Sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi. Mungkin inilah senario yang berlaku pada juadah tradisional kita apabila kebanyakannya mulai dilupakan dek kerana makanan moden yang mula mendapat tempat di hati generasi muda.
Mama Siti percaya, jika ditanya pada golongan remaja hari ini apakah makanan kegemaran mereka, pasti jawapannya lebih terarah kepada juadah dari luar negara.
Silap hari bulan, makanan identiti kaum di negara ini pun boleh tenggelam dan dipinggirkan kerana kurangnya penggemar. Justeru, apakah nasib makanan tradisional kita suatu hari nanti?
Mungkin sebagai parents, kita wajar ambil peranan ini iaitu memastikan makanan budaya Malaysia tak kira sama ada kaum Melayu, Cina dan India terus menjadi pilihan anak cucu kita suatu hari nanti.
Berdasarkan perkongsian daripada portal Saji.My, jom lihat beberapa makanan tradisional yang Mama Siti kongsikan semakin ditelan zaman:
Makanan Tradisional Melayu
1. Kerabu daun kaduk
Generasi muda pasti asing dengan juadah tradisional yang satu ini, bukan? Kerabu kaduk adalah sangat popular di kalangan masyarakat Melayu.
Ia menggunakan pucuk daun kaduk yang lembut serta dicampur dengan bahan-bahan lain seperti cili, udang kering, kelapa dan sebagain.
Biasanya ia sangat popular menjelang bulan Ramadhan dan dikatakan agak susah ditemui lagi pada masa kini. Namun, ia boleh dijumpai di kawasan perkampungan kecil di pantai timur.
2. Pisang rebus
Paling simple dan ringkas penyediaannya, namun menu pisang rebus tetap enak. Hidangan ini kaya dengan sumber tenaga, gula serta tidak mengandungi kolesterol dan tidak berminyak.
Pisang yang sering dijadikan pisang rebus adalah dari jenis pisang nipah, pisang nangka, pisang abu dan pisang lang. Malah, pisang – pisang tersebut mestilah yang sudah hampir masak dan ia akan direbus sebelum digaul dengan kelapa parut.
Sesuai dijadikan sarapan pagi, kebanyakkan kaum Melayu akan menjadikan hidangan ini sebagai bekal ke ladang atau di laut. Ia tidak mudah basi atau pun rosak.
Makanan Tradisi Masyarakat Cina
1. Kuih bulan
Mama Siti percaya ini amtara pencuci mulut yang masih popular. Namun disebabkan turun temurun menjadikan kuih bulan wajar dikekalkan agar pemanis mulut tradisional ini terus dikekalkan.
Ia boleh didapati menjelang musim perayaan pertengahan musim luruh atau Tahun Baru Cina dan mempunyai rasa yang manis serta boleh dimakan begitu sahaja.
Kuih ini berbentuk bulat dan juga segi empat yang terdiri dari kuning telur itik (masin) serta bahan – bahan lain. Selain itu, kuih bulan mempunyai inti yang pelbagai di sebelah dalamnya.
Intinya terdiri dari pes biji teratai, kacang merah, walnut, bijan, badam, benih labu dan biji tembikai. Terdapat juga inti lain seperti keladi, pandan dan juga durian selari dengan perubahan zaman.
Dahulunya, banyak cerita mitos tentang kuih ini. Masyarakat Cina akan memakan kuih ini bagi memperingati sejarah seorang isteri raja yang telah berkorban demi rakyatnya.
2. Bak Chang
Bak Chang merupakan makanan tradisional Cina yang dibungkus dengan daun khas. Ia terdiri daripada beras pulut serta berintikan kacang tanah.
Kuih ini sangat terkenal semasa Perayaan Duan Wu. Daun yang digunakan untuk membungkusnya pula mempunyai sejarah yang tersendiri.
Pada suatu tika dahulu, Quan Yu yang merupakan seorang raja telah membunuh diri kerana tertekan dengan kejatuhan negaranya. Malah, beliau telah dibuang daerah pada ketika itu.
Quan Yu telah bertindak terjun ke dalam Sungai Mi Lou dan mayatnya tidak dapat ditemui. Rakyat yang begitu sedih dengan peristiwa tersebut telah melemparkan bak chang ke dalam sungai tersebut supaya ikan serta haiwan di dalam sungai tersebut tidak mengganggu mayatnya.
Sejak dari itu, bak chang telah menjadi symbol bagi memperingati peristiwa yang telah berlaku.
Makanan Tradisi Masyarakat India
1. Chittu urundai
Ada sesiapa dikalangan masyarakat India di sini berpengalaman makan Chittu Urundai? Ini kerana kuih tradisi semasa perayaan Deepavali ini semakin dilupakan.
