Putu halba atau lebih dikenali dengan nama popularnya “kuih dalam kain,” merupakan salah satu kuih tradisional yang sangat terkenal di Kelantan.
Kuih ini sering dinikmati ketika musim tengkujuh, dan ramai yang sanggup beratur panjang semata-mata untuk membelinya kerana keenakan rasanya yang unik dan menggamit nostalgia.
Selain itu, kuih ini terkenal disebabkan cara mengukusnya yang unik dan menarik membuatkan orang tertarik untuk memcubanya.
Apa yang membuatkan kuih ini sedap kerana memiliki rasa manis yang unik dengan gabungan halba, yang memberikan aroma dan rasa tersendiri.
Takkan Mama Papa perlu balik Kelantan untuk menikmati kuih ini, kan? Jadi, Mama Siti sediakan resepi putu halba versi Kelantan supaya Mama boleh mencubanya sendiri di rumah.
Resepi Putu Halba Versi Kelantan
Bahan-bahan
- 500 gram ubi kayu parut
- ½ cm halia
- 1 batang serai
- ½ sudu besar halba (rendam dalam air panas)
- 1 keping gula nisan
- 1 sudu besar gula pasir
- Tuala ‘Good Morning’
- Penapis
Cara Penyediaan:
- Mama mulakan dengan memerah keluar semua air dari ubi kayu yang telah diparut sehingga betul-betul kering.
- Tumbuk halia dan serai sehingga halus, kemudian perah airnya. Simpan air perahan halia dan serai, jangan dibuang.
- Masukkan halia dan serai yang telah diperah ke dalam ubi kayu yang diparut tadi. Gaulkan sehingga semuanya sebati.
- Masukkan campuran ubi kayu, halia, dan serai ke dalam penapis untuk mendapatkan tekstur yang lebih halus.
- Parut setengah keping gula nisan dan hiris kasar setengah keping lagi.
- Campurkan gula nisan parut, gula pasir, dan bahan campuran yang diayak tadi ke dalam mangkuk. Gaulkan semuanya hingga rata.
- Toskan halba yang direndam tadi, keringkan, dan campurkan ke dalam adunan ubi kayu. Gaulkan rata lagi.
- Seterusnya, dalam acuan, Mama letakkan separuh adunan ubi kayu, lapiskan gula nisan di tengah, dan tutup dengan baki adunan ubi kayu.
- Tutup adunan dalam acuan dengan kain lembap yang telah diperah kering. Telangkupkan acuan di atas loyang pengukus dan keluarkan acuan. Balut adunan dengan kain.
- Kukus adunan selama 25 hingga 30 minit dengan api sederhana.
- Tambahkan air perahan halia dan serai ke dalam air pengukus untuk memberikan aroma wangi pada kuih.
- Kuih putu halba Mama sedia untuk dinikmati!
Resepi: Malina Luna Pg
Tips untuk Mama
- Mama boleh masukkan sedikit garam mengikut citarasa Mama.
- Boleh kurangkan juga penggunaan gula nisan kalau Mama tidak suka inti yang manis.
Mama mengandung pun boleh menikmati Putu Halba ini! Malah, halba atau fenugreek yang ada dalam kuih ini sangat bagus untuk Mama yang menyusu, kerana ia boleh membantu meningkatkan penghasilan susu.
Dengan resipi mudah ini, Mama boleh mencuba membuatnya di rumah dan menikmati kuih tradisional yang sedap dan mengenyangkan, sambil mendapat manfaat kesihatan untuk Mama juga.
Resepi ketam masak lemak cili api untuk Mama cuba! Klik di SINI.