Malaysia kini berada di antara kedudukan yang tertinggi bagi penggunaan alat peranti digital di Asia, dengan purata selama 8 jam dan 17 minit sehari .
Menurut Dr Chang Kok Chun, Pakar Perunding Ortopedik, Trauma dan Pakar Bedah Tulang Belakang di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) menjelaskan bahawa tabiat ini akan mengakibatkan sindrom text neck, sejenis penyakit baharu yang kerap dialami golongan remaja dan dewasa terutamanya selepas wabak pandemik Covid-19.

Isu kesihatan yang semakin meningkat ini merupakan sejenis kecederaan tekanan berulang yang disebabkan oleh postur kepala yang sering ke hadapan dalam tempoh yang lama semasa menunduk untuk melihat skrin.
“Apabila seseorang mengalami text neck, otot dan sendi di leher mereka akan mengalami ketegangan berterusan akibat postur yang salah,” jelas Dr Chang.
“Dari masa ke masa, ini boleh menyebabkan keletihan otot dan sendi, ketidakselesaan, dan jika tidak dirawat, boleh mengakibatkan kerosakan struktur badan.”
Mengapa Rakyat Malaysia Berisiko Tinggi?
Kadar penggunaan peranti digital di Malaysia adalah sangat tinggi terutamanya dalam kalangan golongan muda, dan ini merupakan penyumbang utama kepada peningkatan sindrom text neck di negara kita. Malaysia telah merekodkan kadar penggunaan TikTok ketiga tertinggi di Asia Tenggara, dengan purata 121 video yang ditonton setiap hari1.
Hal ini seterusnya digabungkan dengan waktu yang lama di meja kerja atau di bilik darjah, serta kekurangan kesedaran ergonomic seterusnya membawa kepada masalah ketegangan postur.
“Salah satu isu postur yang paling biasa dilihat ialah postur kepala ke hadapan,” kata Ahli Fisioterapi dan Pengurus Perkhidmatan Perubatan Pemulihan SMCV, Thomas Chua Wei Yeh. Ketidaksejajaran boleh berlaku apabila seseorang itu membongkokkan kepala ke hadapan sebanyak 45 darjah lalu meningkatkan beban pada tulang belakang serviks daripada hanya 5 kepada 22 kilogram2.

Ini menambahkan lebih 1,000 jam tekanan pada tulang belakang pengguna peranti digital dalam tempoh setahun, dan ini boleh membawa kepada gejala seperti sakit leher dan bahu, sakit dan pening kepala, kerengsaan saraf tulang belakang yang menyebabkan rasa kebas atau kesemutan pada tangan, serta artritis3 degeneratif awal kepada leher.
“Pesakit yang lebih muda mempunyai risiko yang lebih tinggi, terutamanya disebabkan oleh penggunaan telefon pintar, tablet dan komputer riba yang kerap dan berpanjangan,” kata Dr Chang.
Beliau menambah, sindrom text neck kini merupakan satu risiko pekerjaan bagi pekerja pejabat dan juga isu gaya hidup bagi mereka yang sentiasa menggunakan peranti digital mereka.”
Ergonomik tempat kerja yang lemah memburukkan lagi masalah ini, kerana ramai yang terpaksa bekerja berjam-jam di meja dan persekitaran tempat kerja yang tidak kondusif.
Tekanan postur yang berpanjangan ini menyebabkan kadar pengambilan cuti sakit dalam persekitaran korporat semakin meningkat, pengurangan produktiviti dan penurunan prestasi di tempat kerja4.
Kementerian Kesihatan juga melaporkan bahawa 67% rakyat Malaysia mengalami sakit leher pada suatu ketika dalam hidup mereka5, menjadikannya aduan muskuloskeletal kedua paling biasa di negara ini6. Namun, ramai yang mengabaikan ketidakselesaan ini sebagai sesuatu yang bersifat sementara atau berkaitan dengan stres.
Tanda Awal yang Perlu Diketahui
Tanda-tanda awal sindrom text neck sering diabaikan atau disalah anggap sebagai tekanan dan kurang tidur atau rehat.
Antara simptom awal termasuklah rasa kekakuan berterusan atau stiffness pada leher atau bahagian atas belakang badan, sakit kepala yang bermula dari pangkal tengkorak, rasa kebas atau kesemutan pada tangan dan jari, pening atau kurang keseimbangan, kesukaran untuk menumpukan perhatian, ketegangan mata dan keletihan.
“Sakit leher adalah salah satu simptom yang paling biasa dikenali, tetapi sakit pada bahu dan bahagian atas belakang badan sering diabaikan dan tidak dirujuk ke doktor,” kata Dr Chang.
Beliau menggesa rakyat Malaysia untuk memberi lebih perhatian kepada kesakitan yang mereka rasai dan tidak mengabaikannya bagi mengelakkan komplikasi kesihatan lain yang mungkin timbul daripada sindrom text neck.
Kesan Domino Tersembunyi Sindrom Text Neck

