Diurut memang enak rasanya. Ringan rasa seluruh badan. Malah ada sesetengah orang boleh jadi ketagih. Tidak mengurut sebulan sekali, badan akan rasa lenguh-lenguh dan tidak bermaya. Agaknya apa yang menariknya setelah diurut? Apalagi tubuh akan menjadi segar setelah urat-urat dibetulkan dan pengaliran darah berjalan dengan lancar. Kesannya di malam hari, tidur akan menjadi nyenyak hingga ke subuh.
Urut, sama ada urut tradisional, urut thai, urut reflesology, urut SPA dan sebagainya mempunyai tujuan yang sama iaitu perlakuan bagi melancarkan perjalanan atau pengaliran darah dalam tubuh badan. Terdapat tukang urut yang mewarisi urut dari keluarga atau keturunan, ada juga yang mempelajari secara khusus dan juga yang menggabungkan kedua-dua nya bagi menjadikan urutan lebih berkesan. Ada tukang urut mewarisi dan mempelajari cara mengurut dari ibu, ayah, datuk atau nenek mereka, ada juga yang mempelajarinya secara khusus untuk mendapatkan ilmu tersebut.
Aliran darah dalam tubuh umpama longkang. Sekiranya air longkang mengalir baik maka tidak perlu disapu. Tetapi apabila longkang mula tersumbat dengan longgokan lemak atau pasir atau sampah maka pertolongan bagi melepaskan loggokan itu diperlukan. Begitu juga dengan badan anda, urat atau pembuluh darah yang tidak lancar akan mengakibatkan tangan, kaki atau tubuh menjadi kebas dan lebih parah lagi susah untuk bergerak! Apabila kesukaran pergerakan bermula maka berbagai masalah praktikal yang akan timbul.
Masalah yang sering dihadapi oleh lelaki atau wanita ialah banyak angin. Masalah angin yang tidak dirawat boleh menyebabkan pelbagai masalah lain seperti letih lesu, sakit kepala, sakit-sakit badan dan sendi, senak perut, lenguh, rasa bisa di belakang dan banyak lagi. Punca banyak angin ini juga adalah pelbagai. Sebaiknya pakai stokin semasa tidur. Tapak kaki yang terdedah memudahkan angin masuk ke dalam badan. Semasa berjalan di dalam rumah seeloknya memakai selipar kerana lantai jubin sejuk dan boleh memudaratkan kesihatan. Pemakanan juga menjadi salah satu penyebab banyak angin.
TUJUAN UTAMA MERAWAT GUNA TEKNIK URUTAN
1) Membaiki sistem perjalanan darah yang tersumbat
2) Menghilangkan kepenatan selepas bekerja seharian (santai)
3) Untuk membuang angin di dalam badan,kerana angin kalau tidak dibuang akan membuatkan seseorang merasa badan sengal-sengal dan lenguh-lenguh disebabkan darah tidak berjalan dengan lancar.
4) Membetulkan urat saraf yang tersimpul akibat terkehel, terpelecok, bengkak kaki kerana berdiri/berjalan lama
5) Merawat urat saraf wanita lepas bersalin dan memulihkan tenaga kembali
KEBAIKAN MENGURUT
- Memberikan tidur yang lebih nyenyak
Mengurut kaki sambil mendengar lagu kesukaan akan menimbulkan rasa tenang dan mengembalikan tenaga. Rasa tenang dan nyaman itu akan membuatkan tidur anda lebih nyenyak.
- Melancarkan aliran darah
Gaya hidup dan kasut yang dipakai seharian boleh menghambarkan aliran darah dalam badan. Menutup hari dengan mengurut kaki boleh membantu melancarkan semula pengaliran darah yang sudah terganggu sepanjang hari.
- Menghilangkan lenguh pada kaki
Masalah kelenguhan kaki boleh diatasi dengan cara urutan yang betul. Masalah bau pada kaki juga boleh menyebabkan aliran darah menjadi kurang lancar.
- Menstabilkan tekanan darah
Beberapa kajian mendapati urutan kaki dapat menstabilkan tekanan darah terutamanya jika seseorang itu mempunyai tekanan darah tinggi.
KELEBIHAN GUNA MINYAK KELAPA KETIKA MENGURUT
1) Melancarkan pergerakan urutan; sebagai bahan utama yang digunakan untuk melicinkan proses urutan ,di samping untuk mengelakkan rasa sakit akibat urut tradisional
2) Bertindak sebagai pelembab
3) Mengelak kulit kering dan menggelupas
4) Melambatkan proses penuaan (keanjalan & kelembutan lebih ketara)
5) Merawat sakit kulit
URUTAN TAPAK KAKI ATAU REFLLEKSOLOGI
- Ketidakselesaan pada telapak dan tulang kaki boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti sakit pinggang, bahu, tengkuk dan sembelit kerana kesihatan kaki memberi kesan besar terhadap organ dalaman individu. Rawatan refleksologi kaki membantu individu mencapai tahap kesihatan yang lebih berkualiti kerana ia disifatkan sebagai terapi alternatif dengan mengaplikasi urutan pada titik tertentu di tapak kaki.
- Refleksologi juga dikatakan sebagai rawatan yang berguna untuk kesihatan badan kerana kajian membuktikan refleksologi membantu mengurangkan tekanan dan mempengaruhi sistem saraf utama supaya kembali kepada kadar yang optimum.
