Perceraian bukanlah pengakhiran hubungan sepenuhnya, terutamanya bila ada anak yang menjadi pengikat. Walaupun sudah tidak lagi menjadi pasangan suami isteri, Mama Papa tetap akan jadi ibu bapa kepada anak-anak sampai bila-bila. Sebab itu, konsep co-parenting sangat penting iaitu bekerjasama mendidik dan membesarkan anak walaupun sudah berpisah.
Namun, kita tahu bukan mudah nak kekalkan hubungan yang harmoni selepas perceraian. Perasaan marah, kecewa atau sakit hati kadang-kadang boleh mengganggu komunikasi. Tapi demi anak, kedua-dua pihak perlu cuba letakkan ego ke tepi dan utamakan kesejahteraan mereka.
Cara-cara untuk Mama Papa Jadi Co-parenting
1. Letakkan Anak Sebagai Keutamaan

Dalam apa jua keadaan, anak adalah insan yang paling terkesan dengan perceraian. Mereka mungkin keliru, sedih, atau berasa kehilangan. Sebab itu, Mama Papa perlu sentiasa ingat bahawa perceraian adalah keputusan orang dewasa, bukan salah anak.
Jangan sesekali biarkan anak merasa bersalah atau fikir mereka punca perpisahan. Apabila anak diletakkan sebagai keutamaan, setiap tindakan dan keputusan akan lebih berpandukan kasih sayang dan tanggungjawab. Contohnya, jika ada rasa tidak puas hati antara Mama Papa, cuba kawal emosi di hadapan anak.
Anak lebih perlukan ketenangan dan jaminan bahawa mereka tetap disayangi sepenuh hati, walaupun keluarga kini berbeza daripada dahulu.
2. Belajar Komunikasi dengan Matang

Komunikasi adalah asas utama dalam co-parenting. Ramai bekas pasangan masih bergelut untuk berbincang kerana bayangan konflik lama. Tetapi demi anak, komunikasi perlu ditingkatkan. Cuba gunakan bahasa yang neutral, ringkas, dan jelas.
Elakkan kata-kata sinis, ugutan, atau membuka luka lama kerana ia hanya akan menyukarkan lagi kerjasama. Sekiranya terlalu sukar untuk berbincang bersemuka, gunakan medium lain seperti hantar mesej atau call.
Dengan cara ini, mesej dapat disampaikan tanpa gangguan emosi. Fokus hanya pada hal berkaitan anak, seperti jadual persekolahan, aktiviti harian, atau hal kesihatan.
Ingat, komunikasi matang bukan sahaja memudahkan urusan, malah ia juga mengajar anak bahawa konflik boleh diuruskan dengan cara yang tenang dan profesional.
3. Hormati Peranan Masing-Masing

Walaupun sudah berpisah, hakikatnya anak tetap perlukan kedua-dua Mama Papa dalam hidup mereka. Hubungan anak dengan Mama tak sama dengan hubungan mereka dengan Papa. Setiap pihak memainkan peranan penting dan saling melengkapi dalam perkembangan emosi serta mental anak.
Hormatilah masa dan ruang pasangan lama bersama anak. Jangan gunakan anak untuk ‘mencuri masa’ atau melanggar perjanjian yang telah dipersetujui. Selain itu, elakkan juga daripada merendah-rendahkan bekas pasangan di hadapan anak.
Walaupun hubungan antara Mama dan Papa tidak baik, anak tetap berhak melihat Mama Papa mereka sebagai figura yang boleh mereka hormati. Dengan cara ini, anak akan membesar dengan lebih seimbang tanpa terperangkap dalam konflik yang berpanjangan.
4. Wujudkan Peraturan yang Konsisten

Salah satu punca anak keliru selepas perceraian ialah bila aturan di rumah Mama dan rumah Papa sangat berbeza. Contohnya, di rumah Mama mereka boleh tidur lewat, tetapi di rumah Papa ada jadual ketat. Situasi ini bukan sahaja membuatkan anak bingung, malah boleh menimbulkan rasa keliru tentang disiplin.
Untuk mengelakkan perkara ini, Mama dan Papa perlu berbincang dan menetapkan beberapa garis panduan asas yang sama. Antaranya ialah waktu tidur, penggunaan gajet, jadual belajar, dan aturan disiplin yang sama.
Bila anak melihat aturan tetap dalam kedua-dua rumah, mereka akan rasa lebih stabil dan selamat. Malah, ini juga membantu mereka membesar dengan lebih teratur walaupun tinggal dalam dua persekitaran berbeza.
5. Elakkan Jadikan Anak Sebagai “Perantara”

Tanpa sedar ada Mama Papa yang menjadikan anak sebagai orang tengah untuk menyampaikan mesej. Contohnya, “Cakap kat Papa bayar yuran sekolah minggu depan” atau “Beritahu Mama jangan lupa beli uniform baru.”
Walaupun nampak kecil, ini sebenarnya memberi beban yang besar kepada anak. Mereka akan rasa seolah-olah terperangkap antara Mama dan Papa, dan boleh menimbulkan tekanan emosi.
Sebaliknya, cuba untuk berhubung secara terus walaupun ia mungkin tidak selesa pada awalnya. Ingat, co-parenting memerlukan komunikasi yang matang. Biarlah anak hanya fokus menjadi anak, bukan menjadi utusan atau orang tengah dalam hubungan orang dewasa.
6. Kawal Emosi dan Bersikap Profesional

Co-parenting memang menguji kesabaran. Ada masa emosi lama kembali, terutama bila berlaku perbezaan pendapat atau isu baru timbul. Tetapi dalam keadaan ini, penting untuk Mama dan Papa belajar kawal diri.
Anggap urusan ini lebih kepada ‘kerjasama profesional’ demi anak, bukannya sambungan konflik peribadi yang tak pernah selesai.Mengawal emosi bukan mudah, tetapi ia sangat penting untuk menunjukkan teladan baik kepada anak.
Mereka akan belajar bahawa walaupun Mama dan Papa tidak lagi bersama, tetapi kedua-duanya tetap mampu bekerjasama dengan baik. Ini memberikan mesej positif yang mendalam dalam perkembangan emosi mereka.
Menjadi Co-parenting selepas bercerai memang mencabar tetapi ia juga bukti bahawa kasih sayang seorang Mama dan Papa itu tidak pernah terputus.
Dengan komunikasi yang matang, saling menghormati, dan bersama-sama dalam mendidik anak-anak, keharmonian masih boleh dicapai walaupun tidak lagi tinggal sebumbung.
Anak lebih bahagia bila mereka tahu Mama dan Papa tetap sayang mereka sepenuh hati, walaupun jalan hidup keluarganya sudah berbeza.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak info tentang kesihatan Mama Papa dan anak-anak di SINI.