Tidak dinafikan, reaksi ketika melatah itu melucukan namun ia juga mampu mengundang padah. Ia bukan sahaja menjejaskan diri pelaku itu malah orang sekeliling juga menanggung nasib yang sama. Melatah didefinisikan sebagai satu fenomena tingkah laku yang terjadi apabila tubuh menunjukkan tindak balas ketika dalam keadaan terkejut. Setiap individu pelatah memberikan respons terkejut yang berbeza. Jika dikejutkan secara berkali-kali, penyesuaian boleh berlaku dan ia akan beransur kurang seterusnya hilang pada kejutan berikutnya.
SINDROM TERKEJUT BERLEBIHAN
Begitupun, respons terkejut yang keterlaluan tanpa penyesuaian dianggap sebagai sesuatu yang tidak normal bagi manusia biasa. Keadaan tersebut ialah sindrom terkejut berlebihan atau lebih dikenali sebagai latah dalam kalangan masyarakat kita. Tabiat latah tidak asing lagi di Malaysia. Ia dikategorikan sebagai culture specific startle syndrome iaitu respons terkejut berlaku bersama dengan tingkah laku luar biasa yang berkait rapat dengan latar belakang budaya sesuatu etnik. Sehingga kini, masih wujud kontroversi sama ada latah patut digolongkan sebagai satu masalah kesihatan mental atau sistem otak saraf kerana ia mempunyai kedua-dua ciri keadaan ini. Melatah tercatat seawal kurun ke-14 iaitu orang yang melatah akan menunjukkan pelbagai reaksi apabila dikejutkan, disentuh secara tiba-tiba atau ditunjukkan benda yang menakutkan seperti ular. Mereka boleh menjerit, menari dan ketawa tanpa henti, malah kadangkala mengeluarkan perkataan yang tidak sesuai atau mencarut.
DI LUAR KAWALAN
Reaksi tersebut bukan dibuat-buat tetapi adalah respons di luar kawalan. Tambahnya, terdapat spekulasi yang mengatakan latah boleh berjangkit apabila terdapat banyak kes seseorang mendapat latah setelah mengusik pelatah yang lain. Namun, keadaan tersebut sukar untuk dijelaskan secara saintifik. Sebab itulah fenomena latah digolongkan sebagai masalah neuropsikiatri. Kemungkinan besar orang yang dijangkiti latah ini memang mempunyai kecenderungan untuk melatah namun hanya menunggu masa dan peluang yang sesuai untuk mula melatah. Mereka yang dijangkiti latah berkemungkinan mempunyai latar belakang budaya dan pengalaman hidup yang agak sama dengan pelatah lain.
Mereka boleh menjerit, menari, ketawa tanpa henti, malah kadangkala mengeluarkan perkataan yang tidak sesuai atau mencarut. Reaksi-reaksi sebegini bukan dibuat-buat tetapi adalah respons di luar kawalan. Pelatah juga mungkin akan meniru kata-kata dan kelakuan orang sekelilingnya walaupun perkara itu bersifat lucu, mengaibkan, kurang sopan atau berbahaya. Reaksi tersebut boleh berulang-ulang tetapi bersifat stereotaip. Apabila diarahkan untuk melakukan sesuatu, mereka juga menurut arahan secara automatik walaupun itu bukan kehendak dirinya.
Kebanyakan individu yang melatah dianggap mempunyai personaliti yang:
- Celaru
- Resah
- Darah gemuruh
- Cepat terkejut
- Lemah semangat
- Mudah mendapat serangan panik.
RAWATAN
Pelatah tidak dikategorikan sebagai sejenis penyakit kerana ia diterima umum dan tidak begitu jarang kelihatan di masyarakat kita malah sebenarnya tidak ada rawatan yang spesifik untuk pelatah.
Dari sudut psikiatri, latah dikategorikan sebagai sejenis dissociative disorder. Disebabkan melatah berkait rapat dengan pengalaman hidup yang perit, mereka hanya boleh dibantu dengan cara doktor menyelami pengalaman buruk tersebut dan mengenal pasti punca berlakunya tekanan dan masalah pelatah. Langkah yang seterusnya, doktor akan cuba membantu pelatah untuk menghadapi pengalaman-pengalaman itu dan menanganinya dengan lebih baik. Jika perlu rawatan ubat-ubatan, ia adalah untuk merawat kemurungan dan gangguan rasa cemas sahaja bergantung kepada keadaan pesakit.
KESEDARAN MASYARAKAT & ORANG SEKELILING
- Memang seronok melihat respons orang yang melatah tetapi tindak-tanduk sedemikian dikhuatiri memberi implikasi terhadap emosi golongan terbabit. Mereka berisiko menghidap stres, tekanan emosi, cemas, keresahan dan rendah diri hinggakan keadaan tersebut menggugat aktiviti harian individu.
- Melatah boleh menjadi sesuatu yang berbahaya kerana pelatah tidak dapat mengawal diri semasa terkejut. Ini kerana tindak balas mereka yang spontan kebanyakannya bersifat mempertahankan diri dan tidak mustahil untuk menjadi agresif sehingga membahayakan orang sekeliling.
- Biasanya apabila dikejutkan oleh sesuatu (rangsangan) yang tidak dijangka, kita akan memberikan respons terkejut seperti tersentak atau mengeluarkan suara secara spontan yang sebenarnya merupakan sejenis tindak balas yang dikawal oleh stem otak. Refleks ini menyediakan kita untuk menghadapi situasi yang tidak dijangka, mencemaskan atau berbahaya. Jika dikejutkan secara berkali-kali, penyesuaian boleh berlaku di mana respons terkejut ini berlaku cepat dan beransur kurang seterusnya hilang pada kejutan yang berikutnya.
- Pelatah sering kali diusik dan dipermain menyebabkan mereka berasa rendah diri dan memendam perasaan masing-masing. Oleh itu adalah baik jika kita memahami golongan ini dengan lebih dekat dan menerima mereka seadanya tanpa menjadikan mereka sebagai ‘objek gurauan’ untuk menghiburkan hati kita.
- Melatah boleh menjadi sesuatu yang berbahaya kerana pelatah tidak dapat mengawal diri semasa terjadinya latah. Mereka seolah-olah telah dipukau kerana tindak balas mereka adalah spontan dan kebanyakannya bersifat mempertahan diri. Oleh itu jika pelatah memegang benda tajam atau berada pada situasi yang berbahaya, janganlah mengusik mereka.
Sumber: Malaysiandigest.com