Lepas bersalin, badan kita ibarat baru lepas ‘berperang’. Proses kehamilan dan kelahiran bukan saja mengubah bentuk badan, malah memberi kesan besar kepada hormon, emosi dan kesihatan dalaman wanita.
Sebab tu, waktu berpantang dianggap sebagai masa emas untuk pulihkan semula tubuh badan dengan betul.Tapi dalam keghairahan nak sihat cepat, nak perut kempis, nak rasa fit macam dulu, Mama mula amalkan jamu tanpa rujuk kepada doktor dulu.
Kononnya, jamu boleh bantu buang angin, mengecutkan rahim, pulihkan tenaga, dan kembalikan seri wajah. Tapi, Mama tahu tak? Jamu yang diambil pada masa atau cara yang salah boleh mendatangkan BAHAYA kepada diri sendiri dan juga bayi.
Lagi-lagi bila tiga atau empat minggu selepas bersalin Mama perlu lakukan internal cleaning selama 30 hari, iaitu pastikan darah nifas Mama sudah keluar semua dan kering.
Nak tahu kenapa? Jom baca sampai habis.
Kenapa Bahaya Makan Jamu dalam Pantang?
1. Memberi Kesan Buruk pada Rahim
Kebanyakan Mama yang mengambil jamu bertujuan untuk ‘mengecutkan rahim’ dengan lebih cepat selepas bersalin. Tetapi tidak semua jamu sesuai dengan keadaan tubuh selepas melahirkan anak.
Ada jamu yang mengandungi bahan yang terlalu kuat sehingga merangsang pengecutan rahim secara berlebihan. Ini boleh menyebabkan rasa sakit yang luar biasa, pendarahan berpanjangan atau luka dalam rahim lambat sembuh.
Keadaan ini amat berisiko terutamanya bagi Mama yang bersalin secara pembedahan (cesarean) atau mengalami komplikasi seperti tumpah darah. Jika rahim dipaksa mengecut sebelum waktunya, risiko seperti tisu rosak atau jangkitan juga boleh berlaku.
2. Mengganggu Pengeluaran Susu Badan Mama

Selepas bersalin, pengeluaran susu badan bergantung kepada kestabilan hormon dan kesihatan badan Mama. Namun, sesetengah jamu mengandungi herba yang mempunyai kesan diuretik (menggalakkan pembuangan air kecil) atau bersifat ‘panas’ yang boleh mengganggu keseimbangan hormon dan cecair badan.
Ini boleh menyebabkan penghasilan susu menurun atau menjadi tidak konsisten. Akibatnya, bayi Mama tidak mendapat nutrisi yang mencukupi dan ini boleh menjejaskan pertumbuhan serta berat badan bayi.
Lagi membimbangkan, bila Mama mula rasa stress kerana susu mula‘kering’, walhal puncanya mungkin datang daripada jamu yang Mama amalkan.
3. Boleh Sebabkan Bayi Kembung atau Cirit-birit

Mama yang menyusu badan, apa sahaja yang dimakan oleh Mama akan turut disalurkan kepada bayi melalui susu. Kalau mengambil jamu semasa dalam pantang mengandungi bahan-bahan seperti halia tua, kunyit, atau herba yang kuat, bayi boleh terkesan walaupun sedikit.
Sistem pencernaan bayi yang masih belum matang tidak dapat menghadam bahan tersebut dengan baik, lalu menyebabkan bayi mengalami simptom seperti kembung, perut berangin, muntah, atau cirit-birit.
Lebih-lebih kalau bayi Mama kuning. Ini akan membuatkan bacaan kuning akan makin meningkat.
Masalah ini bukan sahaja buat bayi Mama tidak selesa dan kerap menangis, malah turut menjejaskan waktu tidur dan proses tumbesaran awal mereka.
4. Kandungan Produk Tidak Jelas
Jamu yang dijual secara komersial, terutama dalam talian, tidak semuanya dikilangkan secara selamat. Ada yang dicampur dengan bahan terlarang seperti steroid, pil pelangsing atau pengawet berbahaya untuk tahan lama.
Antara bahaya jamu tidak berdaftar:
- Tidak tahu dos sebenar setiap bahan.
- Campuran herba yang boleh bertindak balas dengan ubat lain.
- Tiada kajian klinikal atau jaminan keselamatan.
5. Reaksi Alergi atau Gangguan Buah Pinggang dan Hati

Jamu tradisional biasanya tidak dinyatakan secara jelas kandungan atau dos sebenar herba yang digunakan. Ada juga jamu di pasaran yang dicampur dengan bahan kimia atau logam berat secara haram untuk meningkatkan keberkesanan.
Bila bahan-bahan ini masuk ke dalam badan Mama, ia boleh membebankan organ penapis seperti buah pinggang dan hati. Dalam jangka masa panjang, boleh membawa kepada kerosakan organ, keradangan, atau keracunan.
Selain itu, reaksi alahan juga boleh berlaku seperti ruam, gatal-gatal, muka/mata mula bengkak atau sesak nafas terutamanya bagi Mama yang sudah ada alahan terhadap herba tertentu.
Alternatif Sihat Semasa Mama Berpantang

Kalau Mama nak rasa sihat dan bertenaga semasa berpantang tanpa ambil risiko, boleh cuba alternatif ni:
- Minum air suam dengan hirisan halia, tapi jangan berlebihan.
- Amalkan makanan tinggi zat besi seperti hati ayam, bayam, kurma.
- Rehat dan tidur secukupnya, walaupun sukar, cuba curi masa.
- Berurut dengan bidan berpengalaman, elak tekanan kuat di perut.
- Ambil suplemen yang disarankan doktor seperti vitamin C, zat besi dan kalsium.
Kalau rasa tak sedap badan selepas ambil sesuatu, hentikan segera dan dapatkan nasihat pakar.
Berpantang ni tempoh yang sangat penting untuk kesihatan jangka panjang Mama. Jangan hanya kerana nak cepat kurus atau nak ikut tradisi, Mama pertaruhkan nyawa sendiri. Setiap orang ada pengalaman berbeza. Kalau orang lain sesuai dengan pengambilan jamu dalam pantang, tak semestinya Mama pun sama.
Utamakan keselamatan, buat keputusan yang bijak, dan rujuk mereka yang bertauliah. Bila badan Mama sihat, barulah boleh jaga anak dengan tenang dan bahagia.
Ingat, sihat dari dalam itu lebih penting daripada kelihatan sihat dari luar. Selamat berpantang Mama!
Masih banyak lagi info kesihatan yang Mama boleh explore jom, klik di SINI.