Pernah rasa tangan tiba-tiba kebas, macam semut-semut merayap? Kadang-kadang tangan kebas datang dengan rasa mencucuk, hilang deria, atau tak selesa nak pegang barang. Memang biasa berlaku, tapi kalau makin kerap atau tak hilang-hilang, itu tandanya badan Mama cuba bagi ‘signal’ ada yang tak kena.
Jangan buat tak tahu ya, sebab kebas tangan ni boleh jadi petanda masalah kesihatan lain yang lebih serius. Kadang-kadang puncanya mungkin sebab posisi tidur atau duduk yang salah, tapi ada juga kes disebabkan oleh masalah saraf, tulang belakang, atau penyakit kronik macam kencing manis.
Bila kita faham apa punca sebenar, barulah senang nak cari jalan penyelesaian yang sesuai. Jom kita kenali punca-punca utama tangan kebas dan beberapa langkah mudah yang boleh bantu Mama kurangkan rasa tak selesa ni.
5 Punca Tangan Kebas yang Mama Perlu Tahu
1. Carpal Tunnel Syndrome (CTS)

Mama pernah rasa tangan kebas terutamanya waktu malam, sampai rasa tak selesa nak pegang barang? Itu mungkin tanda Carpal Tunnel Syndrome.
Sindrom ni berlaku bila saraf median yang duduk dalam ‘terowong kecil’ di pergelangan tangan kita tertekan, selalunya sebab pergerakan berulang seperti menaip, menjahit, memasak, atau buat kerja rumah.
Bila saraf tu terhimpit, badan mula bagi “signal kecemasan” – rasa kebas, mencucuk-cucuk, lemah dan berdenyut terutama pada jari. Kalau dibiarkan tanpa rawatan, lama-lama boleh sampai susah nak genggam sudu garfu pun.

Antara tanda-tanda lain termasuk sakit dan lenguh di tangan serta gangguan pada kekuatan genggaman. Golongan yang lebih berisiko termasuk pekerja pejabat, tukang jahit, tukang masak, ahli muzik, pekerja salun dan tukang gunting rambut.
Jadi kalau Mama tergolong dalam kumpulan ni, eloklah mula berjaga-jaga dan ambil langkah awal sebelum jadi makin teruk.
2. Spondylosis Serviks

Spondylosis serviks adalah masalah yang melibatkan degenerasi tulang belakang di leher, yang biasanya berlaku akibat penuaan. Apabila cakera di antara vertebra kehilangan kelembapan dan kekuatan, ia boleh menyebabkan tekanan pada saraf di kawasan leher, mengakibatkan kebas, kesemutan, atau rasa lemah di tangan.
Gejala ini sering merebak dari leher ke bahu dan lengan, memberi rasa tidak selesa. Masalah ini boleh menjadi lebih teruk dengan pergerakan leher atau postur yang salah.
Rawatan seperti terapi fizikal, ubat penahan sakit, atau penggunaan kolar leher dapat membantu mengurangkan simptom, tetapi jika gejala berterusan, sebaiknya berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.
3. Kencing Manis (Diabetes)

Diabetes atau kencing manis boleh menyebabkan neuropati diabetik, iaitu kerosakan saraf yang berlaku apabila paras gula darah tidak terkawal dalam jangka masa panjang.
Keadaan ini menyebabkan kebas, kesemutan, atau rasa mencucuk di tangan dan kaki. Ini berlaku kerana saraf-saraf di seluruh badan terjejas, terutama di bahagian yang jauh dari jantung seperti tangan dan kaki.
Gejala ini biasanya lebih ketara pada waktu malam dan boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit. Mengawal paras gula darah dengan baik melalui diet, senaman, dan ubat-ubatan adalah penting untuk mencegah kerosakan saraf yang lebih teruk.
4. Kerosakan Saraf atau Neuropati Periferal

Kerosakan saraf atau neuropati periferal berlaku apabila saraf di luar otak dan saraf tunjang (sistem saraf periferal) mengalami kerosakan. Keadaan ini boleh mengganggu isyarat yang dihantar antara otak, saraf tunjang dan anggota badan seperti tangan.
Akibatnya, Mama mungkin sering rasa kebas, mencucuk, atau seperti terbakar pada tangan atau kaki. Penyebab biasa termasuk diabetes, jangkitan, kekurangan vitamin, atau pendedahan kepada toksin.
5. Sindrom outlet toraks (TOS)