Jika dibiarkan tanpa dirawat, sindrom text neck boleh membawa kepada pelbagai komplikasi muskuloskeletal dan neurologi yang lain, termasuk cakera tergelincir atau slipped disc, bahu beku, atau pengurangan kapasiti paru-paru akibat daripada membongkok terlalu lama7.
Dalam kes yang lebih serius, saraf serviks yang terhimpit boleh mengganggu aliran darah ke otak dan isyarat saraf. Simptom lain yang mungkin berlaku termasuk penglihatan menjadi kabur, kekeliruan mental, pening, dan kesukaran untuk menumpukan perhatian8.
“Kesakitan ini pada mulanya akan menyebabkan kekejangan otot pelindung, yang akan kelihatan pada ujian sinar-X sebagai pelurusan tulang belakang,” jelas Dr Chang. “Jika diabaikan, ini boleh menyebabkan kemerosotan pramatang tulang belakang, termasuk penipisan cakera antara dua segmen vertebra, serta perkembangan tonjolan tulang dan artritis sendi faset dari masa ke masa, yang juga dikenali sebagai spondilosis servikal (kehausan pada sendi dan cakera di leher).”
Beliau seterusnya memberi amaran bahawa keadaan yang tidak dapat dipulihkan ini boleh menyebabkan mampatan saraf atau saraf tunjang, yang membawa kepada rasa sakit, kebas atau sensasi seperti pin dan jarum di lengan, lengan bawah dan tangan. Dalam kes yang yang lebih serius, ia boleh menyebabkan kelemahan dan lumpuh pada kedua-dua anggota
Beliau seterusnya memberi amaran bahawa keadaan yang tidak dapat dipulihkan ini boleh menyebabkan mampatan saraf atau saraf tunjang, yang membawa kepada rasa sakit, kebas atau sensasi seperti pin dan jarum di lengan, lengan bawah dan tangan.
Dalam kes yang yang lebih serius, ia boleh menyebabkan kelemahan dan lumpuh pada kedua-dua anggota atas dan bawah badan. Kesakitan yang berterusan bukan sahaja menjejaskan seseorang secara fizikal, tetapi ia boleh menjejaskan kesihatan mental.
Apabila ketidakselesaan dibiarkan berlarutan, ia boleh mengganggu rutin harian dan mengurangkan kualiti hidup. Dari masa ke masa, individu mungkin mengalami tahap produktiviti yang berkurangan, mudah marah atau tidak berdaya, terutamanya apabila rasa sakit mereka tidak dapat dilegakan.
Langkah Pemulihan dan Pencegahan
Untuk menguruskan sindrom text neck, ia biasanya melibatkan gabungan fisioterapi, perubahan gaya hidup dan, dalam beberapa kes, penggunaan ubat-ubatan.
Dr Chang menekankan bahawa pelaburan terbaik terletak pada amalan ergonomik yang konsisten melalui pengurangan masa skrin, menggunakan postur yang betul dan menggabungkan senaman relaksasi leher yang kerap sepanjang hari.
Thomas menambah bahawa fisioterapi memainkan peranan penting dalam kedua-dua fasa pemulihan dan pencegahan. “Kami menggunakan terapi manual, latihan semula postur dan latihan yang disasarkan untuk melegakan ketegangan, membina kekuatan, dan memulihkan penjajaran badan yang betul,” jelasnya.
Walaupun kebanyakan pesakit mula melihat peningkatan dalam tempoh tiga hingga enam sesi fisioterapi, mereka yang mempunyai keadaan yang lebih teruk mungkin memerlukan pelan rawatan yang lebih lama untuk mencapai hasil rawatan yang berkekalan.
Pelan rawatan disesuaikan dengan gaya hidup dan permintaan fizikal setiap individu. “Bagi pelajar, kami menumpukan untuk mengehadkan masa skrin yang berterusan, menggalakkan tabiat membaca yang mesra postur, dan mengoptimumkan penggunaan beg galas untuk mengelakkan ketegangan yang tidak perlu pada leher dan bahagian belakang badan,” kata Thomas.

