Selain wanita mengandung yang mengalami alahan kronik, terdapat beberapa faktor membuatkan ibu mengandung tidak perlu berpuasa. Antaranya ialah mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes mellitus, hipertensi, penyakit buah pinggang dan anemia semasa mengandung. Sesetengah penyakit seperti diabetes mellitus memerlukan pesakit mengambil ubat pada waktunya. Pesakit jantung, tumbesaran bayi yang terencat dan mengalami perdarahan semasa hamil juga tidak digalakkan berpuasa. Begitu juga mereka yang berat badan tidak mencukupi atau tidak bertambah.
Mereka yang tidak dapat mematuhi arahan meminum air yang mencukupi iaitu sehingga 2 liter sehari turut dinasihatkan untuk tidak berpuasa. Juga mereka yang tidak dapat mengambil makanan yang menyihatkan. Mereka yang kekurangan air di dalam badan juga digalakkan berbuka puasa segera kerana khuatir menjejaskan kandungan. Ia boleh dilihat daripada air kencing ibu mengandung. Jika ia sikit dan pekat seperti warna teh o, ia menunjukkan badan kekurangan air yang diperlukan.
RISIKO
- Tahap kesihatan janin bergantung pada pemakanan dan metabolisme tubuh ibu. Pakar perbidanan kebiasaannya tidak menggalakkan ibu hamil berpuasa pada bulan pertama hingga ketiga. Pada awal kandungan, ibu hamil sering mengalami gejala mual, pening dan muntah yang kerap, sebaik-baiknya elakkan berpuasa. Ketika itu bayi amat memerlukan nutrien dan kalori yang mencukupi daripada ibu.
- Ibu hamil pada bulan keempat hingga keenam dibenarkan berpuasa jika mental mereka baik setelah pakar perbidanan mengesahkan bahawa puasa mereka tidak memudaratkan.
- Ibu hamil boleh mengalami masalah ketidakhadaman dan senak perut jika terlalu banyak makan makanan berempah, berlemak, bergoreng dan minuman bergas. Mereka juga boleh mengalami sembelit jika makan makanan yang diproses selain mudah lesu dan keletihan kerana makanan yang dimakan mempunyai banyak kandungan kanji, karbohidrat dan lemak.
- Ibu hamil perlu sentiasa merujuk kepada doktor mereka. Ini kerana doktor yang merawat mereka lebih mengetahui tentang sejarah kandungan dan kesihatan wanita hamil tersebut. Berkemungkinan doktor akan menasihati wanita itu agar tidak berpuasa sekiranya menghidapi penyakit kencing manis terutama dalam kes membabitkan suntikan insulin.
MAKANAN JANIN
Tidak perlu memaksa diri berpuasa. Ini membahayakan kandungan kerana janin boleh mengalami kekurangan zat gula, kalori dan nutrisi yang berguna untuk pertumbuhannya. Kehamilan bukanlah sejenis penyakit tetapi keadaan normal yang boleh dialami oleh semua wanita. Ibu hamil yang menjalani ibadah puasa tidak perlu bimbang anak dalam kandungan mereka kelaparan. Jika janin memerlukan makanan, ia secara automatik akan mengambil gizi daripada tubuh ibunya yang dibekalkan sepenuhnya melalui uri. Namun wanita hamil yang mengalami kekurangan nutrien dalam pemakanan akan menyebabkan tumbesaran bayi bermasalah. Semua bekalan yang ada dalam tubuh ibu akan diambil sepenuhnya oleh janin yang sedang membesar. Ini akan menyebabkan ibu-ibu ini semakin tidak sihat. Jika mereka tidak mengubah tabiat pemakanan, anak yang di dalam kandungan turut terjejas.
TIP JIKA ANDA HAMIL & INGIN BERPUASA
- Walaupun berpuasa, ada cara untuk melengkapkan lapan hingga 10 gelas air dalam sehari itu. Pastikan anda mengambil air ynag diperlukan sepanjang waktu berbuka hinggalah sahur.
- Cuba minum tiga gelas air ketika berbuka, 3 gelas sebelum tidur dan tiga gelas lagi termasuk air susu sewaktu sahur.
- Kurangkan aktiviti yang memenatkan ketika berpuasa seperti beriadah dan membeli-belah serta rancang jadual kerja dengan baik.
- Elakkan tempat yang panas supaya kurang mengalami dinyahhidratkan.
- MakananKebiasaannya, makanan manis seperti kuih-muih Melayu menjadi pembuka juadah berbuka puasa membuatkan kita berasa kenyang.
- Namun sebenarnya makanan manis sebegitu tidak memberikan sumber tenaga dan nutrien yang mencukupi serta diperlukan.
- Makanan yang paling baik ketika berbuka puasa ialah makanan yang berprotein tinggi seperti ikan dan telur.
- Kurangkan makanan manis sangat terutama ketika berbuka kerana ia akan menyebabkan paras gula naik dan kemudian turun mendadak lalu menyebabkan rasa pening.
- Karbohidrat kompleks seperti kurma dan bijirin amat bagus untuk sahur.
- Makanan terbaik untuk bersahur ialah makanan yang membekalkan tenaga seperti nasi dan roti,
- Tambahnya, makanan tambahan yang biasa diperlukan oleh ibu mengandung perlu diamalkan dengan disiplin iaitu multivitamin dan susu.