Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, lebih daripada 33% atau 7.6 juta rakyat Malaysia kini hidup dengan kolesterol tinggi. Penyakit kardiovaskular juga kekal sebagai punca kematian utama dalam kalangan lelaki Malaysia, bertanggungjawab atas 17.6% daripada jumlah kematian lelaki pada 2025.

Krisis kesihatan jantung senyap kini semakin tinggi dalam kalangan lelaki berusia 20-an ke 30-an, hanya dikesan selepas mereka mengalami serangan jantung, strok atau melalui ujian darah.
Dr Richard Chan Tze Ming, Pakar Kardiologi Intervensi dan Perubatan Dalaman, serta Pakar Perubatan Kecemasan, Dr Lim Eu Jack dari Pusat Perubatan Sunway, Sunway City, kini melihat trend membimbangkan ini secara langsung.
“Penyakit jantung bukan lagi penyakit ‘pakcik-pakcik’. Kami melihat semakin ramai pesakit muda yang menghidapi penyakit ini,” kata Dr Richard.
Dr Jack turut berkongsi pandangan yang sama. “Pesakit paling muda yang saya rawat akibat serangan jantung serius berusia seawal 30-an. Ramai dalam kalangan lelaki hanya mengetahui bahawa mereka mempunyai tekanan darah tinggi atau penyakit kencing manis selepas datang ke jabatan kecemasan atas sebab lain yang tidak berkaitan dengan penyakit tersebut. Ada juga yang hadir dengan simptom sakit dada atau selepas mengalami serangan jantung,” katanya.
Lelaki Muda Disaran Lebih Peka Terhadap Paras Kolesterol Tinggi dan Faktor Kesihatan Lain

Menurut Dr Richard, kolesterol tinggi sering menjadi faktor utama di sebalik kes ini. Dislipidemia, paras lemak dalam darah yang tidak normal, dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia.
Kajian menunjukkan familial hypercholesterolemia (FH) menjejaskan kira-kira 1 dalam 100 rakyat Malaysia, bersamaan lebih 320,000 orang, lebih tinggi daripada purata global.
Dr Richard turut menjelaskan, walaupun faktor pemakanan menyumbang kepada sebahagian paras kolesterol seseorang, genetik juga memainkan peranan penting.

“Ada individu menghasilkan lebih banyak kolesterol jahat walaupun mereka kerap bersenam dan menjaga pemakanan disebabkan faktor genetik. Sebab itu, ada pesakit yang jarang makan makanan berminyak tetapi masih mempunyai kolesterol tinggi. Isu ini bukan hanya berkaitan dengan pemakanan, tetapi juga cara tubuh berfungsi,” katanya.
Dr Jack menyatakan bahawa terdapat ramai pesakit yang mendapatkan rawatan di jabatan kecemasan, mendapati bahawa mereka menghidapi tekanan darah atau gula darah yang tinggi secara kebetulan. Manakala, tahap kolesterol tinggi jarang dikesan di kalangan pesakit di jabatan kecemasan memandangkan ujian profil lipid bukanlah ujian rutin dan memerlukan pesakit berpuasa telebih dahulu. Tekanan darah tinggi, penyakit kencing manis, dan kolesterol tinggi biasanya berlaku tanpa gejala ketara selama bertahun-tahun, sering tidak disedari sehingga komplikasi berlaku. Oleh itu, saringan kesihatan berkala adalah amat penting,” katanya.
Gaya Hidup Yang Tidak Sihat Lebih Memburukkan Keadaaan
Walaupun genetik memainkan peranan, gaya hidup tidak sihat memburukkan lagi keadaan dan meningkatkan risiko penyakit jantung yang lebih awal dalam kalangan lelaki muda.

“Walaupun bersenam, ramai di kalangan anak muda yang makan di kedai mamak atau makanan segera. Makanan diproses, minyak masak terpakai dan lemak trans semuanya meningkatkan kolesterol LDL,” ujar Dr Richard.
Dr Jack turut menyuarakan kebimbangan sama. “Ramai lelaki mengabaikan tanda awal seperti sakit dada, kelelahan dan kesesakan nafas, sering disangka masalah gastrik atau keletihan biasa. Dengan faktor risiko seperti merokok, pemakanan tidak sihat dan sejarah keluarga, kelewatan mendapatkan rawatan boleh membawa maut. Merokok, khususnya, menjadi faktor utama dalam kalangan pesakit muda dikaitkan dengan sakit jantung,” katanya.
Tindakan Yang Diperlukan Daripada Rakyat Malaysia

Kedua-dua pakar menekankan bahawa pencegahan bermula dengan kesedaran dan tindakan mudah. “Ujian darah dan pemeriksaan tekanan darah sudah memadai untuk mengenal pasti masalah seperti kolesterol tinggi, diabetes atau hipertensi. Mengetahui bacaan kesihatan anda adalah langkah pertama untuk mengawal kesihatan. Faktor risiko ini boleh diubah, dan jika ditangani lebih awal, komplikasi serius seperti serangan jantung dan strok dapat dicegah,” kata Dr Jack.
Dr Richard menambah, “Jangan tunggu sehingga symptom muncul. Kolesterol itu bersifat senyap. Jika anda mempunyai sejarah keluarga, berat badan berlebihan atau merokok, sepatutnya lakukan saringan seawal usia 20-an,” katanya

Bagi mereka yang mempunyai kolesterol sangat tinggi, perubahan gaya hidup sahaja mungkin tidak mencukupi dan ubat diperlukan bagi menurunkan paras kolesterol ke tahap selamat.
Tetapi adakah itu bermakna mereka perlu berhenti makan makanan kegemaran? “Tidak sama sekali. saya selalu menasihati pesakit, janganlah menyeksa diri. Anda boleh mengamalkan pemakanan secara berserderhana. Gaya hidup sihat mesti realistik dan boleh dikekalkan. Jika terlalu dikawal, anda akan mudah hilang motivasi dan kembali kepada tabiat lama,” jelas Dr Richard.
Saringan Awal Boleh Menyelamatkan Nyawa

Sama ada anda seorang bapa 40-an atau berusia 28 tahun yang lakukan senaman berjoging dua kali seminggu, tetapi sering makan makanan segera, mesejnya masih sama, lakukan saringan kesihatan awal.
“Kesihatan jantung anda tidak menanti masa. Hadiah terbaik untuk diri sendiri ialah kesedaran dan tindakan sebelum terlambat,” pesan Dr Richard.
“Kelihatan sihat tidak semestinya bermakna anda benar-benar sihat. Pencegahan dan saringan awal amat penting kerana ia jauh lebih mudah dan selamat berbanding rawatan kecemasan. Penjagaan kesihatan jantung dari sekarang amat penting supaya dapat terus menikmati hidup bersama keluarga kemudian hari,” tambah Dr Jack.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Terokai lebih banyak panduan dan ilmu keibubapaan untuk Mama Papa di SINI.
