SEBELUM BERI ORANG BERHUTANG
- Pastikan Kita Cukup Kenal Orang Tersebut
Hatta saudara sendiri atau kawan baik sekali pun. Kenal di sini bermaksud kita tahu attitude dia terhadap hutang. Kalau meminjam dengan orang, adakah dia cepat bayar balik, atau sebaliknya. Tanya kawan-kawan lain yang pernah berurusan dengan dia. Sekiranya dia memang jenis pinjam dan bayar balik hutang orang, maka boleh kita hulurkan duit untuk membantu. Tetapi kalau kita tahu dia ni jenis liat bayar hutang, maka fikirkanlah idea yang sesuai untuk menolak permintaan tersebut.
- Beri Pinjam Jumlah Wang Yang Sanggup Kita Hilang
Maksudnya duit tersebut kita tak kisah pun kalau dia tak bayar balik. Sebagai contoh ada kawan kita nak pinjam RM3,000. Kita rasa jumlah tersebut agak tinggi juga sebab kita pun bukanlah pegawai yang bergaji tinggi. Maka, kita boleh cakap begini : “Aku kalau RM 3,000 tu tak ada la, tapi kalau RM500 boleh la nak kasi pinjam.”
- Tahu Tujuan Meminjam
Kalau yang meminjam itu tujuannya memang untuk kecemasan seperti sakit dan sebagainya, maka kita boleh pertimbangkan untuk membantu. Pastikan mereka tidak menipu. Sebab ada yang datang nak pinjam duit sebab katanya anak sakit masuk hospital atau kereta rosak, tetapi bila dapat duit rupanya duit tersebut digunakan untuk masuk skim cepat lingkup.
- Syarat Bayar Semula Yang Jelas
Memang kita beri pinjam secara tak formal, tapi kita perlu praktiskan macam mana bank buat. Beri cadangan kepada si peminjam bagaimana hendak bayar balik semula. Sediakan plan installment yang mampu mereka berikan komitmen. Kalau dia pinjam RM 3,000, takkan bulan depan kita dah suruh dia bayar balik semua, walaupun dia cakap boleh bayar, tetapi janji tu hanya sekadar pada mulut.
“Bulan depan aku bayar balik, janji.”
Baik kita berikan cadangan begini :
“Aku boleh bagi pinjam RM 3,000, setiap bulan bayar balik RM250 selama setahun. Boleh?”
- Pastikan Bertulis
Ini yang Islam anjurkan. Ayat mengenai hutang merupakan ayat yang paling panjang di dalam Al-Quran. Allah menyuruh kita menulis jumlah hutang tersebut. Bertulis. Bukan sekadar ingat di kepala sahaja. Takut kita lupa jumlahnya di kemudian hari dan sebagai bukti transaksi hutang tersebut telah berlaku.
- Sediakan Backup Plan Awal-Awal
Sekiranya orang yang meminjam tersebut gagal membuat pembayaran balik hutang mereka, sediakan backup plan. Kalau setakat RM50, bolehlah kita halalkan, tapi kalau dah RM10,000? Kita suruh dia bayar balik, memang susah betul dia nak bayar. Daripada asyik bergaduh dan bermasam muka, baik kita cadangkan solusi yang lebih baik.
Contohnya kita boleh suruh dia buat kerja tertentu dengan bayaran gaji setiap bulan. Gaji tersebut kita tolak dari jumlah hutang yang dia pinjam sehinggalah selesai.
Contohnya kalau kita ada kedai makan:
“Aku nak kau kerja ngan aku setiap hari lepas office hour sampai pukul 10 malam. Sebulan aku bayar RM 500. Duit gaji tu aku tak bayar, potong duit hutang. Kontrak 20 bulan untuk cukupkan hutang RM 10,000 tu”.
TUNTUT HAK ANDA GUNA MAHKAMAH!
Ini merupakan saranan daripada seorang peguam. Ramai yang tidak tahu anda boleh menuntut hutang walaupun tiada bukti menyatakan si polan-polan berhutang dengan anda. Tapi ada syaratnya. Baca di bawah:
Kes yang selalu di tanya kepada saya adalah berkaitan tuntutan hutang yang jumlahnya kurang dari RM5000.00 Kebiasaannya hutang antara kawan-kawan dan saudara mara. Kadang bagi tangan saja, tiada bukti apa-apa, mungkin ada saksi mata yang nampak serahan duit berlaku.
Ok, jika anda individu (syarikat lain), yang ingin menuntut hutang kurang dari jumlah RM5,000 secara saman mahkamah, anda tidak boleh menggunakan perkhidmatan peguam. Anda boleh saman dia secara persendirian.
CARANYA:
- Pergilah ke mana-mana Mahkamah Majistret terdekat dengan rumah anda.
- Cari kaunter pertanyaan mahkamah
- Selepas itu baru tanya dia “Cik adik, kat mana saya boleh dapatkan borang SAMAN TUNTUTAN KECIL?”
- Selepas itu isi borang itu dan ikutlah arahan pada borang itu.
- Selepas itu daftarkan borang dengan membayar RM 30
- Selepas itu poskan salinan saman itu pada sepupu anda tersebut (jangan viral di Facebook pula). Pos daftar tahu, untuk membuktikan saman telah diposkan
- Selepas itu tunggu tarikh perbicaraan.
- Selepas itu masa hari perbicaraan, cakap depan Majistret macam ini:
- “Dengan izin tuan, saya dah failkan saman tuntutan kecil ini pada sekian-sekian hari bulan dan saman tu telah diposkan kepada defendan pada sekian-sekian hari bulan. Hari ni, defendan tak hadir maka saya memohon penghakiman ke atas defendan”
- Majistret sebelum bagi penghakiman akan minta pengesahan kad pengenalan, bank-in slip atau akuan pemberian wang secara serahan tangan.
- Lepas tu Majistret akan jatuhkan tukul besi kata okay, PENGHAKIMAN INGKAR DIBERIKAN!
- Kalau defendan hadir pun lagi cantik, Majistret akan sekolahkan dia dulu sebelum ketuk tukul itu atas kepala dia
Sumber: Buzze Azam