Sempena sambutan Hari Bapa, kita ingatkan mereka bahawa kesihatan mereka bukanlah hal peribadi, tetapi juga melibatkan keluarga. Seorang bapa yang sihat ialah tunjang kepada keluarga yang bahagia dan kuat.

Pakar Perunding Perubatan Dalaman
Pakar Perunding Perubatan Dalaman dari Columbia Asia Hospital – Iskandar Puteri, Dr. Dimitraj Maniam, berkongsi beberapa persoalan penting tentang kesihatan lelaki masa kini, terutama bagi mereka yang sentiasa sibuk membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.
Apakah masalah kesihatan paling biasa dialami kaum lelaki di zaman sekarang, terutamanya yang sibuk bekerja dan berkeluarga?
“Antara masalah kesihatan yang biasa dialami oleh kaum lelaki termasuklah hipertensi (tekanan darah tinggi), kolesterol tinggi, diabetes dan obesiti. Ramai lelaki yang sibuk tidak bersenam secara tetap, mempunyai tabiat pemakanan yang kurang sihat, bekerja terlalu lama dan mengalami tahap stres yang tinggi. Semua ini meningkatkan risiko mereka untuk mendapat penyakit metabolik. Penyakit kardiovaskular masih merupakan punca utama kematian lelaki di seluruh dunia. Saya juga dapat melihat peningkatan kes penyakit hati berlemak, gangguan tidur dan masalah kesihatan mental, terutamanya stres, keresahan dan kemurungan.”
Ramai lelaki selalu tangguh atau elak pemeriksaan kesihatan. Apakah keadaan kesihatan tanpa gejala yang perlu disaring secara berkala, dan bila boleh mulakan?
“Ada penyakit yang tidak menunjukkan sebarang gejala tapi boleh jadi sangat bahaya. Jadi, pemeriksaan kesihatan secara berkala sangat penting. Antara saringan yang disarankan:
“Ada penyakit yang tidak menunjukkan sebarang gejala tapi boleh jadi sangat bahaya. Jadi, pemeriksaan kesihatan secara berkala sangat penting. Antara saringan yang disarankan:
- Tekanan darah
Mula periksa setiap tahun dari umur 30 atau lebih awal kalau ada risiko lain.
- Paras gula dalam darah
Penting untuk kesan kencing manis awal, terutama kalau berat badan berlebihan atau ada sejarah keluarga.
- Kolesterol
Mulakan saringan sekitar umur 35 hingga 40 tahun, atau lebih awal kalau berisiko.
- Kolonoskopi
Sangat digalakkan bila mencecah umur 50 tahun, atau lebih awal jika ada ahli keluarga yang pernah kena kanser usus.
- Kesihatan prostat
Ujian Prostate-specific antigen (PSA) atau pemeriksaan prostat boleh dimulakan seawal umur 50 tahun, atau 45 tahun kalau ada sejarah keluarga.
“Saringan kesihatan membantu mengesan penyakit senyap pada peringkat awal ketika tiada gejala yang boleh dilihat. Apabila sesuatu penyakit dikesan lebih awal, rawatannya menjadi lebih mudah dan keberkesanannya juga lebih tinggi, sekali gus memberi hasil yang lebih baik kepada pesakit.”
Ramai lelaki alami stres dan mengalami keletihan emosi. Apakah kesan stres kronik pada tubuh badan dalam jangka panjang?

“Bila stres berpanjangan, hormon seperti kortisol dan adrenalin akan sentiasa tinggi dalam badan. Ini boleh menyebabkan tekanan darah naik, jantung berdegup laju, dan akhirnya meningkatkan risiko penyakit jantung. Sistem imun juga jadi lemah, membuatkan kita mudah jatuh sakit. Tidur pun terganggu, badan letih, cepat marah dan susah nak fokus. Dalam jangka panjang, ini boleh menyebabkan keresahan, kemurungan, dan burnout.”
Adakah penyakit metabolik dalam kalangan lelaki pertengahan usia, seperti penyakit kardiovaskular, memberi kesan kepada keluarga?
“Apabila seorang bapa disahkan menghidap penyakit metabolik, ia bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan dan masa depannya, tetapi juga kepada kesejahteraan seluruh keluarga. Dia menjadi kurang bersemangat dan kurang bertenaga untuk meluangkan masa bersama keluarga. Stres berkaitan kerja juga sering terbawa-bawa pulang dan mengganggu interaksi keluarga, sekali gus menjejaskan keharmonian keluarga. Kos perubatan dan kehilangan masa bekerja akibat sakit berkemungkinan menimbulkan masalah kewangan. Dalam situasi paling buruk, sekiranya si bapa menjadi kurang upaya atau meninggal dunia akibat penyakit tersebut, keluarga akan mengalami gangguan besar dari segi sosial, ekonomi dan emosi.”
Apakah amalan kesihatan seharian yang mudah dan menjimatkan masa buat mereka yang sibuk?

