Maulidur Rasul merupakan hari yang istimewa dalam kalendar Islam, di mana umat Islam di seluruh dunia memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Inilah peluang yang baik untuk memperkenalkan sejarah dan nilai-nilai yang dibawa oleh baginda kepada anak-anak. Mama Papa tak perlu ambil masa lama pun, boleh lakukan sambil menunggu waktu solat Isyak. Aktiviti ringkas tapi penuh makna!
Cara Menceritakan Kisah Maulidur Rasul kepada Anak-Anak
1. Gunakan Bahasa yang Mudah Difahami
Kanak-kanak mungkin sukar untuk memahami istilah atau konsep yang terlalu berat, jadi penting untuk menyampaikan cerita dengan cara yang mudah dan menarik.
Mama Papa boleh menggunakan buku cerita bergambar atau animasi ringkas tentang kehidupan Nabi Muhammad SAW.
2. Fokus kepada Akhlak dan Teladan Baginda
Anak-anak lebih mudah memahami kisah melalui teladan. Ceritakan kepada mereka bagaimana Nabi Muhammad SAW terkenal dengan sifat amanah, sabar, lemah lembut, dan suka membantu orang lain.
Ini boleh menggalakkan anak-anak meniru nilai-nilai murni tersebut dalam kehidupan mereka sendiri.
3. Kaitkan dengan Aktiviti Seharian
Salah satu cara terbaik untuk memperkenalkan Nabi Muhammad SAW adalah dengan mengaitkan kisah baginda dengan aktiviti harian anak-anak.
Sebagai contoh, Mama Papa boleh berkata, “Nabi Muhammad SAW selalu berkata benar, jadi kita juga mesti bercakap benar,” atau “Nabi Muhammad SAW sangat baik hati kepada orang lain, jadi kita mesti tolong kawan-kawan kita.”
Biografi Ringkas Rasulullah ﷺ
Meriahkan dengan Kuiz Maulidur Rasul
Selepas menceritakan kisah Nabi Muhammad SAW, Mama Papa boleh mengadakan kuiz untuk mengukuhkan apa yang telah dipelajari oleh anak-anak.
Kuiz ini juga boleh menjadi aktiviti yang menyeronokkan dan membantu anak-anak mengingati fakta penting tentang baginda.
Contoh Soalan Kuiz Maulidur Rasul:
1. Bilakah Nabi Muhammad SAW dilahirkan?
Jawapan: Pada 12 Rabiulawal
2. Di mana Nabi Muhammad SAW dilahirkan?
Jawapan: Di Mekah
3. Apakah nama ibu dan ayah Nabi Muhammad SAW?
Jawapan: Ibu baginda bernama Aminah, dan ayah baginda bernama Abdullah.
4. Siapakah ibu susuan Nabi Muhammad SAW?
Jawapan: Halimatus Saadiah
5. Apakah gelaran yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW kerana kejujurannya?
Jawapan: Al-Amin (yang dipercayai)
6. Pada umur berapakah Nabi Muhammad SAW wafat?
Jawapan: 63 tahun.
Menceritakan kisah Nabi Muhammad SAW kepada anak-anak bukan sahaja memberi mereka pengetahuan agama, tetapi juga mengajar mereka untuk mencontohi akhlak dan budi pekerti baginda serta menjadi contoh dalam kehidupan.
Walaupun anak-anak sudah belajar di sekolah, tak ada salahnya jika Mama Papa turut berkongsi di rumah. Ia boleh jadi lebih santai dan menyeronokkan, sambil mengeratkan hubungan keluarga!
Semoga dengan usaha ini, anak-anak akan lebih memahami dan menghargai warisan Islam serta mengamalkan nilai-nilai mulia yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan mereka.
Ketahui pelbagai doa dan amal ibadah yang Mama Papa boleh amalkan bersama. Klik di SINI.