Di Malaysia, kanser endometrium yang juga dikenali sebagai kanser korpus uteri merupakan kanser kelima paling umum dalam kalangan wanita dengan kadar prevalens sebanyak 5.6 peratus1.
Keadaan ini lebih membimbangkan apabila penyakit yang selama ini dianggap lazim berlaku kepada wanita yang lebih tua dan sudah mengalami menopaus, kini semakin meningkat diagnosis dalam kalangan wanita di bawah umur 50 tahun.

Pakar Perunding Ginekologi, Obstetrik dan Onkologi
Peningkatan yang tidak dijangka ini bukan sekadar anomali statistik, tetapi merupakan satu isyarat bahaya.
Implikasinya terhadap wanita yang lebih muda adalah sangat mendalam kerana mereka berdepan dengan cabaran untuk memelihara kesuburan sambil melawan penyakit yang tidak terjangka akan dihadapi pada usia muda.
Dr Andi Anggeriana Binti Andi Asri, Pakar Perunding Ginekologi, Obstetrik dan Onkologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, menjelaskan faktor-faktor yang mendorong perubahan norma kesihatan ini, kepentingan pengesanan awal, dan peranan pembedahan robotik dalam rawatan moden.
Trend Membimbangkan dalam Kalangan Wanita Muda
Seperti kanser-kanser yang lain, kanser endometrium tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa gejala utama yang perlu diketahui oleh kaum wanita, tanpa mengira usia.
“Pendarahan rahim, sama ada pendarahan selepas menopaus atau pendarahan yang tidak normal, adalah simptom kanser endometrium yang paling kerap berlaku,” kata Dr Andi.
Gejala-gejala lain termasuk sakit pada bahagian pelvis, penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan, dan kesukaran atau berasa sakit semasa membuang air kecil atau persetubuhan, atau keputihan yang luar biasa2.

Dedah Dr Andi, “Kami melihat peningkatan kes kanser endometrium dalam kalangan wanita berumur bawah 50 tahun, malah ada juga yang baru berusia awal 30-an.” Bagi pesakit wanita yang masih muda, peningkatan ini amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan, malah turut menjejaskan kesuburan mereka.
Faktor-faktor yang mendorong kepada trend ini adalah sangat kompleks. Obesiti, gaya hidup kurang aktif, dan masalah hormon seperti sindrom ovari polisistik (PCOS), merupakan antara faktor yang boleh meningkatkan kadar estrogen dalam badan. Estrogen yang tinggi boleh menyebabkan lapisan rahim menjadi tebal, dan ini mungkin menjadi pencetus terjadinya masalah ini3.
“Terdapat wanita muda yang datang untuk memeriksa kesuburan atau ketidakseimbangan hormon, tetapi dikejutkan dengan diagnosis bahawa mereka sebenarnya mempunyai kanser endometrium. Ini sangat meluluhkan perasaan, terutama bagi mereka yang sedang merancang atau baru sahaja mula membina keluarga,” jelas Dr Andi.
Kesan terhadap Kesuburan dan Kualiti Hidup
Kanser endometrium, terutamanya pada peringkat awal, boleh dirawat dengan terapi yang dapat mengekalkan fungsi reproduktif. Walau bagaimanapun, pelan rawatan bergantung pada peringkat dan gred tumor.
“Bagi wanita yang didiagnosis dengan kanser endometrium pada peringkat awal, terdapat kemungkinan untuk mengekalkan rahim dan merawat kanser menggunakan terapi hormon,” kata Dr Andi. Namun, pendekatan ini memerlukan pemantauan yang rapi dan membawa risiko seperti kemungkinan berulangnya kanser.
Mereka yang terjejas kesuburan disebabkan keadaan ini boleh mengalami tekanan emosi dan psikologi yang ketara. “Kebanyakan wanita muda yang diuji dengan penyakit ini masih belum berkeluarga atau mempunyai zuriat. Oleh itu, apabila menerima diagnosis menghidap kanser endometrium, ia amatlah mendukacitakan mereka,” jelas Dr Andi.
Kehilangan kesuburan sering menambah beban emosi bagi diagnosis kanser. Oleh itu, sistem sokongan komprehensif amatlah penting dan diperlukan oleh pesakit ini
Pilihan rawatan dan kemajuan teknologi terkini

