Dalam menjalin usaha sama yang bermakna antara sektor awam dan swasta, Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn (THONEH), satu-satunya hospital khusus untuk penjagaan mata di Malaysia, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia telah berjaya menganjurkan Hari Karnival Katarak.
Inisiatif selama dua hari ini menyediakan pembedahan katarak percuma kepada 60 rakyat Malaysia daripada golongan B40.

Karnival ini bertujuan untuk menangani isu kebutaan yang boleh dicegah, terutamanya di kalangan rakyat Malaysia yang berusia, di samping meningkatkan kesedaran awam tentang pentingnya pengesanan awal dan akses saksama kepada penjagaan mata berkualiti untuk semua.
Menurut Kajian Mata Kebangsaan (NES III), hampir 160,000 rakyat Malaysia berusia 50 dan ke atas mengalami masalah penglihatan yang kabur, dengan 8% mengalami kebutaan dan katarak menyumbang kepada lebih 58.6% kes-kes ini.

Sorotan utama inisiatif ini ialah penyertaan daripada Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang di mana pakar kesihatan dari hospital-hospital ini berkerjasama dengan pasukan perubatan Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn untuk menyokong rujukan pesakit dan menjalankan pembedahan.
Pelancaran tersebut telah dirasmikan bersama oleh YBhg Datuk Dr Nor Fariza binti Ngah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal) Kementerian Kesihatan, Dr Faizal bin Mat Arifin, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Yang Amat Mulia Tan Sri Tengku Azlan Ibni Sultan Abu Bakar, Pengerusi, dan YBhg Dato’ Michael Goh, Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn.
Dalam ucapannya, YBhg Datuk Dr Nor Fariza menekankan kepentingan intervensi awal dan beliau juga berkongsi impak usaha kolaboratif dalam menangani cabaran berkaitan penglihatan.
“Penglihatan yang baik bukan sekadar isu kesihatan. Ia adalah pintu kepada peluang dan kebebasan. Karnival Katarak membuktikan apa yang boleh dicapai apabila kepakaran, sikap kemanusiaan dan penyelarasan bergabung. Menurut Pendaftaran Pembedahan Katarak Kebangsaan, lebih daripada 66,000 pembedahan katarak dilakukan di Malaysia pada 2024, dengan purata umur pesakit sekitar 65 tahun. Angka-angka ini mencerminkan komitmen bersama kita dalam memulihkan penglihatan dan memperbaiki kehidupan, terutamanya di kalangan populasi kita yang semakin meningkat tua.”
Katarak berlaku apabila kanta semula jadi mata menjadi keruh, lalu menyebabkan penglihatan kabur dan akhirnya boleh membawa kepada kebutaan. Ia merupakan punca utama masalah penglihatan, terutamanya dalam kalangan warga emas.

Jika tidak dirawat, katarak boleh menjejaskan kualiti hidup dan tahap produktiviti secara ketara, di samping memberi tekanan emosi dan beban kewangan kepada keluarga dan sistem penjagaan kesihatan.
Situasi ini menyerlahkan kepentingan pelaksanaan program khidmat masyarakat yang bersasar seperti Karnival ini.
Menggambarkan misi Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn, Pengerusi Yang Amat Mulia Tan Sri Tengku Azlan berkongsi, “Pemulihan penglihatan bukan sekadar tindakan klinikal – ianya mengembalikan harapan, kebebasan, dan kualiti hidup. Kami berbangga dapat menerajui inisiatif ini dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan rakan-rakan hospital lain. Ini merupakan tanggungjawab kita bersama untuk memastikan tiada rakyat Malaysia mendapat akses kepada penjagaan penglihatan yang sewajarnya.”
YBhg Dato’ Michael Goh, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn, menekankan komitmen berterusan organisasi terhadap penjagaan mata yang saksama. “Hampir empat dekad, hospital kami didedikasikan sepenuhnya kepada kesihatan mata.
Karnival ini adalah sebahagian darlipada visi kami untuk menggabungkan kecemerlangan dalam pembedahan dan khidmat masyarakat, demi memastikan penjagaan berkualiti bukan satu keistimewaan, tetapi hak yang sepatutnya tersedia untuk semua.”

Antara 60 penerima manfaat ialah pesakit yang telah lama menanggung masalah penglihatan akibat kekangan kewangan atau kelewatan mendapatkan rawatan.
Salah seorang daripada penerima manfaat ialah Encik Yap Ching, 80 tahun, pesakit dari Hospital Ampang yang telah mengalami masalah penglihatan pada mata kirinya selama bertahun-tahun.
Dibawa oleh anak perempuannya yang berusia 30 tahun, beliau berkongsi, “Saya tidak mahu menyusahkan anak-anak. Jika saya mendapatkan rawatan lebih awal, mungkin pembedahan ini tidak diperlukan. Saya akan rawat satu mata dahulu, jika semuanya berjalan lancar, barulah saya buat yang satu lagi.”
Anaknya meluahkan rasa syukur dan menggelar Karnival ini sebagai titik perubahan yang membawa harapan baru kepada keluarga mereka.
Karnival ini juga menampilkan pemeriksaan mata percuma serta reruai kesedaran awam tentang pengesanan awal dan pengurusan kesihatan mata.
Merancang masa hadapan, Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn berhasrat untuk terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan bagi memperluaskan lagi inisiatif khidmat masyarakat seperti ini.
Usaha ini sejajar dengan matlamat bersama untuk mengurangkan kebutaan yang boleh dicegah dan memastikan penjagaan mata yang berkualiti dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang.
Untuk maklumat lanjut, lawati https://thoneh.my/.
Untuk ketahui apa lagi acara yang sedang trending sekarang, klik di SINI.