- Ilmu refleksologi merupakan teknik mengurut titik refleksi yang terdapat di sekitar tapak kaki pesakit. Cara pengubatan ini berasal dari China dan telah diamalkan beribu tahun lamanya sebelum berkembang ke seluruh dunia. Antara keistimewaan pengubatan secara urut refleksi ni adalah ia selamat dan mudah cuma rasa sakit sedikit semasa diurut. Rasa sakit merupakan penunjuk kepada masalah kesihatan tubuh badan anda.
- Kaki adalah anggota yang sangat kompleks merangkumi 26 tulang, 57 sendi, 107 ligamen dan 19 otot. Kecederaan tulang, sendi dan ligamen mampu memberi komplikasi kesihatan tubuh seseorang antaranya rasa lenguh lutut, tegang pada bahagian bahu dan masalah buang air besar. Secara semula jadi, tulang tapak kaki manusia agak melengkung. Ia bagi memberikan kekuatan yang lebih untuk menyokong berat badan dan pergerakan. Bagaimanapun, kedudukan tulang tapak kaki boleh berubah jika ia menerima tekanan terus menerus dan tidak diberikan perhatian sewajarnya.
- Maksud Titik Refleksi adalah ‘titik pusat urat saraf’. Setiap titik ada kaitan dengan organ tubuh tertentu, jadi dengan mengurut bahagian refleksi akan melancarkan perjalanan darah pesakit. Setiap titik urutan pada tapak kaki mampu melancarkan pengaliran darah sekali gus memelihara anggota tubuh yang lain misalnya urutan pada tengah tapak kaki berkesan untuk merangsang tindak balas terhadap kawasan refleks adrenal dalam tubuh selain membantu melancarkan sistem penghadaman.
- Lengkungan tulang tapak kaki setiap orang tidak sama. Secara umumnya ia boleh dibahagikan kepada tiga iaitu lengkungan normal, tinggi atau rendah. Kajian mendapati individu yang memiliki lengkungan tulang tapak kaki normal lebih beruntung kerana tekanan berat badan dapat diagihkan sama rata pada keseluruhan tapak kaki sekali gus kedudukan pergerakan mereka lebih stabil.
- Urutan refleksologi kaki ini sesuai kepada semua peringkat umur selain memberi kesegaran berpanjangan, rawatan berkenaan juga membantu meningkatkan daya ketahanan diri dan menambah keselesaan ketika bergerak. Setiap tekanan pada kedua-dua belah tapak kaki akan dilakukan berulang iaitu tiga hingga lima kali. Tekanan pada 30 titik urutan ini mewakili pelbagai organ dalam badan antaranya hati, pundi kencing, jantung, lutut, siku, tulang belakang, dubur dan kerongkong.
- Urutan ini juga sesuai bagi warga tua yang mengalami sakit sendi dan sengal tulang kerana ia mengembalikan semula kedudukan lengkungan tulang pada tapak kaki yang tidak sejajar selain sesuai kepada wanita yang gemarkan aktiviti lasak. Kebiasaannya masalah kaki tidak dapat dikesan dalam tempoh singkat dan kesakitan mula dirasai apabila usia mencecah 30 tahun. Kesakitan kaki mempengaruhi fungsi asas kaki selain membataskan pergerakan.
- Langkah pencegahan perlu dengan memastikan otot, tulang, sendi dan ligamen sentiasa terpelihara. Wanita tidak boleh mengabaikan penjagaan kaki kerana ia sama penting dengan anggota badan yang lain seperti wajah, rambut dan kuku. Urutan refleksologi kaki ini dilakukan kurang daripada satu jam. Bagi individu yang mengalami masalah bisa pada bahagian tapak kaki disaran melakukan rawatan ini untuk memperoleh kelegaan. Individu digalakkan minum banyak air masak selepas sesi urutan agar toksin lebih mudah dibuang dari badan.
- Untuk membolehkan badan kita berfungsi secara normal, setiap organ memerlukan darah kerana darahlah yang membawa zat makanan yang diperlukan oleh badan seperti oksigen, hormon, antibodi serta membawa keluar bahan buangan kotor(toksin) dalam badan. Lancarnya perjalanan darah maka makin sihatlah badan kita. Jika salah satu organ badan sakit, maka ia memerlukan perjalanan darah yang lancar untuk membantu menyembuhkan penyakit itu.
TANDA-TANDA SAKIT SEMASA DIURUT.
Seperti yang disebutkan tadi, jika perjalanan darah tidak lancar, organ tubuh akan terhalang dari mendapat zat makanan, manakala bahan buangan yang patut dikeluarkan tertahan-tahan maka kotoran/toksin tu mendap dalam saluran darah. Maka fungsi bahagian badan anda akan terganggu sebab tak cukup darah dan zat makanan, lalu timbullah penyakit. Biasanya pakar urutan ini dapat meneka penyakit yang dialami kerana titik refleksi yang sakit akan rasa macam berpasir, maksudnya ada mendapan toksin dalam saluran darah. Jika rasa sakit semasa diurut, itu tandanya bahagian badan berkenaan ada penyakit. Jadi itulah perlunya ia diurut untuk melancarkan perjalanan darah supaya darah terus membawa zat makanan manakala mendapan toksin dapat dikeluarkan.
Sumber: Internet