Kecederaan pada muka mungkin tidak selalu mengancam nyawa. Bagaimanapun, ia boleh meninggalkan kesan yang serius, bukan sahaja patah tulang atau trauma dalaman tetapi juga kepada emosi.
Kajian menunjukkan kemalangan motosikal adalah punca utama trauma maksilofasial di Malaysia, melibatkan permukaan, rahang dan tisu lembut wajah1. Ramai pengguna jalan raya masih menggunakan perlindungan kepala yang tidak memadai, menjadikan bahagian muka lebih terdedah kepada kecederaan.

Dr Nur Shazwani Farah Md Mydin Siddik, Pakar Bedah Plastik & Pembinaan Semula dan Dr Aaron Lai Kuo Huo, Pakar Perubatan Kecemasan, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, menjelaskan, trauma wajah memberi kesan yang jauh lebih mendalam daripada sekadar isu kosmetik.
“Trauma wajah ialah kecederaan di permukaan, tisu lembut atau tulang di bahagian muka. Walaupun sering dianggap sebagai isu kosmetik, ia boleh menyebabkan komplikasi serius dan berpotensi mengancam nyawa. Oleh itu, rawatan segera amat penting bagi memastikan keselamatan pesakit,” kata Dr Shazwani.
Di Sebalik Luka dan Parut

Bagi ramai mangsa kemalangan, jabatan kecemasan menjadi tempat pertama untuk mendapatkan rawatan. “Kecederaan yang sering kami lihat termasuk luka pada wajah, keretakan tulang rahang, pipi dan hidung. Dalam kalangan penunggang motosikal, ia biasanya berpunca daripada hentakan kuat semasa kemalangan, terutamanya jika tidak memakai topi keledar atau pemakaiannya yang tidak betul,” kata Dr Aaron.
Selain kesan lebam, trauma wajah berpotensi menyekat saluran pernafasan akibat pendarahan atau bengkak. “Sebaik pesakit stabil, kami akan menilai fungsi penglihatan, percakapan, keupayaan menelan serta kestabilan tulang muka. Imbasan CT juga dilakukan bagi mengenal pasti sama ada terdapat keretakan atau kecederaan yang lebih dalam. Berdasarkan keadaan pesakit, pesakit akan dirujuk kepada pakar bedah plastik, ENT, mata atau maksilofasial,” tambahannya.
Selepas pemulihan awal, ada pesakit yang hanya tampil mendapatkan rawatan lanjutan selepas berbulan-bulan atau bertahun-tahun kemudian apabila masalah seperti ketidaksimetrian wajah, kesukaran mengunyah, atau parut lama tidak lagi boleh diabaikan. “Pesakit dengan trauma wajah yang sudah berbulan-bulan atau bertahun-tahun akan dinilai dengan teliti terhadap kecacatan residual, gangguan fungsi, dan tisu parut yang terbentuk,” jelas Dr Shazwani.
“Apabila rahang atau bahagian tengah muka retak, kami akan menyusun semula dan merekonstruksi struktur-strukrur ini untuk memulihkan fungsi dan keseimbangan,” kata Dr Shazwani. “Trauma wajah boleh meninggalkan parut, ketidaksimetrian dan kecacatan yang menjejaskan penampilan dan keyakinan diri. Kes peringkat lewat kebiasaanya memerlukan beberapa rawatan, dari pembedahan pembetulan kepada pembaikan parut dan rehabilitasi.”
Pembedahan Estetik Bukan Lagi Tentang Kecantikan Semata-mata
Kita sering mengaitkan pembedahan estetik dengan kecantikan atau kepuasan diri. Namun bagi pesakit trauma, pembedahan estetik ialah sebahagian penting dalam proses memulihkan fungsi normal wajah dan keyakinan diri mereka.

“Trauma wajah boleh meninggalkan parut atau kecacatan yang menjejaskan cara seseorang bercakap, makan, atau bergaul dengan orang lain. Salah tanggapan yang lazim ialah pembedahan estetik hanyalah mengenai penampilan. Sebenarnya, ia tentang memulihkan fungsi dan simetri wajah, serta kualiti hidup pesakit,” jelas Dr Shazwani.
Teknologi yang Merawat dan Realiti Di Sebalik Pemulihan
Kemajuan teknologi perubatan kini mempercepatkan pemulihan. Rawatan seperti pembedahan endoskopik, penggunaan plat boleh larut (dissolvable plates), terapi laser, dan rawatan regeneratif seperti pemindahan lemak (fat grafting) membolehkan penyembuhan lebih cepat dengan risiko parut minima. “Teknologi kini membolehkan pembedahan dengan insisi lebih kecil, kawalan parut lebih baik, dan pemulihan lebih cepat, menyokong komitmen kami dalam meningkatkan kualiti pengurusan trauma,” tambah Dr Shazwani.
Dr Aaron pula berkata pendekatan di jabatan kecemasan bukan lagi sekadar menyelamatkan nyawa tetapi juga menekankan campur tangan awal bagi mengekalkan fungsi dan penampilan jangka panjang pesakit. “Teknologi pengimejan terkini membantu menstabilkan kecederaan dan mengurangkan komplikasi.”
“Tiada siapa yang menjangka akan terlibat dalam kemalangan. Namun wajah anda sering menjadi bahagian pertama terjejas dalam kemalangan. Pemakaian topi keledar penuh, menggunakan peralatan keselamatan yang diiktiraf, serta mendapatkan rawatan awal sekiranya berlaku kemalangan, boleh memberi impak besar kepada keselamatan dan kesihatan anda,” tambahnya.
Panduan Pertolongan Cemas untuk Orang Sekeliling
Nasihat Dr Aaron kepada orang awam yang berada di tempat kemalangan, “Jika seseorang mengalami kecederaan wajah, pastikan saluran pernafasan terbuka dan hentikan pendarahan dengan menekan perlahan menggunakan kain bersih. Gunakan kaedah jaw thrust jika pernafasan sukar, terutamanya dengan kecederaan leher. Jangan cuba menolak tulang kembali ke tempat asal atau membuka topi keledar mereka kecuali perlu, dan segera dapatkan bantuan perubatan.”

Bagi mereka yang sedang melalui proses pemulihan, Dr Shazwani berkata, “Pemulihan memerlukan masa, perlu dijalani dengan sabar. Rawatan terkini boleh memulihkan fungsi dan penampilan wajah. Parut mungkin nampak ketara pada awalnya, tetapi biasanya akan pudar dengan masa. Rawatan yang disesuaikan dengan pesakit dapat meningkatkan hasil. Fokus pada kemajuan, bukannya kesempurnaan. perkembangan dari masa ke masa, bukan pada kekurangan diri ketika itu.
Rujukan
- Rahman, R., Hussaini, H., Rahman, N., Rahman, S., Nor, G., Idrus, S., & Ramli, R. (2007). Facial Fractures in Kajang Hospital, Malaysia: A 5-Year Review. European Journal of Trauma and Emergency Surgery, 33, 90-95. https://doi.org/10.1007/s00068-007-5154-5.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Terokai lebih banyak panduan dan ilmu keibubaapn untuk Mama Papa di SINI.
