“Eh, kenapa tiba-tiba mulut naik luka macam melepuh?” Kalau Mama pernah alami situasi macam ni, jangan terus anggap ia sekadar ulser biasa. Sebenarnya, itu mungkin tanda herpes mulut, iaitu jangkitan virus Herpes Simplex (HSV-1) yang sangat mudah berjangkit.
Apa yang lebih membimbangkan, virus ini bukan saja mudah berjangkit kepada orang sekeliling termasuk bayi dan kanak-kanak yang mempunyai sistem imun lemah DAN boleh menjadi risiko sekiranya Mama terlibat dalam dunia F&B.
Penting untuk Mama Papa kenal pasti simptom herpes lebih awal dan ambil langkah untuk lindungi diri serta orang tersayang daripada jangkitan ini.
Apa Itu Herpes Oral?

Herpes oral disebabkan oleh jangkitan virus yang dikenali sebagai Herpes Simplex Virus Type 1 (HSV-1). Virus ini biasanya menyerang bahagian mulut, bibir, dan kawasan sekelilingnya.
Ia menyebabkan luka kecil yang berair (dikenali sebagai cold sore) dan rasa tidak selesa seperti gatal, berdenyut, pedih atau kebas di sekitar mulut.
Jangkitan ini sangat biasa dan ramai orang pernah mengalaminya, sama ada secara sedar atau tidak. Malah, kajian menunjukkan bahawa majoriti orang dewasa pernah dijangkiti HSV-1 sekurang-kurangnya sekali dalam hidup, cuma tidak semua menunjukkan gejala yang jelas.
Ini kerana virus boleh ‘bersembunyi’ dalam sistem saraf dan kekal dalam badan sepanjang hayat, serta boleh aktif semula apabila badan dalam keadaan lemah seperti stres, demam, atau keletihan.
Simptom-Simptom Herpes Oral

Simptom herpes oral berbeza mengikut individu. Ada yang mengalami:
- Rasa pedih, gatal atau panas di kawasan bibir sebelum lepuh muncul.
- Lepuh kecil berisi air di sekitar mulut atau bibir.
- Luka terbuka bila lepuh pecah, kemudian mengering dan menjadi kudis.
- Kadang-kadang boleh disertai demam ringan, sakit kepala atau rasa tak sedap badan.
Kadangkala, penghidap mungkin mengalami simptom seperti selesema ringan, disebabkan reaksi tubuh terhadap jangkitan awal. Bagi sesetengah orang pula, virus ini muncul semula berulang kali, biasanya di tempat yang sama inilah yang dinamakan reaktivasi virus.
Cara Jangkitan Herpes Oral Berlaku
Melalui Sentuhan dan Ciuman

HSV-1 sangat mudah menular melalui sentuhan kulit ke kulit, terutamanya jika ada luka terbuka. Ciuman, walaupun sekadar di pipi atau dahi, boleh menyebabkan jangkitan jika orang yang memberi ciuman itu mempunyai virus aktif walaupun dia tidak ada simptom yang jelas.
Mama Siti sarankan agar kita elakkan berkongsi barangan peribadi seperti sudu, straw, tuala atau lip balm dan jangan sesekali menyentuh luka atau kawasan melepuh kerana risiko penyebaran virus herpes sangat tinggi.
Paling penting, elakkan mencium bayi kerana sistem imun bayi masih lemah dan mereka mudah dijangkiti.
Hubungan Oral-Genital
Selain daripada jangkitan biasa di mulut, HSV-1 juga boleh tersebar melalui hubungan seksual oral-genital. Dalam kes ini, virus dari mulut boleh menjangkiti kawasan kemaluan pasangan atau sebaliknya.
Walaupun HSV-2 biasanya dikaitkan dengan herpes genital, HSV-1 juga kini semakin banyak dikesan di kawasan tersebut, terutamanya dalam kalangan pasangan muda. Kebersihan kawasan intim turut memainkan peranan besar dalam mencegah penularan jangkitan.
HSV-2 atau Herpes Simplex Virus Type 2 pula lebih banyak menyerang bahagian kemaluan, seperti:
- Faraj
- Zakar
- Kerandut zakar
- Punggung
- Dubur
Ia biasanya dikaitkan dengan jangkitan seksual (STD) dan boleh menyebabkan lepuh yang menyakitkan di kawasan kemaluan. Sesetengah orang tak sedar mereka telah dijangkiti kerana simptom boleh jadi sangat ringan atau tiada langsung.
HSV-2 disebarkan melalui hubungan seksual, termasuk oral, vaginal dan anal, terutamanya bagi pasangan mempunyai lepuh aktif.
Kawasan yang tidak dibersihkan dengan baik, lembap atau berbau boleh menjadi persekitaran yang mudah dijangkiti, apatah lagi jika ada geseran atau luka kecil semasa hubungan.
Apa Perlu Buat Kalau Kalau Dijangkiti Herpes?
Ada Ke Ubat untuk Herpes?

Herpes tak ada penawar sepenuhnya, tapi jangan risau masih boleh dikawal dan biasanya sembuh sendiri dalam 1-2 minggu. Apa yang Mama boleh lakukan:
- Guna krim antivirus (seperti acyclovir) boleh didapatkan di farmasi
- Jaga kebersihan dengan mencuci tangan dengan kerap dan jangan sentuh luka
- Rehat dan minum air secukupnya membantu badan lawan virus
- Elakkan sentuhan dengan bayi atau orang lain hingga luka kering
- Kalau kerap berulang, Mama boleh jumpa doktor untuk ubat antivirus oral
Langkah Pencegahan yang Boleh Diambil
Untuk elakkan jangkitan herpes oral menular:
- Elakkan ciuman, terutama kepada bayi atau anak kecil.
- Jangan berkongsi barang peribadi seperti sudu, straw, berus gigi atau lip balm.
- Amalkan kebersihan mulut dan kawasan sulit setiap hari.
- Gunakan pelindung bibir bila cuaca panas atau kering.
- Kawal stress dan jaga imuniti badan seperti makan sihat, tidur cukup.
Selain itu, jangan sesekali anggap malu untuk berjumpa doktor jika mengalami gejala yang meragukan. Lebih baik kita dapatkan rawatan awal daripada tunggu sampai keadaan jadi lebih teruk.
Sebagai Mama Papa, penjaga dan pasangan, kita semua memainkan peranan untuk memastikan virus seperti HSV-1 tidak terus menular tanpa sedar.
Ingat Mama, sayang bukan sekadar peluk dan cium. Sayang juga bermakna kita berusaha melindungi mereka daripada bahaya, walaupun sekecil luka melepuh di bibir.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Risau nak bersalin caesarean? Jangan takut, Mama tetap supermom! Klik di SINI!