Rawatan kanser endometrium disesuaikan berdasarkan keadaan pesakit, termasuk peringkat dan gred kanser, umur pesakit, dan keinginan mereka untuk mengekalkan kesuburan.
Rawatan utama adalah melalui pembedahan yang melibatkan histerektomi total dan mungkin juga penyingkiran nodus limfa, diikuti dengan kemoterapi dan rawatan radiasi, bergantung kepada peringkat kanser.
Selain itu, terdapat juga terapi bersasar yang menggunakan ubat-ubatan. Bagi kanser di peringkat awal, terapi hormon mungkin menjadi pilihan wanita muda yang ingin mengekalkan kesuburan mereka.
Bagaimanapun, Dr Andi memberi amaran bahawa pemantauan yang teliti diperlukan kerana adakalanya ia mengawal kanser dengan lebih lama sehingga menyukarkan wanita tersebut mendapatkan zuriat.
Seiring kemajuan teknologi dalam rawatan kanser endometrium, pembedahan dengan bantuan robotik dalam onkologi ginekologi membolehkan pengasingan tisu kanser dengan ketepatan tinggi sambil mengekalkan tisu sihat di sekelilingnya.
Mengenai faedah pembedahan dengan bantuan robotik, terutamanya bagi mereka yang mengutamakan pemulihan dan kualiti hidup, Dr Andi berkata, “Pembedahan dengan bantuan robotik menawarkan ketepatan lebih tinggi, hirisan lebih kecil, dan masa pemulihan yang lebih cepat berbanding pembedahan konvensional. Pesakit dari semua peringkat umur akan mengalami kurang parut dan rasa sakit, serta boleh kembali menjalani aktiviti seharian dengan lebih cepat.”
Pengesanan dan Kesedaran Awal
Pengesanan awal dan memupuk kesedaran adalah lebih kritikal kini memandangkan terdapat peningkatan kes dalam kalangan wanita muda. Dr Andi menekankan kepentingan melakukan pemeriksaan ginekologi secara berkala, terutamanya bagi wanita yang mempunyai faktor risiko seperti obesiti, PCOS, atau sejarah keluarga menghidap kanser.
“Seringkali, pesakit datang untuk memeriksa kesuburan mereka dan terkejut apabila mengetahui mereka menghidap kanser endometrium,” katanya. Ini menunjukkan pentingnya untuk tidak mengabaikan gejala seperti pendarahan yang tidak normal, walaupun pada wanita lebih muda yang mungkin beranggapan mereka tidak berisiko.
Kanser endometrium bukan lagi penyakit yang hanya menyerang wanita lebih tua. Peningkatan kes dalam kalangan wanita lebih muda harus dijadikan peringatan kepada komuniti perubatan dan orang ramai untuk segera bertindak.

Kemajuan dalam bidang teknologi seperti pembedahan dengan bantuan robotik memberi sinar harapan kepada pesakit untuk mendapat rawatan efektif dengan kesan sampingan minimal.
Walau bagaimanapun, pengesanan awal masih merupakan kunci untuk memelihara kesuburan dan memastikan hasil perubatan terbaik diterima pesakit.
Bagi wanita yang lebih muda, menjaga kesihatan reproduktif adalah penting. Jika terdapat gejala tidak normal, jangan berlengah mendapatkan nasihat pakar perubatan kerana ia boleh memberikan perbezaan yang ketara.
Dr Andi menyarankan, “Kesedaran dan intervensi yang tepat pada masanya adalah kunci dalam memerangi kanser endometrium. Lebih awal ia dikesan, lebih baik. Maka, anda boleh menjalani kehidupan yang lebih panjang dan bermakna.”
Sebagai hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, Pusat Perubatan Sunway di Bandar Sunway merupakan hospital swasta pertama di negara ini yang menerima tiga akreditasi hospital secara menyeluruh iaitu daripada Joint Commission International (JCI), Australian Council on Healthcare Standards (ACHS) dan Malaysian Society for Quality in Health (MSQH). Ia sekali gus menjadi penanda aras dalam kecemerlangan klinikal.
Hospital ini turut diiktiraf sebagai 250 hospital terbaik dunia oleh Newsweek World’s Best Hospitals 2024 dan antara 75 hospital terunggul dalam bidang Onkologi dalam senarai Best Specialized Hospitals Asia Pacific Newsweek 2024.
Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway juga telah menerima anugerah Hospital Terbaik (Malaysia) di Healthcare Asia Awards 2024 untuk tahun ketiga berturut-turut.
Rujukan
- Ferlay J, Ervik M, Lam F, Laversanne M, Colombet M, Mery L, Piñeros M, Znaor A, Soerjomataram I, Bray F (2024)1. Global Cancer Observatory: Cancer Today2. Lyon, France: International Agency for Research on Cancer -458-malaysia-fact-sheet.pdf (who.int)
- Endometrial (Uterine) Cancer: Symptoms, Causes, and More (healthline.com)
- Apple Women’s Health Study. (2023)Relationship between polycystic ovarian syndrome (PCOS) and time to cycle irregularity with endometrial cancer and hyperplasia1. Retrieved from Apple Research.
Ketahui lebih banyak informasi tentang kesihatan Mama Papa di SINI.