Perkongsian oleh Dr. Izzuddin Azaharuddin, Pegawai Perubatan & Pensyarah Anestesiologi & Rawatan Intensif, semasa Kelas Antenatal HCTM, kolaborasi bersama KelabMama.
Sakit bersalin memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Sama ada Mama bersalin secara normal ataupun melalui kaedah lain, hampir semua Mama pasti akan merasai fasa-fasa contraction yang cukup mencabar. Namun begitu, persoalannya bagaimana Mama ingin menghadapi sakit ini? Apa pilihan yang Mama ada untuk kurangkan rasa sakit itu?

Pegawai Perubatan & Pensyarah Anestesiologi & Rawatan Intensif
Menurut Dr. Izzuddin Azaharuddin yang merupakan seorang Pegawai Perubatan & Pensyarah Anestesiologi & Rawatan Intensif di HCTM, langkah paling penting ialah perbincangan awal antara Mama Papa.
“Jangan tunggu saat-saat akhir baru nak bincang tentang jenis pengambilan ubat tahan sakit yang akan Mama ambil.”
Bila Mama Papa sudah sepakat dan faham tentang pilihan yang ada, barulah lebih mudah untuk buat keputusan apabila berjumpa dengan doktor semasa checkup terakhir sebelum Mama melahirkan bayi.
Pilihan Ubat Tahan Sakit Semasa Mama dalam Labour Room
Mama Papa perlu tahu, ada beberapa jenis ubat tahan sakit yang boleh dipertimbangkan mengikut keperluan dan keadaan Mama:
1. Inhalation (Entonox / Gas & Air)

Digunakan semasa contraction, gas ini disedut melalui topeng muka. Kesan tahan sakitnya sederhana dan cepat hilang selepas disedut, jadi Mama boleh kawal sendiri bila nak guna.
Ia tidak menyebabkan kesan jangka panjang kepada Mama atau bayi, dan biasanya digunakan pada awal fasa bersalin.
2. Pethidine

Ubat pelega kesakitan yang juga bertindak sebagai sedatif (ubat penenang). Ia diberikan melalui suntikan di bahagian punggung atau peha.
Kesan ubat ini boleh membantu Mama rasa lebih tenang atau mengantuk tetapi Mama mungkin akan rasa kesan sampingan seperti rasa loya atau pening.
Biasanya digunakan pada fasa awal bersalin dan tidak sesuai diberi terlalu dekat dengan waktu kelahiran kerana boleh memberi kesan kepada bayi.
3. Epidural

Ini antara kaedah yang paling terkenal. Epidural ialah suntikan ubat bius di bahagian belakang bawah, menggunakan jarum khas berongga yang hujungnya melengkung. Ia membantu mengurangkan rasa sakit secara signifikan dari pinggang ke bawah.
Namun, prosedur ini perlu dilakukan oleh pakar bius (anaesthetist) dan mengambil masa tertentu. Walaupun ramai Mama mendapat kelegaan sepenuhnya, ada juga yang masih merasa sedikit tekanan atau ketidakselesaan bergantung pada reaksi tubuh masing-masing.
4. Spinal atau Combined Spinal-Epidural (CSE)

Kaedah ini memberikan kelegaan segera dan cepat, dengan suntikan ubat bius terus ke dalam cecair tulang belakang. Biasanya digunakan untuk kes tertentu seperti bersalin secara caesarean.
Versi combined pula menggabungkan faedah spinal dan epidural ia bermula dengan suntikan spinal untuk kelegaan pantas, diikuti dengan catheter epidural untuk tahan sakit berpanjangan.
Disebabkan epidural sering menjadi topik hangat di kalangan Mama, Dr. Izzuddin menegaskan bahawa tidak salah untuk mengambilnya. Jangan rasa bersalah atau rasa kurang hebat sekiranya Mama memilih untuk mengambil epidural.
Namun, penting juga untuk Mama faham bahawa epidural bukanlah “penawar ajaib” yang serta-merta menghapuskan segala rasa sakit. Ada juga Mama yang masih rasa sakit walaupun sudah mengambil epidural, bergantung kepada tahap toleransi sakit masing-masing.

Apa yang paling penting ialah menghormati pilihan setiap Mama. Dr. Izzuddin turut menasihatkan supaya kita tidak “mengkelaskan” Mama mengikut cara mereka mengendalikan sakit bersalin.
Kesakitan yang dirasai adalah unik bagi Mama dan Mama berhak membuat pilihan yang terbaik untuk diri mereka sendiri, tanpa perlu dibanding-bandingkan.
Malah, Dr. Izzuddin juga turut menyokong pengambilan epidural sebagai satu pilihan yang selamat dan berkesan, terutama bagi Mama yang benar-benar memerlukannya.
Bagi Mama yang mempunyai scoliosis atau masalah tulang belakang, berbincanglah dahulu dengan doktor pakar. Dalam sesetengah kes, epidural mungkin tidak sesuai atau memerlukan perhatian khas sebelum dilaksanakan.
Sama ada Mama buat pemeriksaan di Klinik Kesihatan Ibu & Anak atau klinik swasta, yang penting ialah Mama dan Papa telah membuat keputusan yang bijak dan bersedia.

Bila tiba saat genting nanti, Mama tak perlu lagi berteka-teki dan doktor pun lebih mudah membantu mengikut pelan yang telah Mama Papa tetapkan.
Sakit bersalin bukan sesuatu yang memalukan untuk dibincangkan. Malah, makin banyak Mama ambil tahu dan buat persediaan, makin yakin Mama hadapi saat-saat indah menyambut si kecil nanti. Yang penting, pilihan terletak di tangan Mama, Mama yang tentukan sendiri!
Bukan sekadar perkongsian saja, Mama Papa yang menyertai Kelas Antenatal berpeluang untuk memenangi lucky draw dengan hadiah menarik tajaan Motherhood, KelabMama dan Mama Siti.
Kelas antenatal ini bukan sekadar sesi belajar tetapi ruang untuk bertanya soalan, kongsi pengalaman dan bina keyakinan Mama sebelum hari bersalin tiba. Tak sabar nak jumpa Mama Papa dalam Kelas Antenatal bulan September nanti!
Mama perlu tahu hukum solat sebelum Mama bersalin, klik di SINI.