Demensia bukan sekadar hilang ingatan—ia adalah mengenai seseorang yang perlahan-lahan kehilangan hakikat siapa diri mereka yang sebenar.
Di Malaysia, epidemik senyap ini semakin berkembang tanpa disedari oleh ramai, didorong oleh populasi yang semakin menua dan peningkatan penyakit kronikseperti diabetes dan tekanan darah tinggi.
Di peringkat global, demensia menjejaskan lebih daripada 55 juta orang, dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan jumlah ini akan mencapai 78 juta menjelang 2030i.
Malaysia, di mana hampir 16% rakyatnya berusia 60 tahun ke atasii, tidak terkecuali. Kajian tempatan menyatakan lebih 200,000 rakyat Malaysia hidup dengan demensiaiii, dan angka ini mungkin lebih rendah daripada yang sebenar disebabkan oleh tahap kesedaran yang rendah dan pemeriksaan yang terhad.

Demensia vs. Penuaan Normal
Demensia sering bermula secara halus – seperti terlupa nama, mengulang-ulang cerita, tersalah letak barang.
Dr. Mohamad Imran bin Idris, Pakar Neurologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway meneroka aspek penjagaan demensia yang sering diabaikan dan tanda-tandanya.
“Apabila seseorang tidak lagi dapat melakukan tugas yang dahulunya mudah dibuat – seperti memasak, menguruskan kewangan, berbual – ketika itulah kita mula mengesyaki pesakit itu menghidapi demensia,” katanya.
Dr. Imran menjelaskan bahawa walaupun ingatan yang semakin pudar dan ketangkasan mental semakin berkurangan mungkin disebabkan oleh usia, demensia adalah berbeza.
“Ciri utama demensia bukan sekadar lupa,” katanya. “Ia adalah apabila kemahiran berfikir mengganggu kehidupan seharian – seperti bahasa, pertimbangan, malah mengenali wajah yang biasa dilihat. Jika ini berlaku, inilah masanya untuk mendapatkan bantuan.”
Kaitan Vaskular Dengan Demensia, Mengapa Gaya Hidup Itu Penting

Dr Imran juga menjelaskan kekeliruan yang biasa berlaku: penyakit Alzheimer hanyalah satu jenis demensia.
“Demensia adalah istilah umum. Alzheimer ialah penyakit yang paling dikenali, tetapi di Malaysia, demensia vaskular yang disebabkan oleh aliran darah yang terjejas ke otak, seringkali terjadi selepas strok atau disebabkan oleh keadaan kronik seperti tekanan darah tinggi, juga sangat biasa.”
Keadaan seperti hipertensi, kolesterol tinggi, merokok dan diabetes merupakan penyumbang utama kepada demensia vaskular, dan semuanya biasa di kalangan rakyat Malaysia.
“Secara teknikal, usia adalah faktor risiko yang tidak dapat kita kawal,” kata Dr Imran. “Tetapi risiko vaskular boleh diuruskan. Anda boleh mengurangkan risiko anda dengan menguruskan tekanan darah, kolesterol, dan paras gula dalam darah anda dari awal.”
Mesej inilah yang tidak sampai kepada cukup ramai orang. Demensia sering dianggap sebagai sekadar proses penuaan atau kemurungan, tetapi puncanya mungkin bersifat perubatan—malah pada orang dewasa yang lebih muda.
“Ia bukan sekadar dihidapi oleh nenek atau datuk sahaja. Kami telah melihat orang berusia 40-an, dan juga 30-an, menunjukkan tanda-tanda awal demensia selepas mengalami strok atau bertahun-tahun menghidap penyakit kronik yang tidak diuruskan,” kongsi Dr. Imran.
Kerosakan berlaku secara senyap selama beberapa dekad; apabila gejala muncul, otak mungkin sudah terjejas dengan teruk.
Tidur, Kehidupan Sosial—dan Permainan Sudoku
Walaupun diet dan senaman diketahui sebagai pendorong fungsi otak, tidur adalah faktor yang kerap kali diabaikan. “Orang ramai memandang tinggi amalan bekerja lewat, bertahan dengan rehat yang minimum. Tetapi kurang tidur menjejaskan kesihatan otak lebih daripada yang kita sedari,” kata Dr Imran.
Bersosial juga memainkan peranan yang besar. “Berbual dengan rakan-rakan, menyertai perbualan – interaksi spontan dan tidak terduga ini mencabar otak dan membantu mengekalkan fungsi kognitif,” jelasnya.
Walaupun permainan digital yang berulang boleh terasa seperti mengasah keupayaan otak, namun impak jangka panjangnya tidak signifikan. “Permainan seperti Candy Crush mudah diramal dengan cepatnya. Otak anda memerlukan sesuatu yang baharu.”

