Cadangan untuk memperkenalkan bahasa-bahasa ASEAN seperti Thai, Khmer, dan Vietnam dalam sistem pendidikan negara hanyalah sebagai pilihan elektif, sama seperti bahasa-bahasa asing lain yang sudah ada di sekolah sebelum ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Fadhlina Sidek, menegaskan bahawa pengenalan bahasa-bahasa tersebut tidak akan menggantikan atau mengetepikan bahasa-bahasa yang sudah menjadi pertuturan harian rakyat Malaysia seperti Bahasa Mandarin dan Tamil.
“Bahasa asing ini sebenarnya sudah lama diperkenalkan di peringkat sekolah sebagai mata pelajaran elektif. Ada bahasa Jerman, Perancis, dan banyak lagi. Jadi, tiada isu untuk kita mengabaikan mana-mana bahasa yang sudah ada,” jelas beliau.
Tambah Fadhlina, di sekolah-sekolah vernakular, Bahasa Tamil dan Bahasa Cina tetap menjadi bahasa utama, selain Bahasa Melayu yang diutamakan sebagai bahasa kebangsaan.
“Jadi saya rasa tidak wujud masalah kerana bahasa yang dicadangkan hanya sebagai alternatif atau elektif sahaja,” katanya selepas mengunjungi calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent (M) Kajang.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan peluasan pilihan bahasa elektif yang merangkumi bahasa tempatan seperti Mandarin dan Tamil, serta bahasa ASEAN bagi mengukuhkan hubungan serantau.
Walaupun begitu, ada pihak yang berpendapat tumpuan perlu diberikan lebih kepada bahasa yang telah lama dituturkan di negara ini.

Mama Siti yakin KPM pastinya sudah merangka pelan yang terbaik dan teratur untuk membantu pelajar menguasai bahasa ASEAN dengan lebih berkesan.
Mama Papa tak perlu bimbang, usaha ini bukanlah untuk menambah beban atau tekanan kepada anak-anak, tetapi lebih kepada memperluas kemahiran dan kelebihan mereka dalam dunia yang semakin global.
Penguasaan lebih daripada satu bahasa bukan sahaja menjadikan anak-anak lebih yakin, malah membuka lebih banyak peluang di masa hadapan sama ada dalam pendidikan, kerjaya ataupun dalam pergaulan harian.
Dalam dunia serba pantas hari ini, kebolehan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa adalah satu aset yang sangat bernilai. Jadi, mari kita sama-sama sokong usaha ini demi masa depan anak-anak juga.
Ketahui lebih banyak isu yang viral dan trending sekarang di SINI.