Dr. Noor Zehan Binti Abdul Rahim, Pakar Pediatrik dan Respiratori Kanak-kanak dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) membincangkan mitos yang lazim dan memberikan fakta penting untuk membantu ibu bapa memahami risiko dan realiti influenza pada kanak-kanak.
1. Mitos: Infleunza Hanya Selesema Biasa yang Teruk, Ia Tidak Serius
- Realiti: Walaupun influenza berkongsi beberapa gejala dengan selesema biasa, seperti hidung berair dan batuk, namun ia jauh lebih serius. Influenza boleh menyebabkan gejala penyakit yang serius, kemasukan ke hospital, dan juga kematian, terutamanya pada kanak-kanak kecil, warga emas, dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada. Kanak-kanak berumur bawah 5 tahun, terutamanya mereka di bawah 2 tahun, mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami komplikasi seperti pneumonia, bronkitis, dan jangkitan telinga.
- “Influenza boleh memberi kesan yang serius, walaupun pada kanak-kanak yang sihat. Ia adalah virus pernafasan yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital atau komplikasi lain, dan perlu diambil serius,” kata Dr. Noor Zehan.
2. Mitos: Kanak-kanak Tidak Boleh Mendapat Influenza Jika Mereka Tidak Terdedah kepada Orang Sakit

- Realiti: Influenza boleh merebak dengan mudah, walaupun melalui titisan pernafasan di udara apabila seseorang yang dijangkiti batuk atau bersin. Kanak-kanak boleh dijangkiti influenza biarpun tanpa kontak rapat dengan pesakit, terutamanya di persekitaran yang sesak seperti pusat jagaan kanak-kanak, sekolah, atau tempat awam di mana seseorang itu mungkin tidak sedar mereka telah berjangkit dan berisiko menjangkiti orang lain.
- “Influenza boleh berjangkit walaupun seseorang yang dijangkiti belum menunjukkan gejala. Influenza boleh merebak sebelum seseorang menyedari mereka sakit, bermakna kanak-kanak di sekolah atau pusat jagaan kanak-kanak berisiko lebih tinggi dijangkiti,” jelas Dr. Noor Zehan.
3. Mitos: Vaksin Influenza Menyebabkan Kanak-kanak Influenza
- Realiti: Vaksin influenza mengandungi sama ada virus yang tidak aktif (dalam vaksin suntikan) atau virus yang dilemahkan (dalam semburan hidung). Kedua-dua versi vaksin ini tidak boleh menyebabkan influenza. Sesetengah kanak-kanak mungkin mengalami kesan sampingan ringan seperti demam atau sakit di tempat suntikan, tetapi ini tidak sama dengan influenza dan biasanya kesan-kesan sampingan ini akan hilang dalam satu atau dua hari.
- “Vaksin influenza tidak boleh menyebabkan influenza. Kesan sampingan ringan yang dialami kanak-kanak selepas vaksinasi adalah sementara dan jauh lebih ringan daripada gejala influenza sebenar. Vaksin ini direka untuk melindungi kanak-kanak daripada influenza dan mencegah komplikasi serius,” jelasnya.
4. Mitos: Antibiotik Boleh Menyembuhkan Influenza

- Realiti: Influenza disebabkan oleh virus, dan antibiotik hanya berkesan terhadap jangkitan bakteria, bukan jangkitan virus. Walaupun antibiotik boleh diberi untuk merawat jangkitan bakteria sekunder (seperti pneumonia atau jangkitan telinga), ia tidak akan membantu menyembuhkan influenza. Ubat antiviral, seperti oseltamivir, boleh digunakan untuk memendekkan tempoh gejala influenza jika diambil pada peringkat awal, tetapi ia tidak boleh menyembuhkannya.
- “Antibiotik tidak berkesan untuk penyakit virus seperti influenza dan hanya boleh digunakan jika terdapat komplikasi bakteria. Ubat antiviral adalah penting apabila diambil pada masa sesuai dan dalam tempoh 48 jam pertama permulaan gejala,” katanya.
5. Mitos: Jika Anak Saya Hidung Berair dan Batuk, Sudah Pasti Ia Influenza
- Realiti: Walaupun hidung berair dan batuk adalah gejala lazim influenza, ia juga boleh berlaku dalam jangkitan virus lain seperti selesema biasa, virus sinsitium pernafasan (RSV), atau alahan. Influenza biasanya juga melibatkan demam, sakit badan, dan keletihan. Ujian influenza pantas mungkin diperlukan untuk mengesahkan diagnosis, kerana gejala sahaja tidak konklusif.
- Dr. Noor Zehan menjelaskan bahawa pelbagai keadaan yang berbeza boleh menyebabkan hidung berair dan batuk. Influenza biasanya disertai dengan gejala tambahan seperti demam, menggigil, dan sakit otot. Jika kanak-kanak menunjukkan gejala yang teruk, atau jika ibu bapa bimbang, mereka harus berjumpa doktor untuk medapatkan diagnosis yang betul.
6. Mitos: Kanak-kanak Tidak Boleh Mendapat Influenza Jika Mereka Sihat

