil sehari sudah mencukupi untuk manfaat kesihatan.
5. Sayur-Sayuran Hijau

Sayur-sayuran hijau seperti bayam, brokoli, sawi dan kailan kaya dengan serat, vitamin serta antioksidan. Serat dalam sayur membantu mengikat kolesterol dalam sistem pencernaan dan mengeluarkannya dari badan.
Selain membantu menurunkan kolesterol, sayur hijau juga menyokong kesihatan usus, menguatkan sistem imun dan membantu mengawal berat badan. Membiasakan sayur hijau dalam setiap hidangan, walaupun sedikit, sudah cukup memberi kesan positif dalam jangka panjang.
6. Buah-Buahan Tinggi Serat

Buah-buahan seperti epal, oren dan buah beri mengandungi pektin, sejenis serat larut yang membantu mengurangkan penyerapan kolesterol dalam darah. Serat ini bertindak seperti span yang menyerap kolesterol dan membawanya keluar dari badan.
Selain itu, buah-buahan juga kaya dengan vitamin dan antioksidan yang membantu melindungi salur darah daripada kerosakan. Untuk manfaat terbaik, Mama digalakkan mengambil buah dalam bentuk segar dan bukannya jus, kerana seratnya lebih terjaga.
7. Minyak Zaitun

Minyak zaitun merupakan sumber lemak tak tepu yang sangat baik untuk kesihatan jantung. Ia membantu meningkatkan kolesterol baik (HDL) dan pada masa yang sama mengurangkan kolesterol jahat (LDL).
Menggantikan minyak masak biasa dengan minyak zaitun dalam masakan harian adalah langkah kecil yang memberi kesan besar. Mama boleh gunakannya untuk menumis ringan, memasak ringkas atau sebagai dressing salad bagi mengekalkan manfaat nutrisinya.
8. Terung

Terung merupakan sayur yang kaya dengan serat makanan dan tergolong dalam makanan penurun kolesterol. Serat ini membantu menyerap kolesterol jahat dalam sistem pencernaan dan mengurangkan kemasukannya ke dalam aliran darah.
Pengambilan terung secara berkala dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung, strok, obesiti dan diabetes jenis 2, terutamanya jika dimasak secara sihat seperti stim, bakar atau tumis ringan.
9. Teh Hijau

Teh hijau kaya dengan antioksidan yang dikenali sebagai catechins, yang membantu Mama mengurangkan penyerapan kolesterol dalam sistem pencernaan.
Pengambilan teh hijau secara berkala juga menyokong kesihatan jantung dan membantu meningkatkan metabolisme badan. Untuk kesan terbaik, Mama digalakkan minum teh hijau tanpa gula dan jadikan ia sebahagian daripada rutin harian.
10. Bendi

Bendi mengandungi bahan seakan gel yang dikenali sebagai mucilage, iaitu sejenis serat larut yang membantu mengikat cholesterol semasa proses pencernaan. Apabila cholesterol ini terikat, ia akan disingkirkan keluar dari badan melalui najis.
Pengambilan bendi secara berkala dapat membantu menurunkan paras cholesterol secara semula jadi, terutama jika dimasak secara ringkas seperti rebus, stim atau masak sup.
Turunkan cholesterol bukan tentang berlapar atau berhenti makan sedap, tetapi Mama bijak memilih makanan setiap hari. Dengan amalkan makanan yang boleh turunkan cholesterol secara konsisten, Mama bukan je jaga kesihatan diri sendiri, malah melindungi jantung keluarga Mama juga.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Mama Papa nak tahu apa lagi tip untuk menjaga kesihatan? Klik di SINI.
