Tumor otak selalunya bersifat ‘senyap,’ jarang berlaku, namun tidak dapat dinafikan amat berbahaya. Justeru itu, penyakit ini memerlukan lebih banyak perhatian di negara kita. Di Malaysia, tumor otak menyumbang kepada 1.6 peratus kes kanser terbaru yang melibatkan otak dan sistem saraf pada tahun 20201.

Pakar Bedah Saraf
Pada 2022, lebih 300,000 kes tumor otak telah dilaporkan di seluruh dunia, menjadikannya kanser ke-19 paling lazim di dunia2. Namun, walaupun jarang berlaku, tumor otak menduduki tempat ke-12 sebagai punca kematian yang berkaitan dengan kanser, dan inilah akibat buruk daripada diagnosis yang tertangguh2.
“Kebiasaanya, kami berjumpa pesakit yang hadir dengan tumor otak peringkat akhir,” kata Dr Mah Jon Kooi, Pakar Bedah Saraf di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV). “Hal ini boleh dikaitkan dengan fakta bahawa symptom tumor otak bergantung pada lokasi tumor tersebut dan bagaimana ia mempengaruhi fungsi otak yang tertentu. Apabila simptom seperti masalah memori atau masalah pertuturan berlaku pada individu yang lebih tua, ia sering disalah anggap sebagai simptom penuaan, menjadikan pengesanan awal tumor otak lebih mencabar.”
Dengan sambutan Hari Kesedaran Tumor Otak baru-baru ini, terdapat peringatan penting untuk mengutamakan kesihatan saraf dan otak, serta untuk bertindak lebih pantas apabila simptom kecill atau simptom yang tidak dapat dijelaskan berlaku pada seseorang individu tanpa mengira usia.
Apa Itu Tumor Otak?
Tumor otak merujuk kepada pertumbuhan sel yang tidak normal di dalam otak dan boleh dikategorikan sebagai benigna (bukan kanser) atau malignan (kanser)3. Dr Mah menjelaskan bahawa tumor otak boleh diklasifikasikan sebagai primer (bermakna ia berasal dari dalam otak itu sendiri), atau sekunder yang juga dikenali sebagai tumor metatastik, yang berlaku apabila kanser telah merebak ke otak dari bahagian badan yang lain.

Pakar Bedah Saraf
Walaupun terdapat lebih 100 jenis tumor otak primer yang diketahui, Dr Gerard Arvind Martin, Pakar Bedah Saraf di SMCV menyatakan bahawa tumor sekunder lebih banyak berlaku, dan lima sehingga sepuluh kali lebih kerap berlaku daripada tumor otak primer.
Walaupun terdapat jenis-jenis tumor otak yang berbeza, ia akan hadir dengan symptom awal yang serupa. Ini mungkin termasuk sakit kepala yang kerap atau berlaku secara tiba-tiba, rasa loya, gangguan penglihatan seperti penglihatan berganda atau kehilangan penglihatan separa, kesukaran pertuturan atau ingatan, kehilangan keseimbangan, dan perubahan mendadak dalam personaliti atau tingkah laku.
Walau bagaimanapun, simptom ini boleh berlaku secara berbeza dan bergantung kepada lokasi tumor di dalam otak. Dr Mah berkongsi bahawa tumor yang berlaku di lobus depan atau frontal lobe boleh menjejaskan fungsi kognitif yang lebih tinggi seperti personaliti, tingkah laku sosial, kawalan impuls, emosi, pergerakan dan pertuturan.
Manakala tumor di lobus temporal (temporal lobe), yang memproses bunyi, bahasa dan ingatan, lebih berkemungkinan untuk mengakibatkan masalah pertuturan dan kehilangan ingatan. Dr Mah menambah bahawa hampir separuh daripada semua pesakit tumor otak mengalami beberapa bentuk gangguan ingatan, walaupun ia selalunya bergantung pada saiz dan lokasi tumor tersebut.
Untuk mengesahkan tumor otak, ujian pengimejan diagnostik memainkan peranan yang amat penting. Ujian imbasan seperti CT dan MRI dengan kontras yang dipertingkatkan penting untuk mengenal pasti saiz, jenis dan lokasi tumor yang tepat di dalam otak.
“MRI secara amnya lebih banyak digunakan kerana ia dapat memberikan imej otak yang lebih terperinci dan boleh membezakan tisu normal dan tidak normal dengan lebih baik,” kata Dr Mah. Tahap ketepatan ujian pengimejan diagnostik ini adalah penting untuk doctor pakar merancang jenis rawatan dan menentukan sama ada tumor boleh dibuang melalui pembedahan atau tidak.
Fahami Punca dan Risiko yang Menyebabkan Tumor Otak Berlaku
Dalam kebanyakkan kes, tumor otak selalunya tidak berasal dari otak itu sendiri tetapi berkembang akibat metastasis (merebak) daripada kanser di tempat lain di dalam badan. “Kanser seperti paru-paru, payudara, kolon, dan melanoma berkemungkinan besar untuk bermetastasis ke otak, dan ini amat biasa dilihat,” kata Dr Gerard Arvind.
Malah, sehingga 40 peratus pesakit kanser paru-paru akan mengalami tumor otak sekunder pada satu tahap penyakit kanser mereka. Satu kes baru yang telah dilaporkan secara meluas pada Mac 2025 ialah berita mengenai seorang ahli politik tempatan yang mendedahkan bahawa kanser paru-parunya telah merebak ke otaknya dan mengakibatkan tumor otak yang berukuran 3cm.

