Kalau sayang ikan peliharaan, Mama wajib baca petua yang Mama Siti kongsikan kali ini. Ikan hiasan jenis ikan laga boleh dikategorikan sebagai ikan yang sensitif.
Ada cara tertentu nak jaga. Kalau tersilap sikit, ikan boleh cedera ataupun mati. Bagi memastikan ikan bahagia dan sihat, Mama perlu buat penjagaan rapi dan tak boleh ambil mudah.
Jom, Mama Siti tunjukkan cara jaga ikan laga yang betul.
10 Cara Menjaga Ikan Laga Yang Betul
#1 Letak dalam Bekas Asing
Ikan laga jantan cenderung bertindak agresif dengan ikan laga jantan yang lain. Dalam sesetengah kes, ikan laga jantan juga boleh mencederakan ikan laga betina. Kedua-dua situasi ini boleh mendorong kepada kematian salah satu ikan atau kedua-duanya sekali.
Lebih baik Mama letakkan ikan laga secara berasingan kecuali jika ia dibesarkan dalam satu bekas sejak menetas dan tidak pernah dipisahkan.
#2 Keadaan Akuarium
Saiz tangki juga memainkan peranan terhadap tumbesaran ikan laga. Keadaan tangki juga mempengaruhi kualiti air dalam akuarium.
Apabila ada banyak ikan dalam akuarium kecil, air akan cepat kotor. Kualiti air yang kurang bersih menyebabkan ikan tertekan dan mendorong kepada jangkitan penyakit hingga akhirnya mati.
#3 Hias Seperti Habitat Asal
Memandangkan ikan laga berasal dari air tawar tropika maka dinasihatkan kepada Mama yang membela ikan ini agar menghiaskan tangki dengan tumbuhan akuatik.
Kelebihan meletakkan tumbuhan akuatik ialah ia dapat mengawal kadar kebersihan tangki dengan menggunakan bahan buangan ikan sebagai baja.
#4 Makanan Berkualiti
Jangan asal beri makan, pastikan makanan ikan laga berkhasiat dan berkualiti. Contoh-contoh makanan hidup ikan laga adalah seperti:
- Telur kuning
- Artemia
- Larva nyamuk
- Infusoria
Mama boleh selang-seli kan dengan makanan jenis palet dan kapsul agar ikan laga membesar dengan sihat.
#5 Daun Ketapang
Ada apa pada daun ketapang?
Secara semula jadinya daun ketapang mengawal kadar pH air yang beralkali tinggi. Selain itu, ia juga bermanfaat kepada ikan laga kerana boleh membunuh bakteria dalam air, anti kulat dan sebagai tonik untuk air di dalam akuarium.
Hasilnya ikan laga akan kurang stress, bahagia dan aktif sekaligus memanjangkan hayat ikan laga.
#7 Bahan Semula Jadi Dalam Akuarium
Tempat paling selesa untuk hidup ialah di rumah sendiri. Sama seperti ikan laga, semakin serupa tangkinya dengan habitat asal, semakin mudah ia beradaptasi dengan keadaan.
Letakkan kayu, pasir dan batu dengan saiz yang bersesuaian dan susunkan cantik-cantik. Semua bahan-bahan ini boleh diperolehi di kedai haiwan ternakan.
#8 Garam Dalam Air
Tujuan menambahkan garam dalam akuarium ikan laga adalah untuk mengawal kadar pH. Julat pH untuk habitat air tawar tropika ialah antara 7 hingga 7.5 dengan suhu 23℃ hingga 26 ℃.
Kepentingan garam kepada ikan laga pula ialah dapat merawat penyakit yang menjangkiti insang ikan laga atau dikenali dengan nama Fish Fungus.
Perhatian: Pastikan Mama hanya gunakan garam yang dijual di kedai ikan peliharaan sahaja.
#9 Periksa Kualiti Air
Dinding tangki yang kotor dan air yang berkeladak mengakibatkan penyakit dan kematian kepada ikan laga. Sebaiknya Mama perlu jadikan rutin menukar air dua hingga tiga kali seminggu agar air dalam tangki sentiasa bersih.
#10 Waktu Makan Berjadual
Makan terlalu sedikit atau terlalu pun tak elok juga untuk kesihatan ikan. Rata-rata orang yang memelihara ikan laga memberi makan sebanyak dua kali setiap hari.
Kuantitinya pula bergantung pada bilangan ikan. Makanan yang tidak dimakan akan terurai dan membuatkan akuarium kotor.
Moga-moga lepas kita ambil tahu cara jaga ikan laga yang betul ini, haiwan peliharaan kita akan semakin sihat. Tak nak lah nanti ikan cepat mati walaupun baru beli.
Jadi, Mama ingat ya. Ada penjagaan khas kalau nak pelihara ikan hiasan ini. Tak boleh sembarang letak dan kena selalu pastikan ikan tak stress.
Dapatkan pelbagai tips yang lain di SINI.