Satu regangan ringan dan tergelincir sedikit, tetapi tiba-tiba, tulang patah. Sering digelar “penyakit senyap”, osteoporosis tanpa disedari melemahkan tulang dari semasa ke semasa. Ia tidak menunjukkan sebarang tanda sehinggalah berlaku kepatahan, selalunya akibat terjatuh yang kelihatan seperti tidak berbahaya.

“Osteoporosis tidak menyebabkan rasa sakit atau tanda amaran yang ketara sehingga terlambat. Kebanyakan pesakit didiagnosis hanya selepas mengalami kepatahan ‘fragiliti’ (fragility fracture), kepatahan yang disebabkan oleh kejatuhan atau impak kecil yang biasanya tidak akan mencederakan tulang sihat. Ketika itu, penyakit tersebut sudah pun menyebabkan kerosakan,” jelas Dr Edward Chong Kah Chun, Pakar Perunding Geriatrik di Pusat Bandar Sunway, Bandar Sunway (SMC).
Kejatuhan Kecil, Akibatnya Serius
Menurut Dr Edward, kepatahan yang paling lazim berkaitan osteoporosis atau kepatahan fragiliti berlaku pada pinggul, tulang belakang, dan pergelangan tangan, di mana setiap satunya mempunyai kesan yang serius.
“Kepatahan pinggul adalah yang paling teruk kerana ia sering menyebabkan ketidakupayaan bergerak yang berpanjangan,” jelas beliau.
“Berdasarkan data global, satu daripada empat pesakit berisiko meninggal dunia dalam tempoh setahun selepas kepatahan pinggul akibat komplikasi.”
Kepatahan tulang belakang pula boleh menyebabkan sakit belakang yang berterusan dan kerengsaan saraf. Ia kadangkala berlaku akibat pergerakan yang sangat ringan seperti duduk terlalu cepat.
Walaupun kurang mengancam nyawa, kepatahan pergelangan tangan boleh menyukarkan tugas harian seperti berjalan, berpakaian, atau mandi, terutamanya jika tangan dominan yang terjejas.
Selain kesakitan fizikal, osteoporosis juga boleh memberi kesan emosi. “Ramai pesakit mengalami ‘ketakutan jatuh’ (fear of falling). Mereka hilang keyakinan untuk berjalan atau keluar rumah, yang membawa kepada kelemahan otot dan pengasingan diri. Ianya memudaratkan kerana semakin kurang mereka bergerak, semakin lemah keadaan mereka,” kata Dr Edward.
Mengapa Rakyat Malaysia Berisiko

Osteoporosis semakin meningkat di Malaysia, disebabkan oleh perubahan diet dan gaya hidup. “Diet tempatan kita beraneka jenis dan enak, tetapi tidak sentiasa seimbang,” kata Dr Edward. “Ramai tidak mengambil makanan dengan kalsium yang mencukupi seperti susu, keju, yogurt, tauhu, atau sayur-sayuran. Kekurangan Vitamin D juga lazim kerana kita mengelak daripada cahaya matahari meskipun Malaysia beriklim tropika.”
Kurang pendedahan kepada cahaya matahari bermaksud kurangnya Vitamin D yang penting untuk penyerapan kalsium. Makanan seperti salmon, tuna, ikan bilis, dan cendawan boleh membantu, tetapi cahaya matahari di waktu pagi kekal sebagai sumber semula jadi Vitamin D yang terbaik.
Wanita menghadapi risiko yang lebih tinggi selepas menopaus apabila paras estrogen menurun. “Bagaimanapun, lelaki juga boleh menghidap osteoporosis, terutamanya jika mereka mempunyai diet yang kurang baik, merokok, atau mengambil ubat-ubatan tertentu untuk tempoh yang lama,” tambah Dr Edward.
Saringan Osteoporosis – Bila dan Bagaimana?

Dr Edward merujuk kepada Panduan Amalan Klinikal (CPG) Malaysia mengenai Pengurusan Osteoporosis 2022, yang mengesyorkan saringan dalam beberapa situasi1.
“Mereka yang mengalami kepatahan trauma rendah, seperti jatuh dari ketinggian berdiri, harus disaring dengan serta-merta. Saringan juga dinasihatkan untuk wanita berumur 50 tahun ke atas dan lelaki berumur 70 tahun ke atas, walaupun mereka kelihatan sihat,” kata beliau.
Rujukan
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Mama tengah fikir menu apa untuk masak malam nanti? Jom tengok resipi-resipi di SINI.