- Realiti: Kanak-kanak yang sihat juga berisiko mendapat influenza, dan ia boleh menyebabkan komplikasi serius, terutamanya bagi kanak-kanak di bawah 5 tahun, mempunyai asma atau keadaan kronik lain, atau mempunyai sistem imun yang lemah. Kanak-kanak yang sihat masih boleh mengalami gejala yang teruk seperti pneumonia atau memerlukan kemasukan ke hospital.
- Dr. Noor Zehan menekankan bahawa influenza boleh menjangkiti mana-mana kanak-kanak tanpa mengira status kesihatan mereka, dan kanak-kanak yang sihat juga boleh mengalami komplikasi yang teruk. Vaksinasi adalah langkah utama dalam mencegah penyakit berkaitan influenza.
7. Mitos: Jika Demam Anak Saya Turun, Influenza Sudah Hilang
- Realiti: Demam yang kebah selepas mengambil ubat tidak semestinya bermaksud influenza sudah sembuh. Walaupun demam telah reda, kanak-kanak masih boleh menjangkiti orang lain selama beberapa hari dan mungkin mengalami gejala lain seperti keletihan, sakit otot dan batuk. Komplikasi influenza masih boleh berlaku walaupun sudak tidak demam.
- Dr. Noor Zehan menjelaskan bahawa walaupun paracetamol atau ibuprofen boleh menurunkan demam dan memberi keselesaan, ini tidak bermakna jangkitan telah sembuh. Ibu bapa perlu memastikan anak bebas demam selama sekurang-kurangnya 24 jam sebelum kembali ke sekolah atau pusat penjagaan kanak-kanak, dan memantau gejala yang masih ada.
8. Mitos: Influenza Hanya Berjangkit Semasa Kanak-kanak Mempunyai Gejala

- Realiti: Kanak-kanak yang menghidap influenza boleh menjangkiti orang lain sebelum gejala muncul dan boleh terus menyebarkan virus sehingga 7 hari selepas gejala bermula. Ini bermakna kanak-kanak boleh menyebarkan influenza kepada orang lain walaupun mereka tidak berasa sakit atau sebelum gejala muncul.
- Dr. Noor Zehan menegaskan bahawa influenza boleh menular sebelum gejala muncul, dan kanak-kanak yang sakit perlu kekal berada di rumah untuk mengelakkan penyebaran penyakit.
9. Mitos: Ubat-ubatan Tanpa Preskripsi Akan Menyembuhkan Influenza
- Realiti: Ubat tanpa preskripsi (over-the-counter medications) untuk melegakan sakit (seperti paracetamol atau ibuprofen), dan dekongestan, boleh membantu mengurangkan gejala influenza seperti demam, sakit, atau kesesakan. Namun, ubat-ubat ini tidak boleh menyembuhkan influenza. Virus perlu menghabiskan kitarannya, dan gejala mungkin berterusan selama beberapa hari. Ubat antiviral boleh membantu memendekkan tempoh penyakit jika diambil pada peringkat awal.
- “Walaupun ubat tanpa preskripsi boleh melegakan gejala dan membantu kanak-kanak berasa lebih selesa, ia tidak merawat influenza itu sendiri. Ubat antiviral mungkin diresepkan untuk kes influenza yang teruk, tetapi kebanyakan kes akan sembuh dengan penjagaan sokongan,” kata Dr. Noor Zehan.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Terokai lebih banyak panduan dan ilmu keibubaapn untuk Mama Papa di SINI.