Baby hatch Malaysia pertama kali ditubuhkan pada tahun 2010 untuk mengatasi kes pembuangan bayi yang bukanlah satu perkara asing di negara ini.
Salah satunya adalah pada tempoh hari, 17 Julai, seorang pegawai perubatan melaporkan kejadian pembuangan bayi yang dilakukan oleh seorang wanita untuk menyembunyikan kelahiran tersebut.
Polis bertindak pantas menyiasat dan mencari bayi tersebut. Bayi itu ditemui dalam keadaan masih hidup, dibalut dengan kain dan tuala serta dikerumuni semut di belakang rumah wanita berusia 22 tahun terbabit di sebuah taman perumahan dalam daerah Taiping.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Razlam Ab Hamid berkata polis menerima laporan daripada pegawai perubatan di Hospital Taiping semalam berhubung kejadian wanita itu yang disyaki melahirkan bayi dan membuangnya dengan tujuan menyembunyikan kelahiran.
Razlam berkata bayi itu dikejarkan ke Hospital Taiping dengan ambulans dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dan keadaan bayi itu dilaporkan stabil.
Beliau menyatakan, polis telah membuka siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, iaitu menyembunyikan kelahiran dan pembuangan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun oleh ibu bapa atau penjaga.
“Jika sabit kesalahan, wanita tersebut boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Malaymail.com
Untuk menentang kes pembuangan bayi, dan memberikan peluang memiliki kehidupan yang baik kepada anak-anak yang terpaksa mengalami perkara sebegini, berikut adalah senarai baby hatch Malaysia.
Pembuangan Bayi Dan Baby Hatch Malaysia
Pembuangan Bayi
Mama Papa yang diberi rezeki mempunyai cahaya mata mesti faham susah payah yang dialami untuk mendapatkan seorang anak. Sesetengah pasangan berusaha bertahun-tahun untuk mendapatkan seorang anak, namun tidak dikurniakan rezeki.
Namun dalam susah payah kita untuk mendapatkan zuriat, ada pula yang tergamak membuang anak yang telah dikandungkan selama 9 bulan.
Menurut statistik, sejumlah 256 kes pembuangan bayi direkodkan sepanjang 2020 hingga 2022 berdasarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Perkara ini terjadi disebabkan beberapa punca antaranya:
- Pengaruh media
- Media mempengaruhi ramai orang muda untuk melakukan hubungan sex bebas dan membawa kepada pembuangan bayi.
- Masyarakat sekitar tidak memberi sokongan dan memberi persepsi buruk terhadap remaja hamil yang belum berkahwin.
- Golongan ini memerlukan bimbingan daripada masyarakat supaya mereka berasa selamat dan dilindungi.
- Apabila perkara ini berlaku, mereka berasa malu dan tertekan kerana mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan kepada siapa mereka harus pergi.
- Penyakit sosial
- Status anak tanpa perkahwinan
- Takut
- Tidak malu
- Kurang pendidikan agama
- Rasa ingin tahu yang tinggi
Tidak mengiyakan tindakan mereka, tetapi setiap orang mesti melakukan kesilapan dan layak diberi peluang untuk berubah.
Baby Hatch
Apa Itu Baby Hatch?
Baby hatch merupakan salah satu inisiatif untuk mengatasi kes pembuangan bayi. Baby hatch ialah tempat di mana orang ramai, biasanya ibu kandung, boleh meninggalkan bayi mereka dengan selamat, tanpa memberikan nama, biasanya bayi baru lahir.
Tujuan
Konsep baby hatch bukan hanya pertama kali diperkenalkan di Malaysia tetapi mempunyai sejarahnya tersendiri dengan hanya satu tujuan iaitu untuk menyelamatkan nyawa yang tidak berdosa ini daripada ditinggalkan di tempat yang tidak selamat dan boleh menyebabkan bayi dicederakan, atau yang paling teruk dibiarkan mati.
Walaupun alternatif ini mungkin tidak menghalang sepenuhnya kes pembuangan bayi, namun ia memberi peluang hidup kepada mereka yang diselamatkan.
Senarai Baby Hatch Malaysia
Di Malaysia, baby hatch pertama telah dilancarkan oleh OrphanCare Foundation pada tahun 2010. Pada masa ini, terdapat 3 baby hatch yang dikendalikan oleh yayasan tersebut, 8 baby hatch dengan kerjasama Hospital KPJ seluruh negara, dan 1 baby hatch dengan kerjasama Hospital An-Nur di Bangi.
Sehingga kini, OrphanCare telah menyelamatkan 450 bayi.
Baby Hatch terbaru telah dibuka di Bangi tahun lepas di Hospital Pakar An-Nur: Jalan Gerbang Wawasan 1, Seksyen 15, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.
Yang penting, sekiranya ada kenalan Mama yang mungkin melalui keadaan ini, Mama haruslah nasihat dan berikan sokongan sekadar yang mampu agar mereka tidak melakukan perkara yang mungkin mereka sendiri akan menyesal di kemudian hari.
Dapatkan bantuan sewajarnya daripada pihak yang berkenaan.
Untuk lebih banyak berita viral klik SINI.