Sindrom outlet toraks (TOS) berlaku apabila saluran darah atau saraf yang melalui ruang antara tulang selangka dan otot-otot di sekitar kawasan tersebut tertekan.
Keadaan ini menyebabkan gejala seperti kebas, kesemutan, sakit, atau lemah di bahagian lengan, tangan, atau jari. TOS biasanya berlaku akibat tekanan berterusan pada kawasan tersebut, yang boleh disebabkan oleh trauma, postur yang salah, atau aktiviti berulang seperti mengangkat berat.
Gejala TOS boleh meningkat dengan pergerakan tertentu atau ketika lengan diletakkan dalam posisi tertentu. Rawatan boleh melibatkan terapi fizikal, perubahan gaya hidup, dan dalam kes yang lebih teruk, pembedahan untuk melepaskan tekanan pada saraf atau saluran darah.
Tips untuk Menghilangkan Tangan Kebas

Berikut beberapa cara yang boleh membantu mengurangkan tangan kebas, sesuai untuk Mama yang nak rasa lega dan kembali aktif:
1. Senaman untuk Tangan Kebas
Senaman hilangkan kebas tangan khusus untuk sindrom Carpal Tunnel boleh membantu kurangkan kebas sambil menguatkan otot tangan. Selain itu, senaman regangan dan postur senaman yang betul juga berkesan untuk meredakan gejala spondylosis serviks. Pastikan selalu buat senaman secara berkala.
2. Ubat-ubatan
Jika sakit ringan, ubat antiradang seperti ibuprofen atau aspirin boleh membantu. Ubat ini bukan sahaja meredakan kesakitan pada tangan, leher, atau bahagian tubuh lain, tapi juga bantu kurangkan keradangan.

3. Gunakan Splints atau Wrist Guard
Pakai wrist guard untuk memastikan pergelangan tangan berada dalam posisi lurus. Ini dapat mengurangkan tekanan pada saraf median, terutamanya Mama yang banyak buat kerja berulang seperti menaip atau menggunakan komputer.
4. Ambil Vitamin B-12
Kekurangan vitamin B-12 boleh jadi salah satu punca kebas. Ambil suplemen B-12 atau makanan kaya dengan vitamin ini seperti ikan salmon, telur, dan hati untuk bantu jaga kesihatan saraf.
5. Pembedahan untuk Tangan Kebas
Bagi kes yang lebih serius, pembedahan mungkin diperlukan, terutamanya kalau kebas disebabkan oleh saraf yang terhimpit, seperti pada Carpal Tunnel, TOS, atau sista ganglion. Pembedahan dapat membantu melegakan tekanan dan memperbaiki keadaan.

Di rumah, Mama boleh cuba beberapa cara mudah untuk melegakan tangan atau kaki kebas. Sapukan minyak panas atau yang berbau harum untuk menghangatkan kawasan kebas, yang boleh membantu melancarkan peredaran darah.
Elakkan daripada membiarkan tangan dan kaki terdedah terus kepada pendingin hawa, kerana udara sejuk boleh menyebabkan saraf lebih sensitif. Kalau tangan Mama kebas, Mama gunakan selimut atau sarung tangan untuk menghangatkan badan dan kurangkan rasa kebas.
Tangan kebas mungkin nampak seperti masalah kecil, tapi ia boleh jadi petanda kepada isu kesihatan yang lebih serius kalau dibiarkan. Dengan kenal pasti puncanya lebih awal, Mama boleh ambil langkah yang betul untuk merawat dan mencegahnya.
Jangan tunggu sampai teruk baru nak bertindak ya! Jaga kesihatan saraf, amalkan gaya hidup sihat dan dapatkan rawatan sekiranya perlu, supaya tangan Mama kembali rasa selesa dan bebas dari kebas.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Apa kelebihan rawatan tradisional bekam untuk Mama dan Papa? Klik di SINI.