Beberapa minggu ini, kes influenza makin banyak pula. Bukan melibatkan orang dewasa je, tetapi lebih banyak menyerang kanak-kanak dan bayi. Mama Papa mungkin fikir influenza ni sama macam selesema biasa, tapi sebenarnya ia jauh lebih serius.
Kalau seorang dalam rumah dah kena, besar kemungkinan ahli keluarga lain akan turut dijangkiti kalau kita tak cegah dari awal.
Influenza Lebih dari Sekadar Selesema Biasa
Influenza adalah sejenis jangkitan virus yang menyerang sistem pernafasan kita bermula dari hidung, tekak hingga ke paru-paru. Walaupun simptomnya kelihatan macam selesema biasa, influenza sebenarnya boleh menjadi lebih teruk.

Ia boleh menyebabkan komplikasi seperti radang paru-paru (pneumonia), serangan asma yang lebih kerap, atau masalah pernafasan yang serius. Bagi kanak-kanak sistem imun mereka masih lemah, influenza boleh buat mereka dehidrat kerana kurang makan dan minum.
Bagi Mama mengandung, ia bukan saja memberi kesan pada kesihatan Mama tetapi juga boleh menjejaskan kandungan. Manakala untuk warga emas atau pesakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi, risiko komplikasi adalah lebih tinggi.
Simptom Influenza yang Mama Papa Kena Alert
Simptom Influenza pada Dewasa

Bagi orang dewasa, influenza selalunya bermula dengan demam tinggi yang datang secara mengejut, suhu badan boleh naik melebihi 38°C. Pesakit akan rasa lemah seluruh badan, sakit kepala, sengal sendi dan otot yang membuatkan mereka tak bermaya untuk melakukan aktiviti harian.
Batuk kering yang berpanjangan juga kerap berlaku, kadang-kadang disertai rasa pedih di dada. Selain itu, tekak mula terasa sakit dan hidung berair atau tersumbat selepas beberapa hari demam bermula.
Kebanyakan orang dewasa juga mengalami episod menggigil diikuti peluh berlebihan kerana suhu badan yang turun naik. Rasa lesu yang melampau (fatigue) membuatkan mereka sukar untuk bangun dari katil atau menumpukan perhatian.
Simptom Influenza pada Kanak-Kanak

Kanak-kanak pula mungkin menunjukkan simptom yang hampir sama, tetapi selalunya lebih jelas pada perubahan tingkah laku. Mereka boleh jadi terlalu lemah, cepat letih, atau menangis tanpa henti kerana rasa tidak selesa.
Bayi mungkin susah menyusu atau minum air, kerana boleh menyebabkan kurang hidrat dalam badan. Selain demam tinggi, sakit badan, batuk kering dan hidung berair, kanak-kanak lebih cenderung mengalami muntah dan cirit-birit berbanding orang dewasa.
Gejala ini boleh membuatkan keadaan mereka bertambah teruk jika tidak dipantau dengan rapi. Oleh itu, Mama Papa perlu lebih berhati-hati kerana influenza pada anak kecil boleh membawa kepada komplikasi serius dengan cepat.
Apa Punca Penularan Kes Influenza?
Virus influenza boleh merebak dengan sangat cepat. Apabila seseorang yang dijangkiti batuk atau bersin, titisan kecil yang mengandungi virus akan terapung di udara dan disedut oleh orang sekeliling.
Keadaan ini jadi lebih berisiko apabila Mama atau Papa di rumah sedang mengalami selsema dan demam tanpa menyedari bahawa ia sebenarnya adalah influenza.

Selain itu, virus ni boleh hidup di permukaan seperti meja, tombol pintu, atau mainan anak. Bila kita sentuh permukaan tersebut kemudian pegang mata, hidung atau mulut tanpa basuh tangan, risiko untuk dijangkiti sangat tinggi.
Disebabkan cara penularannya begitu mudah, taska, sekolah, pejabat atau pusat membeli-belah jadi tempat paling cepat merebak. Sebab tu, Mama Papa kena sentiasa ingatkan anak-anak tentang kebersihan tangan dan memakai mask untuk lebih selamat.
Apa yang Mama Papa Perlu Buat Bila Kena Influenza?

Kalau Mama atau Papa sendiri yang dijangkiti influenza, jangan panik ya. Apa yang penting, perlu rehat secukupnya supaya badan dapat lawan semula virus tu.
Pastikan juga minum air dengan banyak untuk kekal hidrat, sebab bila demam tinggi dan berpeluh, badan mudah kehilangan cecair.
Selain tu, seeloknya kuarantin sementara waktu untuk elakkan terlalu dekat dengan anak-anak atau ahli keluarga lain supaya virus tak mudah merebak.
Kalau boleh, pakai mask bila berinteraksi dengan mereka dan kerap basuh tangan. Langkah kecil macam ni nampak remeh, tapi sangat membantu kurangkan risiko satu rumah dijangkiti sama.

Paling penting, jangan hantar anak yang sakit ke sekolah atau taska, kerana mereka boleh menjangkiti kawan yang lain. Cuba asingkan ahli keluarga yang sakit daripada yang sihat, sekurang-kurangnya sehingga demam reda.
Pantau sentiasa kalau ada tanda bahaya seperti sukar bernafas, anak terlalu lemah, cirit- birit berpanjangan dan muntah yang kerap, segera bawa ke hospital.
Apa Langkah Pencegahan untuk Lindungi Keluarga?

Mama Papa boleh mengambil beberapa langkah penting untuk melindungi anak-anak dan diri sendiri:
- Ambil vaksin influenza – boleh lindungi anak lebih 6 bulan dan juga kita yang dewasa.
- Jaga kebersihan – basuh tangan kerap, guna tisu bila batuk/bersin, jangan kongsi cawan atau sudu.
- Pantau gejala anak – kalau demam tak kebah, susah bernafas, cepat bawa jumpa doktor.
- Rehat secukupnya – jangan hantar anak ke taska atau sekolah bila mereka tengah sakit.
Mama Papa, influenza bukan selesema biasa yang boleh kita biarkan reda sendiri. Ia penyakit serius yang boleh membawa komplikasi teruk jika tak dirawat dengan betul.
Jadi jangan ambil mudah. Lindungi keluarga kita dengan langkah pencegahan, terutama melalui vaksinasi dan kebersihan harian.
Dengan usaha bersama, kita boleh kurangkan risiko dan pastikan mereka membesar sihat, ceria dan selamat. Betullah kata orang, mencegah itu lebih baik daripada merawat
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Terokai lebih banyak panduan dan ilmu keibubaapn untuk Mama Papa di SINI.