“ Perubahan kecil pun boleh membawa kesan yang besar:
- Lakukan aktiviti fizikal ringkas dalam rutin harian: Berjalan laju selama 30-40 minit, naik tangga, atau lakukan senaman rintangan (menggunakan berat badan atau pemberat), semua ini mudah, praktikal dan berkesan.
- Pilih makanan dengan bijak: Pastikan hidangan seimbang, utamakan buah-buahan, sayur-sayuran, protein tanpa lemak, dan bijirin penuh; kurangkan makanan terproses dan gula halus (termasuk makanan dan minuman).
- Kekal terhidrat: Minum air secukupnya sepanjang hari.
- Amalkan teknik mengurangkan stres: Pernafasan dalam, meditasi, atau regangan badan boleh membantu mengurangkan tahap stres.
- Dapatkan tidur yang mencukupi: Tujuh hingga lapan jam setiap malam adalah optimum.”
Adakah terdapat teknologi terkini yang boleh membantu manusia memantau kesihatan mereka?
“Pada masa kini, terdapat pelbagai alat berteknologi yang dapat membantu kita kekal peka terhadap kesihatan. Aplikasi kesihatan mudah alih, sebagai contoh, boleh mengira jumlah langkah, memantau kadar denyutan jantung, mengingatkan pengguna untuk mengambil ubat, serta mencatat butiran pemakanan dan pengambilan kalori. Peranti boleh pakai seperti jam tangan pintar pula menawarkan fungsi lebih lanjut dengan merekod parameter kecergasan, mengesan degupan jantung tidak normal, dan memantau kualiti tidur. Selain itu, alat pemantauan di rumah seperti mesin tekanan darah digital dan glukometer memudahkan pemantauan kesihatan. Teleperubatan juga memainkan peranan penting dengan menyediakan konsultasi secara virtual yang mudah diakses, sekali gus memudahkan mereka yang sibuk untuk mendapatkan nasihat kesihatan profesional.”
Bagaimana seorang ayah boleh menjadi contoh kesihatan yang baik untuk anak-anak?
“Anak-anak akan contohi apa yang mereka lihat. Bila bapa rajin bersenam, makan sihat, kawal stres, tak merokok, dan buat pemeriksaan kesihatan secara berkala, mereka akan tiru. Lama-kelamaan, ini akan bentuk budaya hidup sihat dalam keluarga. Kalau amalan sihat ni diteruskan dari satu generasi ke generasi seterusnya, ia boleh bantu kurangkan risiko penyakit kronik dalam keluarga.”
Apa nasihat doktor untuk seorang ayah yang terlalu sibuk sampaikan tidak pasti apakah langkah pertama yang harus dilakukan untuk menjaga kesihatan?

“Jangan paksa diri berubah sepenuhnya sekali gus. Tetapkan matlamat mudah untuk dicapai, seperti berjalan selama 15 minit sehari, minum lebih banyak air, atau menjadualkan pemeriksaan kesihatan yang telah lama ditangguhkan. Yang penting, mula. Tidak perlu sempurna, asalkan ada kemajuan. Minta sokongan dari pasangan, keluarga atau doktor. Jaga diri sendiri supaya boleh terus jadi penyokong utama keluarga.”
Akhir kata, apa pesanan anda untuk semua bapa sempena Hari Bapa?
“Kesihatan anda adalah hadiah yang sangat berharga untuk keluarga anda. Bila anda sihat, anda bukan saja dapat jaga diri sendiri, anda juga jaga orang tersayang yang bergantung pada anda. Jadi tolong utamakan kesihatan anda. Luangkan masa untuk pemeriksaan kesihatan, dan buat perubahan kecil ke arah hidup yang lebih sihat. Keluarga anda perlukan anda, dalam keadaan sihat, bahagia dan hadir dalam hidup mereka. Dan anda sendiri pun layak nikmati hidup yang anda bina selama ini.”
Nak tahu lebih banyak ilmu keibubapaan yang menarik dan berguna? Klik di SINI.