Kadangkala, sebagai ibu bapa sukar untuk kita bersabar dengan karenah anak-anak tidak kira besar atau kecil. Corak kehidupan masa kini menambahkan lagi bebanan yang ditanggung oleh ibu bapa. Anak-anak sering meminta perhatian, dan ada pula yang tidak tahu berdikari walau sedikit pun. Mereka semakin pandai merungut, mengamuk tidak tentu pasal, membuat kacau atau membuat helah yang mereka tidak boleh melakukan sesuatu hanya untuk mendapatkan perhatian. Hingga ibu bapa kadang-kadang merasakan tidak ada apa-apa lagi yang boleh diberikan. Justeru itu, bagaimana untuk membuatkan mereka mendengar kata tanpa kita perlu menjerit dan mengugut?
- Jangan tergesa-gesa dalam memberi arahan. Kadangkala lagi banyak menggesa, keadaan menjadi lebih buruk. Jika kita mahu mereka melakukan sesuatu, kita perlu meluangkan sedikit masa hanya untuk memberitahu perkara itu. Hampirilah anak itu, pandang kepadanya dengan pandangan yang mesra dan katakan apa yang kita mahu dia lakukan. Anda boleh menyentuh bahunya dengan lembut ketika membuat permintaan itu. Kadangkala, anak yang tidak mendengar kata ini sengaja bersikap demikian untuk meguji kesabaran kita.
- Berlembut dengan nada kasih sayang. Anak-anak seperti ini bersikap keras di luar, tetapi sebenarnya mereka masih lembut di dalam. Tawanlah hatinya. Untuk itu, kita perlu gunakan cara yang lembut. Gunakan kata-kata pujukan dan rayuan. Tidak salah ibu bapa jadi manja tiba-tiba terhadap anak mereka.
- Tunggu sebentar di sisinya sehingga dia bangun untuk melakukan apa yang disuruh. Kehadiran kita di sisinya lebih meyakinkan dia bahawa kita benar-benar serius mahu dia melakukan suruhan tersebut. Ia lebih berkesan daripada mengulang-ulang arahan yang sama dari jauh.
- Berikan komen yang positif apabila dia bangun untuk melakukan apa yang disuruh. Sewaktu dia sedang melakukannya, datang dan jenguk dia serta berikan terus komen-komen positif. Jangan tunggu sehingga dia selesai, baru anda hendak berikan komen yang positif. Anak-anak seperti ini perlu didorong dengan lebih kuat daripada anak yang sedia mendengar kata-kata ibu bapa mereka.
- Tetapi jika kerja itu tidak dilakukan, hampiri anak tersebut dan bincangkan tentang apa yang kita mahu dia lakukan. Terus awasi dia sehingga dia selesai melaksanakannya.
- Kita boleh janjikan sesuatu yang menarik kepadanya sekiranya dia melakukan apa yang disuruh. Contohnya membawa dia bersiar-siar di hujung minggu nanti sekiranya dia bersikap rajin dan melakukan apa yang disuruh.
- Selalu bacakan kisah-kisah moral mengenai anak yang selalu menuruti kedua ibu bapanya dan balasan yang akan berikan. Kisah-kisah semasa boleh diceritakan. Contoh di kalangan saudara mara juga adalah baik untuk disebutkan kepada anak-anak. Umpamanya, anak yang seringkali berjaya di dalam hidup mereka kerana ketaatan mereka kepada ibu bapa.
Sumber: Internet