Limfoma ialah sejenis kanser darah yang menyasarkan limfosit, iaitu sejenis sel darah putih penting yang bertanggungjawab untuk melindungi tubuh daripada sebarang jangkitan seperti bakteria dan virus.
Ia terjadi apabila mutasi dalam limfosit normal bertukar menjadi sel kanser tidak normal. Jenis limfoma ini boleh diklasifikasikan kepada dua kategori iaitu Limfoma Bukan Hodgkin (NHL) dan Limfoma Hodgkin (HL).
Menurut laporan Globocan 2022, NHL menduduki tempat ke-10 di seluruh dunia berbanding jenis kanser lain. Ia merangkumi 553,389 kes dan 250,679 kematian pada tahun tersebut.
Di Malaysia, limfoma adalah kanser keempat paling lazim dan ketujuh penyebab utama kematian disebabkan kanser.

Pakar Perunding Hematologi dan
Pakar Perubatan Transplan
Dr Hon Siong Leng, Pakar Perunding Hematologi dan Pakar Perubatan Transplan dari Pusat Perubatan Sunway di Bandar Sunway, memberi penerangan tentang kompleksiti limfoma, membincangkan jenis-jenisnya, faktor penyumbang, gejala, dan kadar kelangsungan hidup.
Beliau menegaskan kepentingan pengesanan awal dan intervensi tepat pada masanya dalam memerangi limfoma.
Klasifikasi Limfoma Bukan Hodgkin (NHL) dan Limfoma Hodgkin (HL)
Perbezaan utama antara limfoma Hodgkin (HL) dan limfoma Non-Hodgkin (NHL) terletak pada kehadiran sel Reed-Sternberg yang hanya terdapat dalam HL tetapi tidak dalam NHL.
HL biasanya didiagnosis pada golongan belia, manakala NHL lebih kerap berlaku dalam kalangan orang lebih berusia dan mempunyai banyak subjenis, termasuk limfoma sel B dan limfoma sel T.
“Tidak seperti limfosit biasa, sel-sel yang tidak normal ini berkembang dengan pantas dan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. Sel-sel kanser ini merebak melalui darah dan sistem limfatik, dan akhirnya membiak di pelbagai bahagian badan, termasuk nodus limfa, limpa, sumsum tulang, dan organ-organ lain. Akibatnya, pesakit yang menghidap limfoma biasanya akan menunjukkan pembengkakan nodus limfa tanpa rasa sakit atau kiraan darah yang tidak normal,” jelas Dr. Hon.
Walaupun NHL lebih lazim daripada HL, lelaki mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kedua-dua jenis limfoma ini.
Dr. Hon juga berkongsi bahawa individu dengan limfoma mungkin mengalami pelbagai gejala seperti demam berpanjangan tanpa sebab yang jelas, dengan suhu badan melebihi 39.5 darjah, penurunan berat badan yang tidak dijangka, ruam atau kegatalan pada kulit, dan peluh pada waktu malam yang luar biasa.
Adalah penting untuk mengenal pasti gejala-gejala ini pada peringkat awal kerana diagnosis yang tepat pada masanya dan intervensi awal boleh meningkatkan hasil rawatan dengan ketara.
Kekal Waspada dan Awasi Petanda Limfoma

Walaupun limfoma boleh menjejaskan individu dari semua peringkat umur, terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko untuk menghidap penyakit ini. Risiko untuk menghidap limfoma lebih tinggi apabila usia meningkat, terutamanya NHL, dengan umur median diagnosis adalah 67 tahun.
Di Malaysia, NHL adalah kanser keenam paling lazim dalam kalangan lelaki dan kanser kelapan paling tinggi bagi golongan wanita.
Namun begitu, umur hanyalah salah satu daripada banyak faktor risiko lain. Individu dengan sistem imun yang lemah lebih berisiko terdedah kepada limfoma. Ini termasuklah mereka yang pernah menjalani pemindahan organ dan mengambil ubat imunosupresif, serta dijangkiti virus seperti HIV, AIDS, atau virus Epstein-Barr (EBV).
Dr. Hon juga menegaskan bahawa individu yang mempunyai sejarah keluarga pernah menghidap limfoma dan faktor persekitaran turut memainkan peranan dalam meningkatkan risiko limfoma.
Terdedah kepada bahan kimia seperti benzena, racun perosak, dan racun rumpai seperti glifosat turut dikaitkan sebagai punca peningkatan risiko penyakit ini.
Selain itu, individu yang pernah menjalani rawatan kanser seperti kemoterapi atau radioterapi juga berkemungkinan tinggi untuk menghidap limfoma pada masa akan datang.
Hidup dengan Limfoma: Kadar Kelangsungan Hidup dan Rawatan Pilihan
Dr. Hon turut berkongsi berita baik bahawa limfoma adalah salah satu jenis kanser yang berpeluang tinggi untuk disembuhkan. Ujarnya, secara keseluruhan, kadar kesembuhan bagi limfoma adalah setinggi 80 peratus, dengan limfoma tahap 4 menunjukkan kadar kesembuhan sehingga 70 peratus.
Walau bagaimanapun, Dr. Hon turut menjelaskan bahawa terdapat pilihan rawatan bergantung kepada jenis dan peringkat limfoma serta tahap keagresifan kanser. Rawatan biasa termasuk imunokimoterapi, terapi sinaran, terapi sasaran, pemindahan sel stem atau sumsum tulang autologus dan terapi sel T reseptor antigen kimerik (CAR-T).
Justeru, adalah penting bagi seseorang pesakit untuk berbincang dengan doktor pakar bagi merancang pelan rawatan terbaik.

“Diagnosis limfoma boleh memberi kesan kepada pesakit secara mental dan fizikal. Kesan sampingan daripada rawatan yang dijalani serta kelesuan emosi dalam melawan kanser boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit. Namun begitu, penghidap limfoma boleh mengatasi cabaran ini dengan mengamalkan diet seimbang yang merangkumi protein tanpa lemak, bijirin penuh, dan produk tenusu penuh lemak, makan makanan yang dimasak sepenuhnya semasa rawatan dan elakkan pengambilan ubat-ubatan tradisional untuk mencegah kemungkinan intervensi ubat. Apabila melibatkan aktiviti harian, amalan meditasi atau latihan menenangkan diri seperti senaman pernafasan boleh mengurangkan tekanan dan kelesuan pesakit, serta meningkatkan kualiti hidup mereka. Kumpulan sokongan juga boleh menambahbaik hasil rawatan kerana boleh sama-sama membantu menguruskan gejala dan kesan sampingan serta memberikan sokongan emosi dan rohani,” tambah Dr. Hon.
Limfoma adalah musuh yang hebat, tetapi dengan pengesanan awal, rawatan yang tepat, dan sokongan yang utuh, ia boleh dilawan. Ditubuhkan pada tahun 1999, Pusat Perubatan Sunway merupakan hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia.
Ia merupakan hospital pertama di negara ini yang memperoleh tiga akreditasi utama hospital, termasuk Joint Commission International (JCI) Accreditation yang berprestij, Australian Council on Healthcare Standards (ACHS) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH), sekali gus mengukuhkan komitmen untuk memberikan penjagaan kesihatan terbaik kepada pesakitnya.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak info tentang kesihatan Mama Papa dan anak-anak di SINI.