Nak ajar anak buat kerja rumah tapi selalu drama, malas, atau asyik tunda? Jangan risau, ada cara mudah dan menyeronokkan untuk mereka buat kerja rumah tanpa rasa terpaksa.
Dengan pendekatan yang betul, anak bukan sahaja belajar bertanggungjawab tetapi juga rasa bangga dengan usaha sendiri. Mari kita tengok cara-cara praktikal yang boleh Mama Papa buat di rumah.
Kenapa Anak Susah Nak Buat Kerja Rumah?
1. Sebab Mereka Tak Rasa Itu “Kerja Mereka”

Ramai anak tak nampak kerja rumah sebagai sesuatu yang perlu mereka buat kerana sejak kecil mereka terbiasa melihat Mama Papa urus semuanya. Jadi, bila diminta tolong, mereka rasa itu “tambahan kerja”, bukan rutin mereka.
Anak-anak hanya buat apa yang mereka rasa “milik” mereka seperti mainan, makanan, dan aktiviti kesukaan. Kerja rumah pula mereka anggap itu kerja orang dewasa.
Jadi, walaupun nampak remeh, bagi anak kecil, perlu ada proses untuk mereka faham bahawa rumah ni adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya Mama Papa seorang.
2. Arahan Terlalu Umum dan Tak Jelas

Arahan seperti “Kemas bilik!” atau “Tolong kemas!” sangat besar arahan tu untuk anak-anak. Mereka tak tahu nak mula dengan apa, mainan dulu? katil dulu? baju dulu? Bila arahan terlalu luas, anak rasa tertekan dan akhirnya tak buat apa-apa.
Mereka bukan melawan, mereka cuma tak tahu langkah pertama yang patut diambil. Sebab itu penting bagi Mama Papa untuk beri arahan kecil dan jelas, contohnya: “Adik, boleh masukkan semua anak patung ke dalam bakul biru dulu?” Arahan kecil dan spesifik buat anak rasa yakin dan lebih mudah ikut.
3. Mereka Tak Nampak Reward Dalam Kerja Rumah

Sebenarnya, ramai anak tak semangat buat kerja rumah sebab mereka tak nampak apa faedahnya untuk diri sendiri pada mereka, kemas bilik atau susun mainan tu macam kerja kosong yang tak ada apa-apa ganjaran.
Mama Papa terangkan kepada mereka, kenapa perlu buat kerja rumah. Contohnya, “Bila bilik kemas, senang nak cari mainan,” atau “Kalau awak tolong Mama, kita boleh habiskan cepat-cepat dan ada masa main sama-sama.”
Tips Ajar Anak Buat Kerja Rumah
1. Mulakan dengan Tugas Mudah Mengikut Umur

Mulakan dengan tugasan yang ringkas dan menyeronokkan. Contohnya:
- 2–3 tahun: Simpan mainan, letak pinggan di sinki, sapu serpihan kecil.
- 4–5 tahun: Lipat tuala kecil, buang sampah kecil, susun kasut di rak.
- 6–7 tahun: Basuh pinggan plastik, sapu lantai, susun baju di laci.
- 8–10 tahun: Tolong masak bahan mudah, vacuum lantai, basuh pinggan.
- 11–12 tahun: Masak resepi mudah, iron baju sendiri, buat senarai barang dapur.
Tip Mama Siti: Pastikan tugas sesuai umur dan kemampuan anak. Jangan beri tugasan dewasa kepada anak-anak, nanti mereka rasa terbeban dan hilang semangat.
2. Gunakan Chores Chart

Chores chart ni memang penyelamat untuk Mama Papa yang nak anak lebih teratur dan tahu apa tugas mereka setiap hari. Bila kita tampal chart comel dekat peti ais atau bilik anak, mereka boleh nampak jelas tugasan apa yang perlu dibuat macam kemas mainan, buang sampah kecil, atau lipat tuala.
Anak pun rasa seronok bila dapat tick atau tampal sticker setiap kali siap tugasan, macam main game leveling up! Cara ni bukan saja bantu mereka disiplin, tapi juga buat mereka rasa bangga bila tengok chart penuh dengan tanda kejayaan.
3. Berikan Pujian kepada Anak-anak

Anak-anak ni hatinya lembut, bila kita puji sikit je pun, mereka boleh rasa bangga satu hari! Jadi bila mereka tolong kemas mainan, lap meja, atau buat apa-apa tugasan walaupun tak sempurna, berikan pujian yang ikhlas seperti “Pandai anak Mama tolong hari ni!” atau “Wah, rajinnya awak!”.
Pujian kecil macam ni boleh naikkan keyakinan mereka dan buat mereka rasa dihargai. Lagi seronok bila mereka tahu usaha mereka disedari, dan secara tak langsung mereka akan lebih rajin nak tolong lagi lain kali.
4. Sabar dan Berikan Contoh

Anak-anak belajar banyak melalui pemerhatian, jadi kalau mereka nampak Mama Papa mengemas dengan gembira dan santai, mereka pun akan ikut dengan mood yang sama.
Sebab tu penting untuk Mama Papa sendiri jadi cermin untuk anak-anak contohi. Dan kalau mereka tersilap atau tak buat seperti yang kita harapkan, cuba bersabar, tarik nafas, senyum, dan tunjuk semula cara yang betul dengan lembut.
Teguran lembut dan dorongan positif selalunya jauh lebih berkesan daripada marah atau hukuman, sebab anak akan rasa disokong, bukan dipaksa.
Puji bila mereka cuba, walaupun kecil, contohnya “Baguslah! Pandai adik susun mainan sendiri!” Lama-kelamaan, mereka akan belajar bahawa buat kerja rumah boleh seronok bila dibuat bersama-sama, sambil kita pun tak stress.
5. Gunakan Sistem Reward

Kadang-kadang anak-anak lagi semangat kalau ada sesuatu yang mereka boleh “kejar”. Jadi Mama Papa boleh buat sistem ganjaran yang simple saja contohnya sticker chart, bintang comel, atau token kecil setiap kali mereka siapkan tugasan.
Bila cukup lima atau sepuluh sticker, mereka boleh pilih aktiviti yang mereka suka seperti movie night, main bubble bath, atau pilih menu makan malam. Tak perlu hadiah mahal pun, cukup sesuatu yang buat mereka rasa “Yes! Saya berjaya!”.
Sistem reward macam ni bukan saja buat mereka lebih excited nak tolong, tapi juga ajar anak konsep usaha dan lakukan sesuatu dengan seronok.
Ajar anak buat kerja rumah ni Mama Papa tak perlu stress pun, anggap je sebagai bonding yang seronok antara Mama Papa dan anak-anak. Kadang-kadang memang ada drama kecil, ada mainan yang lari dari kotak, tapi itu semua warna-warni proses membesar.
Yang penting, kita tunjuk contoh, bagi mereka cuba, dan raikan setiap usaha comel mereka. Lama-lama, mereka bukan je rajin tolong, tapi bangga sebab rasa diri mereka sebahagian daripada team dalam rumah.
Sebab rumah yang bahagia ialah rumah yang semua orang saling bantu, walaupun tugasan kecil-kecil je.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak tips tentang keibubapaan untuk Mama Papa DI SINI!