Punca tepat mengapa kanser tertentu lebih cenderung untuk bermetastasis ke otak masih tidak jelas. Namun, ia biasanya berlaku apabila sel-sel kanser memisahkan diri dari tumor primer, bergerak melalui aliran darah, dan bersarang di otak di mana ia mula membentuk ketulan tumor.
Walaupun faktor genetik, gaya hidup dan persekitaran juga boleh menyumbang kepada pembentukan kanser, punca sebenar mengapa kebanyakan tumor otak berlaku selalunya tidak diketahui. Dr Gerard Arvind menjelaskan bahawa genetik memainkan peranan yang penting dalam menentukan risiko keseluruhan seseorang untuk mendapat tumor otak sepanjang hayat mereka.
Dalam kes sedemikian, faktor berkaitan gaya hidup mungkin bertindak sebagai pencetus kepada individu yang membawa ciri genetik asas ini, lalu berpotensi membawa kepada perkembangan tumor dari semasa ke semasa.
Jenis Rawatan untuk Tumor Otak
Memandangkan terdapat pelbagai ketidakpastian yang menyelubungi punca tumor otak berlaku, pengesanan awal selepas menghadapi simptom kekal sebagai faktor yang paling sesuai dalam menentukan keadaan dan pelan rawatan untuk pesakit.
Sebaik sahaja tumor otak didiagnosis dari segi jenis, saiz dan lokasinya, pakar bedah saraf akan menentukan pelan rawatan yang paling sesuai. Walau bagaimanapun, pembedahan kekal sebagai salah satu rawatan yang paling berkesan, terutamanya untuk tumor yang boleh diakses.
Salah satu prosedur pembedahan yang direkomendasi ialah craniotomy, di mana sebahagian tengkorak akan dikeluarkan buat sementara waktu untuk membolehkan pakar bedah saraf mengakses otak. Dalam sesetengah kes, prosedur ini boleh dilakukan dengan pesakit terjaga (awake craniotomy), di mana prosedur yang sangat khusus ini dilakukan untuk memantau dan memastikan pesakit kekal responsif semasa pembedahan untuk membolehkan pasukan pembedahan memantau fungsi neurologi penting seperti pertuturan, pergerakan atau penglihatan dalam masa nyata, dan membantu mengekalkan kawasan kritikal otak.

