Setiap kali nak bawa anak pergi klinik untuk vaksin je, mesti perasaan Mama bercampur baur. Lega sebab anak akan lebih terlindung daripada penyakit, tapi dalam masa yang sama tetap risau kalau anak Mama meragam, demam atau jadi tak selesa selepas suntikan.
Itulah realitinya, kan Mama Papa? Berdasarkan pengalaman Mama Siti sendiri, anak biasanya akan perlukan perhatian yang lebih selepas cucuk.
Jangan risau, ada beberapa tips jaga anak lepas vaksin yang boleh membantu supaya mereka cepat pulih, lebih selesa, dan Mama Papa pun tak terlalu panik.
Bila Mama Papa dah buat persediaan awal, uruskan anak lepas vaksin jadi lebih tenang, teratur, dan tak kelam-kabut.
Ini Tips untuk Jaga Anak Lepas Vaksin yang Mama Papa Perlu Tahu
1. Kenapa Anak Boleh Demam Selepas Vaksin?

Selepas vaksin, badan anak sedang bekerja menghasilkan antibodi untuk melawan penyakit. Proses inilah yang kadang-kadang menyebabkan demam ringan atau rasa tak selesa pada si kecil.
Demam ni bukan tanda bahaya, malah ia petanda sistem imun anak sedang berfungsi. Biasanya suhu badan naik sedikit dan akan turun dalam masa satu hingga dua hari. Apa yang penting, Mama jangan panik.
Sentiasa pantau suhu badan anak menggunakan termometer dan pastikan catatan suhu dibuat setiap beberapa jam. Jika suhu meningkat sehingga 38°C ke atas, barulah berikan ubat demam seperti yang dinasihatkan oleh doktor.
Jangan sesekali agak-agak dos ubat, sebaliknya pastikan ia ikut berat badan anak. Paling utama, elakkan membalut anak dengan pakaian tebal kerana itu hanya akan meningkatkan lagi suhu badan mereka.
2. Manja Luar Biasa? Itu Normal!

Selepas vaksin, ramai anak jadi lebih manja daripada biasa. Ada yang asyik nak berdukung, ada juga yang menangis lebih lama kerana rasa tak selesa pada tempat cucuk.
Jangan cepat stress, kerana ini adalah perkara biasa. Anak sebenarnya hanya perlukan perhatian lebih daripada Mama. Cara terbaik untuk menenangkan mereka ialah dengan pelukan.
Pelukan kasih sayang Mama boleh buatkan bayi rasa lebih selamat. Untuk bayi yang lebih kecil, skin-to-skin contact sangat membantu menenangkan mereka.
Kalau anak masih meragam, Mama boleh cuba alihkan perhatian mereka dengan mainan kegemaran atau video yang menenangkan untuk buat mereka lebih tenang.
3. Pastikan Anak Kekal Terhidrat

Selain rehat, hidratkan juga sangat penting. Demam boleh menyebabkan anak hilang selera makan atau kurang minum.
Untuk bayi bawah enam bulan, cukuplah dengan menyusu lebih kerap kerana susu Mama atau susu formula sudah memenuhi keperluan mereka.
Untuk anak yang lebih besar, minum air kosong dengan kerap walaupun sedikit-sedikit. Jika anak tak lalu makan, jangan paksa. Fokus dahulu pada cecair sehingga mereka lebih selesa.
4. Rehat adalah Ubat Terbaik

Tubuh anak perlukan masa untuk pulih selepas vaksin. Sebab itulah mereka lebih mudah mengantuk dan tidur lebih lama daripada biasa.
Jangan paksa anak bermain atau kekal aktif seperti biasa kerana mereka perlukan tenaga untuk tubuh menghasilkan antibodi. Biarkan anak tidur dengan tenang, sama ada di katil atau dalam pelukan Mama.
Pastikan bilik dalam keadaan selesa, dengan cahaya lampu malap dan suhu bilik yang sesuai supaya anak lebih lena.
5. Cara Legakan Bengkak di Tempat Suntikan
Selain demam, anak Mama mungkin akan mengalami bengkak atau kemerahan di kawasan suntikan. Ini normal dan biasanya hilang dalam masa satu hingga dua hari.

Cara paling mudah untuk melegakan anak ialah dengan meletakkan kain bersih yang direndam air sejuk di kawasan suntikan. Tekap perlahan selama beberapa minit untuk kurangkan rasa sakit dan bengkak.
Untuk legakan tempat suntikan, Mama boleh tekapkan kain lembap sejuk atau pek ais yang dibalut tuala nipis pada kawasan suntikan selama beberapa minit. Pilih pakaian yang longgar untuk anak supaya kawasan suntikan tidak bergesel.
Galakkan juga anak menggerakkan tangan atau kaki yang dicucuk supaya otot tidak terasa lenguh. Elakkan mengurut atau membiarkan anak menggaru tempat suntikan kerana ia boleh menambahkan keradangan.
Vaksin Itu Cuma Sekejap, Perlindungan Itu Sepanjang Hayat

Setiap anak ada cara tindak balas berbeza selepas vaksin, dan itu semua normal. Jangan risau kalau anak lebih manja, demam ringan, atau kurang selera dan ini tanda tubuh mereka sedang bekerja membina perlindungan.
Yang penting, Mama Papa kena sabar, pantau dengan teliti dan tahu bila perlu bawa anak berjumpa doktor.
Ingat ya Mama, vaksin ini adalah perisai terbaik untuk lindungi anak daripada penyakit berbahaya. Walaupun ada cabaran kecil selepas cucuk, manfaatnya jauh lebih besar dan berpanjangan.
Semoga perkongsian tips jaga anak lepas vaksin ini dapat beri panduan berguna untuk semua Mama Papa, supaya lebih bersedia dan tenang bila bayi mula crancky lepas vaksin nanti.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak info kesihatan untuk bayi dan Mama Papa di SINI.