Tengah scroll Facebook, Mama Siti terbaca satu perkongsian yang betul-betul buat Mama Siti terkejut. Seorang Mama bernama Nurul Huda berkongsi detik cemas yang hampir meragut nyawa anaknya bukan serpihan belon yang pecah, tetapi tercekik belon yang masih dalam keadaan baik.
Apa yang sepatutnya menjadi sambutan hari lahir yang menggembirakan bertukar menjadi detik cemas buat seorang ibu apabila anaknya hampir kehilangan nyawa hanya kerana sebiji belon yang belum ditiupkan.
Kejadian berlaku ketika sambutan ulang tahun anaknya, Uwais, yang turut dihadiri rakan-rakan dari zaman tadika hingga sekolah rendah. Semasa sedang melayan tetamu, Uwais bermain bersama rakan-rakannya.
Sebelum kejadian, adik iparnya, Zahidah, sempat beritahu abangnya yang “Uwais macam semput.” Suami Puan Nurul pun terus bangun dan cakap nak ambil inhaler yang memang sentiasa standby disebabkan Uwais ada sejarah serangan asma.
Namun tak lama lepas tu, suasana menjadi tegang. Adik iparnya yang seorang lagi, tiba-tiba berlari membawa Uwais dalam keadaan yang sangat cemas wajahnya dah biru dan jantungnya dah berhenti berdegup.
Suami dan rakannya yang merupakan seorang doktor juga segera lakukan beberapa prosedur kecemasan. Pada mulanya, mereka sangka Uwais mungkin tersedak makanan. CPR pun dah cuba, termasuk satu teknik khas (Heimlich Manouvre mungkin) untuk keluarkan objek jika tertelan, tapi semuanya tak berhasil.
Tanpa berlengah, suaminya terus ajak kawannya bawa ke hospital. Ketika itu, suami Puan Nurul memberitahu keadaan Uwais 50-50 jantungnya dah berhenti dan muka Uwais mula membiru.

Dengan harapan yang tinggal, sekali lagi suami Puan Nurul terus melakukan CPR untuk bantu darah terus mengalir ke seluruh badan, terutama ke otak. Bila semua tak berhasil, dia buat satu keputusan terakhir tiup nafas terus ke mulut anak sendiri sebagai bantuan pernafasan.
Di hospital, pasukan perubatan bertungkus lumus menyelamatkan adik Uwais dan akhirnya berjaya mengeluarkan belon daripada saluran pernafasannya.
Setakat tarikh 22 Mei 2025, adik Uwais masih berada dalam pemantauan rapi dan bergantung kepada bantuan pernafasan. Menurut doktor, bacaan hemoglobin (HB) Uwais berada pada paras 7.9, jadi adik Uwais perlu terima dua beg darah bagi menstabilkan keadaannya.
Pemeriksaan juga mendapati terdapat sedikit kesan pendarahan pada paru-paru, yang berkemungkinan berpunca daripada prosedur CPR yang dilakukan semasa kecemasan tempoh hari.
Walau bagaimanapun, tekanan darah, kadar nadi dan tahap oksigen adik Uwais kini berada dalam keadaan stabil. Buat masa ini adik Uwais masih dalam fasa ‘merehatkan otak’ bagi memberi ruang untuk proses pemulihan secara berperingkat.

Kisah ini dikongsikan oleh Mama Nurul Huda ini sebagai satu peringatan kepada semua Mama Papa agar lebih berhati-hati, terutama dengan objek kecil seperti belon yang boleh mendatangkan bahaya tanpa disedari.
Mama Siti faham, walaupun Mama Papa dah buat yang terbaik untuk jaga dan pantau anak-anak tetap juga ada perkara di luar jangkaan yang boleh berlaku.
Biasalah, akal anak-anak ni memang kreatif ada saja benda baru yang mereka nak cuba yang kadang-kadang langsung tak terfikir dek akal Mama Papa.
Kepada Mama Papa yang lain, janganlah cepat mengecam atau menyalahkan bila sesuatu yang tak diingini berlaku. Sebaliknya, ambillah kisah ini sebagai pengajaran supaya kita semua lebih peka dan berjaga-jaga pada masa akan datang.
Ketahui lebih banyak isy yang sedang virak dan trending sekarang di SINI.