Salah satu fasa besar dalam perjalanan membesarkan anak ialah ajar anak guna tandas. Ramai Mama Papa rasa teruja, tapi dalam masa sama risau dan takut terlalu awal, takut terlalu lambat. Kadang-kadang bila tengok anak orang lain dah pandai ke tandas sendiri, terus rasa gelisah, “Eh, anak aku belum pandai guna tandas sendiri lagi takpe ke ni?”.
Hakikatnya Mama, setiap anak membesar ikut kadar masing-masing. Ada yang cepat, ada yang ambil masa. Jadi, soalan sebenar bukanlah “umur berapa sesuai?”, tapi “bila anak saya bersedia?”.
Berapa Umur yang Sesuai untuk Mulakan Toilet Training?

Secara umum, kebanyakan kanak-kanak mula menunjukkan tanda kesediaan untuk toilet training antara umur 18 bulan hingga 3 tahun. Ada yang lebih cepat, ada yang sedikit lewat, dan kedua-duanya normal.
Mama jangan sesekali membandingkan anak dengan anak orang lain kerana perkembangan setiap kanak-kanak adalah unik. Ada anak yang nampak matang dari segi fizikal tapi belum cukup bersedia dari segi emosi, manakala ada juga yang lebih cepat faham walaupun masih kecil.
Apa yang penting, Mama perhatikan tanda-tanda yang muncul pada anak, bukan hanya berpandukan umur semata-mata.
Tanda-Tanda Anak Dah Bersedia

Tanda-tanda yang menunjukkan anak bersedia jauh lebih penting untuk diperhatikan daripada melihat umur semata-mata. Misalnya, bila anak mula boleh tahan kencing lebih lama sehingga lampinnya kering selama dua hingga tiga jam, itu menunjukkan pundi kencingnya sudah matang.

Begitu juga bila anak mula pandai memberitahu dengan perkataan mudah atau bahasa tubuh bila dia mahu membuang air, atau menunjukkan rasa tidak selesa bila lampinnya kotor. Ada juga anak yang sudah boleh menanggalkan seluar sendiri atau sekurang-kurangnya mencuba untuk berbuat demikian.
Antara tanda lain yang selalu Mama akan perasan bila anak suka meniru Mama atau Papa pergi ke tandas, duduk di potty, atau cuba menekan butang flush. Semua ini menunjukkan anak mula memahami fungsi tandas dan bersedia untuk mencuba.
Cara-cara untuk Mama Mulakan Toilet Training

- Kenalkan potty atau seat reducer
Pilih potty kecil yang selesa atau gunakan seat reducer yang diletakkan di atas mangkuk tandas. Biar anak biasa tengok, sentuh, atau duduk walaupun belum buang air. - Buat rutin tetap
Cuba bawa anak ke tandas pada waktu tertentu contohnya, selepas bangun tidur, selepas makan, atau sebelum tidur. Bila konsisten, anak akan mula faham pattern badan sendiri. - Berikan pujian
Setiap kali anak berjaya walaupun hanya duduk di potty tanpa buang air, Mama dekat tepi berikan kata-kata semangat atau high-five. Elakkan beri tekanan berlebihan. - Elakkan marah bila “terlepas”
Bocor atau ter-accident adalah sebahagian daripada proses belajar. Kalau anak kena marah, dia boleh jadi takut atau tidak mahu cuba lagi. Lebih baik Mama tenangkan dan katakan “tak apa, nanti cuba lagi ya.” - Pilih masa sesuai
Jangan mulakan latihan ketika anak baru masuk taska, baru dapat adik, atau tengah sakit. Anak mungkin mudah stress dan menolak.
Realiti Proses Toilet Training

Ajar anak guna tandas sendiri bukan proses sehari dua. Ada anak yang cepat, dalam beberapa minggu sudah boleh ke tandas sendiri, tapi ada juga yang mengambil masa beberapa bulan.
Sesetengah anak mungkin sudah boleh kencing di potty tapi masih memerlukan lampin untuk buang air besar. Ada juga yang beberapa kali cuba tapi masih gagal. Semua ini normal, dan yang penting Mama perlu bersabar serta konsisten dengan rutin.
Kadangkala Mama akan berdepan cabaran seperti anak takut duduk potty, suka bangun sebelum selesai, atau menolak tandas sama sekali. Dalam situasi begini, jangan paksa anak. Cuba berhenti seketika, beri ruang, dan cuba semula bila anak lebih tenang. Tekanan yang berlebihan hanya akan melambatkan proses.

Mama tidak perlu terlalu stres atau membandingkan anak dengan orang lain, kerana setiap anak ada waktunya sendiri. Jangan risau kalau anak lambat sedikit, kerana setiap langkah kecil itu tetap membawa mereka ke arah kemahiran berdikari yang lebih besar.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak info tentang kesihatan Mama Papa dan anak-anak di SINI.