Berbentuk bebola kecil, kuih ini diperbuat menggunakan tepung kacang hijau, kelapa parut, bijan hitam dan jaggery. Ia akan dicelupkan ke dalam campuran tepung beras dan tepung gandum sebelum digoreng dalam minyak sapi.
2. Sippi
Sippi juga merupakan hidangan yang semakin dilupakan kerana tiada penggemar. Namun, penghasilannya amat mudah iaitu diperbuat daripada tepung gandum, gula dan digoreng dalam minyak.
Acuan dan bentuknya sama seperti kuih siput, namun sippi biasanya akan disalut dengan serbuk gula atau bagi yang tidak gemar makanan manis, ianya akan dihidangkan tanpa serbuk gula.
Makanan Tradisi Masyarakat Iban
Bagi masyarakat Iban di Sarawak, kebanyakan mereka masih tetap mengekalkan adat serta budaya masyarakat Iban bagi mengekalkan keharmonian sesama mereka.
Ini termasuklah menghasilkan pelbagai hidangan tradisional kaumnya supaya generasi akan datang dapat meneruskan legasi berkenaan.
1. Manuk pansuh
Hidangan manuk pansuh sememangnya begitu terkenal di negeri Sarawak. Namun, hidangan ini sebenarnya merupakan salah satu makanan tradisi orang Iban.
Manuk dalam bahasa Sarawak merupakan ayam. Ini bermakna hidangan manuk pansuh adalah hidangan berasaskan ayam. Biasanya untuk menghasilkan hidangan ini, ayam tua akan dijadikan sebagai pansuh.
Manuk pansuh ini begitu enak rasanya apabila dimasak di dalam buluh bersama bahan – bahan yang begitu istimewa. Hidangan ini juga sering menjadi lauk serta “tabas” semasa meraikan sesuatu perayaan.
Untuk memberi rasa serta aroma yang lebih wangi, daun ubi akan diletakkan pada bahagian hujung buluh. Wap yang terhasil akan memberi bau yang cukup menyelerakan.
Hidangan ini sering menjadi makanan wajib semasa sambutan perayaan Hari Gawai setiap tahun.
2. Pekasam ensabi
Pekasam ensabi merupakan sayur sawi yang dijerukkan sehingga ia menjadi pekasam. Sayur ini merupakan antara makanan tradisional yang digemari oleh masyarakat Iban.
Kaum Iban menggelar sayur sawi jeruk ini sebagai kasam ensabi. Setelah ianya dijerukkan, sawi ini mempunyai rasa yang masam serta sedikit masin.
Ia sangat enak dimakan bersama nasi putih dan dicampurkan dengan sedikit perahan jus limau. Gabungan jus limau ini akan meningkatkan lagi selera.
Pekasam ensabi ini juga boleh dimasak pedas dan begitu enak rasanya. Hidangan ringkas ini yang telah wujud sejak dahulu lagi kini terus diwarisi generasi muda masyarakat Iban sehingga ke hari ini.
Jika dilihat, kesemua menu asli turun-temurun ini bukan sahaja mempunyai rasa enak, namun khasiat terkandung pada makanan itu sendiri yang lebih penting untuk tubuh anak-anak.
Zaman tanpa teknologi dahulu telah mendorong masyarakat lama menjadi kreatif apabila memanfaatkan pelbagai sumber asli sebagai bahan masakan ketika itu.
Ia sekaligus membuktikan makanan tradisional ini adalah menu sihat bagi semua lapisan generasi dan kaum.
Beras, ayam, sayur-sayuran, bawang, kunyit, halia, dan pelbagai lagi real food ini adalah kunci kesihatan tubuh dalam membentuk immune system badan, makanan bersifat anti-radang dan sebagainya.
Jadi, sangatlah rugi sekiranya juadah turun-temurun termasuklah yang Mama Siti tak list kan di atas tenggelam suatu hari nanti.
Bukan apa, melihat kepada corak pemakanan generasi kini, kebanyakkan mereka mulai beralih kepada juada luar berbentuk fast food, makanan tinggi proses atau bersifat manis.
Malah, bukan suatu yang mengejutkan bila dikatakan ramai anak muda hari ini tidak gemarkan nasi putih berlauk. Mereka boleh menolak makanan ruji negara kita ini untuk tempoh yang lama berbanding orang-orang dahulu yang acapkali kita dengar mesti nak cari nasi putih walaupun sekali setiap hari.
Namun kini, nasi putih berlauk bukan lagi hidangan utama sebab banyak pilihan makanan dari luar menjadi kegemaran. Bukankah ini suatu yang membimbangkan kesihatan serta merugikan budaya? Tepuk dada, tanya selera.
Tambah ilmu pengetahuan mengenai pemakanan yang lain di SINI!