Ia mungkin bermula dengan batuk, ruam, atau demam ringan. Tiba-tiba tanpa disedari, anak anda terpaksa berehat di rumah kerana sakit, dan anda perlu menguruskan kerja, rasa bimbang, dan menjaga anak. Penyakit seperti Penyakit Tangan, Kaki, dan Mulut (HFMD), campak, dan influenza seolah-olah berulang setiap beberapa bulan.
Kuman mudah merebak di tempat sesak, yang kemudiannya mengganggu rutin, memaksa anak berehat dan mengganggu persekolahan dan pelajaran, juga menjejaskan selera dan tenaga mereka.
Punca Anak Kerap Sakit
Dr Ch’ng Tong Wei, Pakar Pediatrik dan Penyakit Berjangkit Pediatrik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, sering mendengar kebimbangan ini. Namun, beliau menyatakan bahawa adalah biasa untuk anak-anak kecil jatuh sakit.

“Anak-anak kecil, terutamanya yang baru mula memasuki prasekolah, boleh jatuh sakit sehingga lapan hingga 12 kali setahun, dan ini adalah normal. Sistem imun mereka ibarat sehelai kertas kosong. Lama-kelamaan, imuniti mereka semakin kuat kerana setiap jangkitan membantu dalam penghasilan antibodi,” jelas Dr Ch’ng.
Pendedahan bertahun-tahun mematangkan sistem imun, justeru kanak-kanak yang lebih berusia dan orang dewasa kurang dijangkiti.
Penyakit Kanak-Kanak Yang Lazim di Malaysia
Dalam iklim tropika Malaysia, beberapa jangkitan sering ditemui:
- Influenza (A & B) – lonjakan bermusim terutamanya pada hujung tahun dan semasa pembukaan semula sekolah.
- Virus Sinsitium Pernafasan (RSV) dan adenovirus – Selalunya menyebabkan batuk dan selsema yang berterusan.
- HFMD – merebak dengan mudah di pusat jagaan harian.
- Selesema perut (gastroenteritis) – menyebabkan muntah dan cirit-birit.
- Denggi – Perlu diwaspadai sepanjang tahun disebabkan oleh nyamuk.
- Cacar air dan campak – masih berlaku, terutamanya apabila kadar vaksinasi rendah.
Sukar bagi ibu bapa untuk mengetahui bila perlu risau kerana gejala seperti batuk, demam, dan kelesuan sering berlaku serentak.
Jangkitan Ringan atau Serius?
Dr Ch’ng menekankan bahawa kebanyakan jangkitan dalam kalangan kanak-kanak yang sihat adalah ringan dan ianya sembuh sendiri (self-limiting). “Jika demam berlarutan kurang daripada tiga hari, kanak-kanak kekal aktif, dan masih boleh makan dan minum, walaupun dengan selera yang kurang, kemungkinan ianya jangkitan yang ringan,” jelas beliau.
Walau bagaimanapun, Dr Ch’ng menasihati ibu bapa bahawa beberapa gejala tidak boleh diabaikan. Antaranya seperti demam yang berlarutan lebih daripada tiga hari, kesukaran
bernafas, mengantuk yang luar biasa, muntah atau cirit-birit yang berterusan, atau ruam yang merebak dengan cepat, kerana ini mungkin menandakan sesuatu yang lebih serius.
“Jika anak anda kelihatan semakin tidak sihat atau menunjukkan mana-mana tanda ini, jangan tunggu. Bawa mereka untuk pemeriksaan yang sewajarnya. Tindakan awal boleh membawa perubahan besar,” kongsi beliau.
Adakah Ini Gangguan Imun?
Walaupun jarang berlaku, masalah imun yang tersembunyi boleh menyebabkan jangkitan yang teruk atau berterusan. “Kanak-kanak dengan imunodefisiensi sering jatuh sakit dan mengalami jangkitan yang teruk. Mereka mungkin memerlukan kemasukan ke hospital yang kerap atau mengalami jangkitan virus atau fungal yang berulang. Pertumbuhan atau penambahan berat badan yang lemah juga boleh menjadi tanda,” kata Dr Ch’ng.
Apabila masalah imun disyaki, pakar pediatrik akan melakukan ujian darah atau merujuk kepada pakar imunologi untuk saringan yang khusus. Ujian sebegini bukan prosedur rutin. Ia hanya dicadangkan apabila tanda-tanda yang jelas muncul.
Faktor yang Mempengaruhi Imuniti Kanak-kanak

Keupayaan kanak-kanak untuk melawan jangkitan dipengaruhi oleh gabungan beberapa faktor, termasuk genetik, persekitaran, amalan gaya hidup, dan langkah-langkah pencegahan.
Sesetengah kanak-kanak secara semula jadi lebih kerap sakit disebabkan oleh keadaan seperti asma, ekzema, atau alahan, yang menjadikan sistem imun mereka lebih reaktif. Pendedahan kepada asap rokok secara pasif, pencemaran, atau persekitaran yang sesak juga boleh meningkatkan kemungkinan jangkitan berulang.
Walaupun genetik tidak boleh diubah, ibu bapa boleh menguatkan imuniti melalui amalan sihat seperti tidur yang mencukupi, senaman berkala dan bermain di luar, diet seimbang dan rendah gula, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mencukupi, suplemen vitamin D, dan penjagaan kebersihan tangan.
“Tidak perlu mengambil suplemen yang mahal. Kebanyakan kanak-kanak boleh mendapatkan apa yang mereka perlukan daripada diet seimbang, tidur yang mencukupi, dan rutin yang sihat,” tegas Dr Ch’ng.
Pentingnya Pencegahan
Penjagaan kesihatan pencegahan memainkan peranan penting dalam memastikan kanak-kanak kekal sihat. Pengalaman pandemik membuktikan bahawa amalan mencuci tangan, memakai pelitup muka, serta mengelak tempat sesak mampu mengurangkan jangkitan.
Vaksinasi masih merupakan antara kaedah yang paling berkesan. Vaksin rutin telah mengurangkan secara drastik penyakit seperti campak dan pertussis, manakala vaksin tambahan (rotavirus, hepatitis A, cacar air) menawarkan perlindungan tambahan.
“Vaksin mengelakkan penyakit menjadi serius. Apabila kadar perlindungan menurun, wabak akan berlaku. Penting untuk memastikan anak anda divaksinasi sepenuhnya untuk membina imuniti jangka panjang,” jelas Dr Ch’ng.
Penjagaan kesihatan pencegahan turut melibatkan pemeriksaan doktor secara rutin. “Jangan tunggu anak sakit baru buat temu janji dengan doktor. Pemantauan tumbesaran, vaksinasi, dan saringan perkembangan membantu memastikan anak anda mencapai pertumbuhan yang sihat, sasaran fizikal, dan kesejahteraan menyeluruh,” kata Dr Ch’ng.
Kata-Kata Akhir Buat Ibu Bapa
“Jangan rasa bersalah apabila anak anda jatuh sakit. Ia adalah sebahagian daripada proses membesar. Perhatikan tanda-tanda amaran, kekalkan rutin yang sihat, dan percayai naluri anda. Ibu bapa paling mengenali anak mereka. Jika ada sesuatu yang tidak betul, dapatkan bantuan perubatan dengan segera. Dengan pengetahuan dan sokongan yang sewajarnya, ibu bapa boleh menguruskan tahun-tahun awal ini dengan keyakinan dan ketenangan fikiran,” kata Dr Ch’ng.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak tips tentang keibubapaan untuk Mama Papa DI SINI!