Peranan Keluarga dan Penjaga
Tanggungjawab menjaga pesakit demensia biasanya terletak pada keluarga. Ia memenatkan dari segi emosi dan fizikal, dan sokongan adalah terhad.
“Kita berisiko mempunyai dua orang yang tidak sihat dan bukannya satu – iaitu pesakit dan penjaga,” Dr Imran berkata. Struktur dan rutin boleh membantu. “Jika penghidap demensia mempunyai suatu rutin – seperti pergi ke taman pada hari Isnin, melawat anak-anak pada hari Rabu – ia membantu mereka rasa lebih stabil.”
Pusat penjagaan harian khas untuk penjagaan pesakit demensia turut menawarkan model berskala kecil yang berpotensi. Mereka menyediakan persekitaran yang selamat dan memberangsangkan untuk pesakit serta peluang rehat untuk penjaga.
Dr Imran juga berkongsi kisah menyayat hati tentang pelakon Gene Hackman, yang dilaporkan hidup dengan Alzheimer yang serius. Apabila isterinya meninggal dunia, Hackman, yang tidak dapat memproses kejadian itu, terus berada dalam keadaan keliru, masih menjaga isterinya.
“Penghidap demensia hanya hidup di masa kini,” kata Dr Imran. “Mereka tidak dapat mengakses masa lalu atau merancang masa hadapan. Ini boleh menjadi sangat menakutkan, lebih-lebih lagi jika mereka terasing.” Pesannya: tunjukkan empati. “Mereka mungkin tidak ingat nama anda tetapi mereka dapat merasai kebaikan anda.”
Masa Depan yang Penuh Harapan
Walaupun demensia telah lama dilihat sebagai diagnosis yang tidak ada harapan, sains kini semakin maju. “Dua tahun lalu, saya mungkin telah menyatakan tiada apa yang boleh dilakukan,” kata Dr. Imran. “Tetapi kini kita mempunyai ubat-ubatan yang dapat memperlambatkan perkembangan demensia. Kita kini memasuki era rawatan yang baharu.”
Alat saringan, dari penilaian kognitif digital hingga ujian darah yang mengesan perubahan awal pada otak, semakin mudah diakses. Namun, Dr Imran menekankan perlunya pertimbangan teliti bagi ujian genetik kecuali atas nasihat perubatan.
Beliau menasihatkan supaya mula memberi perhatian serius kepada kesihatan otak pada usia 40-an dan 50-an.
“Kawal tekanan darah anda, kekal aktif dalam aktiviti sosial, tidur dengan nyenyak, dan makan makanan yang seimbang. Ini bukan sekadar tabiat yang baik – ia adalah pelaburan untuk jangka panjang bagi kesihatan kognitif anda,” katanya. “Jika kita menjaga jantung kita untuk mengelakkan serangan jantung, mengapa kita tidak melakukan perkara yang sama untuk otak kita?”

Ini selaras dengan pendapat Dr Imran bahawa demensia bukan lagi masalah golongan warga emas semata-mata dan mengabaikannya tidak akan membuatkan ia hilang.
Rujukan:
i World Health Organization. Dementia. WHO Fact Sheets. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/dementia
ii Ageing Phenomenon : Malaysia Towards 2030 – Malaysia Population Research Hub
iii Department of Statistics Malaysia (DOSM), Population and Housing Census 2020.