Sementara itu, mengutamakan tempat kerja ergonomik dan mencampurkan kaedah rehat mobiliti seperti rutin regangan disyorkan untuk para pekerja pejabat untuk mengurangkan keletihan otot dan tekanan sendi.
Beliau juga memberi amaran terhadap jenis pergerakan yang memburukkan simptom sindrom text neck terutamanya semasa pemulihan, seperti senaman perut, mengangkat beban di atas kepala atau menaip dalam tempoh yang lama dengan leher membengkok.
“Rehat dapat membantu mengurangkan kesakitan dengan segera, tetapi pergerakan, pembetulan postur, dan penguatan otot dan sendi adalah kunci kepada pemulihan jangka panjang.”
Walaupun ramai yang menyedari risiko tersebut, Dr Chang mengakui bahawa perubahan gaya hidup yang konsisten tetap menjadi cabaran besar.
“Semua orang memahami punca dan akibat sindrom text neck, tetapi tabiat buruk sukar diubah, dan beban kerja yang berat memaksa kita mengabaikan penjagaan leher dan tulang belakang yang betul.” Walau bagaimanapun, beliau menggalakkan semua orang untuk mula membuat perubahan positif, satu langkah pada satu masa, kerana tabiat yang berkekalan boleh dibina mengikut perubahan kecil yang konsisten.
Panggilan Kesedaran untuk Rakyat Malaysia
Sindrom text neck telah berkembang daripada isu postur ringan kepada kebimbangan kesihatan yang serius dan boleh dicegah, tetapi didorong oleh peningkatan kebergantungan rakyat Malaysia kepada peranti digital dan tabiat ergonomik yang lemah.
Walaupun perubahan yang mudah untuk mengawal postur dan masa skrin boleh mengurangkan risiko untuk mendapat sindrom ini, Dr Chang menyatakan bahawa ramai yang sukar ntuk mengekalkan tabiat ini.

Akibatnya, ketegangan yang berpanjangan dan tidak terkawal akan membawa kepada sakit kronik, degenerasi tulang belakang, dan dalam beberapa kes, kerosakan saraf dan saraf tunjang yang tidak dapat dipulihkan.
Dengan memupuk kesedaran awal dan menggalakkan memulakan postur badan yang betul, persediaan ergonomik dan latihan relaksasi leher, rakyat Malaysia boleh mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan risiko sindrom text neck dan memelihara kesihatan tulang belakang mereka secara berpanjangan dalam era digital ini.
Rujukan:
- https://www.electronicshub.org/the-average-screen-time-and-usage-by-country-in-2024/
- https://multimedia.scmp.com/lifestyle/article/2183329/text-neck/index.html
- https://www.physio-pedia.com/Text_Neck
- https://www.malaymail.com/news/malaysia/2025/04/14/non-ergonomic-offices-linked-to-rising-sick-leave-chronic-pain-among-malaysian-workers/172987
- https://moh.gov.my/index.php/dl/554756755a584a69615852686269394962334e7761585268624342435a574a686379424c5a584e6861326c3059573476516d466f59573467554756755a476c6b6157746862693951636d6c7459584a3549454e68636d55674d6a41784e79394f5a574e725831426861573566625746755957646c62575675644335775a47593d
- https://mjphm.org/index.php/mjphm/article/view/1726#:~:text=The%20prevalence%20of%20MSDs%20during,and%20shoulder%20pain%20(50.6%25).
- https://www.mdpi.com/2077-0383/14/4/1386#:~:text=The%20reinforcement%20of%20poor%20movement,limbs%2C%20and%20even%20numbness%20in
- https://levitanchiropractic.com/tech-neck/
Ketahui lebih banyak ilmu keibubapaan yang bermanfaat untuk Mama Papa di SINI.