Setiap perkembangan anak mengikut masa dan caranya sendiri. Ada yang cepat berjalan, ada pula yang lambat bercakap dan kedua-duanya masih boleh dianggap normal.
Tapi sebagai Mama Papa, kita kena tahu garis panduan asas perkembangan anak supaya kita boleh perhati kalau ada tanda-tanda yang luar biasa.
Sebab lima tahun pertama ni sangat penting, Mama! Otak anak berkembang dengan sangat pesat, dan setiap sentuhan, suara, serta interaksi yang mereka dapat sebenarnya membentuk cara mereka belajar dan berfikir nanti.
Perkembangan Anak dari Umur 0-5 Tahun
0 – 12 Bulan: Mula Kenal Dunia

Dalam setahun pertama ni, anak banyak belajar daripada pemerhatian dan deria. Waktu ni mereka belajar meniarap, duduk, berdiri dengan bantuan, dan akhirnya mula melangkah.
Dari segi deria dan emosi, anak mula kenal muka Mama Papa, mula tersenyum bila diajak bersembang, dan kadang-kadang ‘berbual’ dengan bunyi comel seperti “pa-pa” atau “ma-ma”.
Tapi kalau anak tak tunjuk reaksi langsung terhadap suara atau wajah Mama Papa, atau belum boleh duduk selepas 9 bulan, sebaiknya Mama rujuk kepada doktor. Kadang-kadang ada sebab kesihatan yang perlukan perhatian awal.
1 – 2 Tahun: Belajar Berdiri dan Bertutur

Bila masuk usia setahun lebih, anak dah mula nak berdikari. Mereka akan mula berjalan, berlari-lari kecil, dan tak sabar nak teroka sekeliling.
Dari segi pertuturan pula, biasanya mereka dah boleh sebut beberapa perkataan seperti “mama”, “nak”, atau “air”, dan menjelang dua tahun mereka boleh guna lebih banyak perkataan.
Waktu ni mereka juga suka meniru dari cara kita bercakap sampai cara kita buat kerja rumah. Tapi kalau anak langsung tak cuba bercakap, tak menunjukkan minat nak berinteraksi, atau belum berjalan selepas 18 bulan, mungkin elok Mama bawa jumpa pakar untuk pemeriksaan awal.
3 – 4 Tahun: Dunia Imaginasi dan Sosialisasi

Waktu ni memang seronok! Anak mula pandai bercerita (kadang-kadang sampai kita pun pening nak faham jalan ceritanya), suka main ‘main masak-masak’ atau pura-pura jadi superhero. Mereka juga mula faham konsep berkawan, tahu tunggu giliran dan berkongsi mainan.
Tapi dalam masa sama, ada juga yang agak lambat bercakap dengan jelas dan itu tak semestinya masalah, asalkan mereka masih faham arahan mudah dan cuba berkomunikasi.
Kalau anak selalu menyendiri, tak mahu bermain dengan orang lain, atau sukar fokus walaupun sekejap, elok Mama pantau dan dapatkan nasihat daripada doktor.
5 Tahun: Bersedia ke Sekolah

Menjelang usia 5 tahun, anak biasanya dah lebih yakin dengan diri sendiri. Mereka boleh bercerita dengan ayat penuh, faham konsep masa (macam ‘pagi’ dan ‘malam’), kenal warna dan nombor asas. Dari segi motor pula, mereka dah boleh mengayuh basikal roda tiga, melukis bentuk mudah, dan memegang pensel dengan betul.
Tapi kalau anak masih sukar bercakap dengan jelas, tak faham arahan mudah, atau terlalu pemalu sampai takut bergaul, Mama mungkin boleh bincang dengan guru tadika atau doktor untuk langkah susulan. Kadang-kadang intervensi awal sangat membantu.
Mama Papa, perkembangan anak ni bukan untuk dibandingkan tapi untuk membantu kita faham perjalanan unik setiap anak. Kalau nampak perkembangan mereka sedikit lambat, jangan terus panik.
Perhatikan dulu corak kemajuan mereka, dan yang paling penting, terus beri sokongan, rangsangan dan kasih sayang setiap hari.
Anak akan berkembang mengikut rentaknya sendiri, dan tugas kita sebagai Mama Papa menjadi penyokong paling kuat dalam setiap langkah kecil mereka.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Mama tengah fikir menu apa untuk masak malam nanti? Jom tengok resipi-resipi di SINI.