Untuk tumor kecil atau sukar dicapai yang menjadikan pembedahan craniotomy mencabar, prosedur radiosurgeri menawarkan alternatif bukan invasif. Walaupun namanya mempunyai surgeri, prosedur ini tidak melibatkan sebarang hirisan pembedahan tetapi menggunakan radiasi dos tinggi yang disasarkan dengan tepat untuk mengecutkan atau mengawal tumor, dan prosedur ini selalunya diselesaikan dalam satu sesi sahaja.
Pilihan pembedahan lain adalah dengan penggunaan endoskop, terutamanya untuk tumor yang terletak di pangkal tengkorak atau dalam kawasan pituitari. Menurut Dr Gerard Arvind, prosedur ini melibatkan kemasukan endoskop nipis, dan dilengkapi dengan cahaya dan kamera, melalui saluran hidung untuk mengakses tumor otak tersebut.
Kaedah ini membolehkan pakar bedah saraf melakukan prosedur dengan lebih tepat dan mengurangkan gangguan yang minima pada tisu sekeliling otak. Pesakit yang menjalani prosedur pembedahan endoskop juga sering mendapat manfaat masa pemulihan yang lebih cepat, kemasukan hospital yang lebih singkat dan mengurangkan sebarang ketidakselesaan selepas pembedahan.

Di SMCV, teknik pembedahan ini telah berjaya digunakan untuk merawat kes tumor pituitary yang sering dikenal pasti oleh pengamal am atau pakar oftalmologi apabila pesakit mengalami gejala seperti gangguan penglihatan dan sakit kepala yang teruk.
Menerangkan salah satu kegunaan biasa yang lain dalam prosedur pengalihan cecair serebrospinal (CSF), Dr Gerard Arvind mengimbas kembali kes yang tidak dapat dilupakannya, melibatkan pesakit kanser paru-paru dengan tumor sekunder dalam otak besar yang telah menyekat aliran CSF, menyebabkan tekanan yang mengancam nyawa di otak.
Daripada meletakkan shunt kekal untuk mengalihkan cecair ke dalam perut, pasukan pembedahan SMCV telah melakukan pembedahan ventrikulostomi endoskopik ketiga untuk memulihkan peredaran CSF, diikuti dengan penyingkiran tumor, semuanya dalam satu sesi.
Pesakit itu kemudiannya pulih dengan baik dan dapat meneruskan rawatan kemoradioterapinya seperti yang dirancang. Hal ini mencerminkan kemajuan dalam penjagaan neurosurgikal yang diselaraskan dengan baik yang boleh meningkatkan hasil rawatan pesakit tumor otak dengan ketara.
Diagnosis Bukanlah Penamat Hidup, Ia Permulaan Untuk Mendapatkan Bantuan

Tumor otak mungkin jarang berlaku, tetapi simptomnya tetap ada walaupun selalunya dianggap sebagai simptom biasa. Daripada sakit kepala yang berterusan kepada perubahan mood, mengenali tanda-tanda ini lebih awal boleh mebawa kepada perbezaan yang dan hasil rawatan yang berbeza.
Pengesanan awal bukan sahaja boleh meningkatkan peluang rawatan yang berkesan, tetapi juga membuka pintu dan peluang untuk pesakit menjalani prosedur yang kurang invasif dan mendapatkan hasil yang lebih baik.
Diagnosis tumor otak bukanlah penamat kehidupan. Dengan kemajuan berterusan dalam ujian diagnostik dan teknik pembedahan invasif minimum, para pesakit pada era ini mempunyai pilihan yang lebih baik dan harapan yang lebih besar untuk pulih berbanding sebelum ini.
Dengan tindakan yang tepat pada masanya dan bimbingan serta sokongan yang betul daripada penyediaan penjagaan kesihatan dan dari mereka yang tersayang, anda boleh pulih sepenuhnya dari tumor otak.
Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi +603 9772 9191 atau emel smcv-enquiry@sunway.com.my. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Sunway Medical Centre Velocity, sila layari www.sunmedvelocity.com.my (Facebook: Sunway Medical Centre Velocity).
Rujukan
- https://gleneagles.com.my/medical-specialties/oncology/brain-tumour
- https://gco.iarc.who.int/media/globocan/factsheets/populations/900-world-fact-sheet.pdf
- https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/6149-brain-cancer-brain-tumor
Nak tahu lebih banyak tentang dunia keibubapaan, kesihatan & tip berguna? KelabMama ada semua. Klik di SINI.