Mungkin ramai yang tak perasan, tetapi untuk mak ayah yang bawa stroller, lif di mall bukan sekadar kemudahan. Malah, ia adalah satu-satunya jalan untuk bergerak dengan lebih selamat.
Bayangkan, bukan hanya stroller, ada anak kecil yang tak reti duduk diam, beg berisi segala barang keperluan, dan kadang-kadang ada satu anak yang nak tidur, satu lagi yang mengamuk sebab bosan.
Sudah banyak kali juga sewaktu Mama Siti berdiri di hadapan lif, menunggu dengan penuh sabar. Setiap kali pintu lif terbuka, belum sempat bergerak, ada individu yang lain melangkah masuk terlebih dahulu.
Mama Siti pula hanya mampu melihat dan menunggu giliran yang entah bila akan tiba. Kadang-kadang terdetik di hati, “mereka tak perasan ke ada Mama Papa bersama stroller yang sedang menunggu lif juga?”.
Inilah realiti yang perlu dihadapi oleh Mama Papa setiap kali keluar ke tempat awam. Walaupun hati sedikit terkilan, tetap cuba bersabar dan berharap akan ada peluang untuk masuk lif turn seterusnya.
Setiap Kali ke Mall, Mesti Ada “Drama Lif”

Kalau Mama dah lama jadi ‘kaki mall’ dengan anak kecil, mesti tahu ‘perjuangan’ untuk dapat masuk lif. Kadang-kadang dah berdiri menunggu lama, bila pintu lif buka tapi orang lain yang sihat walafiat terus meluru masuk. Mama dengan stroller? Kena tunggu lagi.
Mama Siti pernah tunggu sampai 15 minit sebab setiap kali pintu terbuka, lif dah penuh. Bila nampak papan tanda priority for parents with strollers and disabled, rasa nak tunjuk terus. Tapi sedihnya, ramai buat-buat tak nampak.
Dan ya, ada je Mama yang pernah cuba tegur ada yang sambut baik, tapi ramai juga yang buat muka kosong, atau terus pandang tempat lain.
Kenapa Lif Penting Sangat untuk Mama Papa?
Soalan ni kadang-kadang kita dengar juga: “Tak boleh ke naik eskalator je?” Jawapannya, “Kalau boleh, dah lama naik”. Tapi secara realitinya:
- Bawa stroller naik eskalator sangat berisiko boleh terbalik, boleh jatuh.
- Kalau anak tengah tidur dalam stroller, macam mana Mama Papa nak angkat?
- Kalau ada dua tiga beg barang dan anak kecil yang lasak, eskalator memang tak masuk akal.
- Kadang-kadang Mama tengah mengandung mana larat nak angkat stroller atau barang.

Bukan tu je, di mall atau di mana-mana je sudah ada sign no stroller di eskalator kan. Lif bukan tentang keselesaan semata-mata tapi ia tentang keselamatan dan keperluan fizikal.
Apa Salahnya kalau Sama-sama Bertimbang Rasa Kan?
Mama Siti tahu, semua orang nak cepat. Tapi bila kita nampak ada Mama Papa dengan stroller, warga emas, atau OKU, tak salah kan kalau kita berhenti sekejap dan beri laluan kepada Mama Papa yang bawa stroller atau anak-anak?
Tindakan kecil macam ni nampak remeh, tapi sangat bermakna untuk orang yang benar-benar perlukan lif tu. Lagipun, orang yang boleh naik tangga atau eskalator sebenarnya masih ada pilihan lain. Tapi Mama Papa dan stroller? Pilihannya cuma satu.

“Kami tak minta dilayan istimewa. Kami cuma harap ada sedikit rasa prihatin dan hormat pada keperluan orang lain.”
Kadang-kadang, lepas tunggu terlalu lama, Mama terpaksa angkat stroller naik eskalator. Memang bahaya, tapi anak sudah mula meragam, terpaksa menunggu lama tapi lif sudah penuh lif.
Ataupun kami lari ke lif perkhidmatan jauh ke belakang, sunyi dan sempit. Tapi itu pun lebih baik daripada terus berdiri menunggu tanpa harapan.

Dalam hati, Mama Siti selalu tertanya-tanya kenapa masih ramai yang tak sedar tentang keperluan asas macam ni? Bukankah tanda priority itu dah jelas untuk siapa?
Bukanlah tak boleh guna lif tu, boleh je. Tapi kalau lif dah penuh dan kat luar tu ada Mama Papa yang bawa stroller, apa salahnya kita keluar dulu bagi laluan kepada mereka?
Atau paling tidak, dahulukan mereka untuk masuk dulu. Kecil je pengorbanan kita, besar maknanya untuk mereka yang tengah bertungkus-lumus dengan anak kecil.
Ruang Awam yang Lebih Prihatin Bermula Dengan Kita

Setiap kali kita berada di ruang awam lif, pusat membeli-belah, taman, atau mana-mana tempat awam sebenarnya kita berkongsi ruang dengan ramai orang lain yang mempunyai keperluan berbeza.
Ada Mama Papa yang bertungkus-lumus menolak stroller, ada warga emas yang bertatih perlahan, ada juga individu kurang upaya yang perlukan laluan mudah.
Sikap prihatin bukan hanya tentang membantu bila diminta, tapi tentang sentiasa peka dengan situasi sekeliling. Bila kita sedar lif sudah penuh dan nampak ada Mama dengan stroller menunggu, melangkah keluar sekejap untuk beri ruang adalah tanda hormat dan kasih sesama manusia.

Bila kita nampak orang yang lebih memerlukan, mengutamakan mereka bukan sahaja memudahkan urusan mereka, tetapi juga mencerminkan nilai murni dalam diri kita.
Sikap kecil ini mungkin nampak remeh, tapi sebenarnya membawa kesan besar kepada suasana ruang awam kita.
Bayangkan, jika semua orang saling bertimbang rasa, tiada lagi suasana tegang atau kesukaran. Sebaliknya, ruang awam akan jadi tempat yang lebih selamat, nyaman dan mesra untuk semua, terutamanya untuk keluarga yang membawa anak-anak kecil.
Mama Papa nak tahu apa lagi ilmu keibubapaan yang Mama Siti kongsikan? Klik di SINI.