Isu anak dibuli atau pembuli semakin membimbangkan kerana kesannya bukan sekadar pada fizikal, tetapi juga terhadap emosi, keyakinan diri dan perkembangan sosial anak-anak.
Ia bukan sekadar berlaku di sekolah, tetapi juga di alam maya menerusi mesej, media sosial, dan permainan dalam talian. Ada Mama Papa masih menganggap buli sebagai perkara biasa dalam proses membesar, kononnya “budak-budak bergurau kasar je.”
Tapi sebenarnya, kesan buli boleh jadi sangat mendalam sama ada anak menjadi mangsa buli atau pembuli itu sendiri. Sebagai Mama Papa, kepekaan dan pemerhatian kita amat penting.
Ia boleh meninggalkan luka dalam jiwa yang sukar dipulihkan dan memberi kesan jangka panjang terhadap keperibadian anak.
Tanda-Tanda Anak Mungkin Mangsa Buli

Anak yang dibuli biasanya tak terus mengaku. Mereka takut dianggap lemah, malu nak bercerita, atau risau akan menyusahkan Mama Papa.
Tapi sebenarnya, tubuh dan emosi mereka tak pandai berbohong. Antara tanda-tanda yang Mama Papa boleh perhatikan:
- Tak nak ke sekolah. Setiap pagi ada sahaja drama tiba-tiba sakit perut, pening, demam. Kadang dia bukan malas, tapi takut nak berdepan dengan sesuatu di sekolah.
- Barang sekolah kerap hilang atau rosak. Pensil patah, buku koyak, beg hilang tapi jawapan anak selalu tak konsisten.
- Perubahan emosi. Anak yang dulu ceria kini cepat menangis, mudah marah, atau suka mengasingkan diri.
- Ada lebam atau luka kecil tanpa sebab jelas. Bila ditanya, anak cuma kata “terjatuh” cuba sembunyikan atau beri alasan tak logik.
- Prestasi pelajaran merosot. Bila jiwa terganggu, fokus pun hilang.
- Nampak murung atau cepat menangis tanpa sebab. Anak yang dulunya ceria tiba-tiba jadi pendiam dan mengasingkan diri.
Mama Papa, kalau nampak tanda-tanda ni jangan biar diam. Peluk anak, tanya perlahan-lahan. Kadang mereka cuma perlukan ruang untuk rasa selamat sebelum bercerita.
Macam Mana Kalau Anak Kita Sebenarnya Pembuli?
Selain menjadi mangsa, ada juga anak yang tanpa sedar menjadi pembuli. Mereka mungkin belajar tingkah laku ini daripada rakan sebaya atau persekitaran.

Tanda-tanda anak mungkin seorang pembuli:
- Suka menguasai dan menakutkan orang lain. Contohnya suka arahkan kawan ikut cakap dia atau ugut dengan nada kasar.
- Menggunakan kekerasan bila marah. Anak cepat naik tangan, tolak, atau marah bila tak dapat apa yang dia nak.
- Tidak ada rasa empati. Mereka ketawa bila orang lain sedih atau jatuh — dan anggap itu lawak.
- Suka cari salah orang lain. Bila ditegur, mereka cepat menuding jari kepada orang lain.
- Bergaul dengan kumpulan agresif. Anak mungkin terpengaruh dengan kawan-kawan yang suka bergaduh atau mengejek orang.
Kalau betul anak kita pembuli jangan terus marah atau hukum tanpa berbincang. Cuba faham dulu penyebab anak jadi pembuli.
Kadang pembuli juga sebenarnya budak yang tengah cari perhatian, rasa kurang disayangi, atau meniru apa yang dia nampak dari sekeliling.
Apa Tindakan yang Mama Papa Boleh Buat?

- Mulakan komunikasi dengan lembut. Jangan menekan, tapi ajak berbual dengan penuh kasih. “Mama perasan adik murung je akhir-akhir ni, ada apa-apa ke jadi kat sekolah?”
- Dengar tanpa menghakimi. Bagi ruang anak luah tanpa takut dimarahi. Kadang mereka cuma perlukan seseorang yang benar-benar mendengar.
- Ajar empati dan kawalan emosi. Mulakan dari rumah dengan minta maaf bila salah, tolong bila orang perlukan bantuan, dan jangan ketawakan kekurangan orang lain.
- Tunjuk teladan positif. Cara kita marah, bercakap, dan menyelesaikan masalah adalah contoh terbaik untuk anak.
- Jangan normalisasikan ejekan. “Ala gurau je” mungkin nampak kecil, tapi boleh jadi luka besar pada hati orang lain.
- Libatkan guru atau pihak sekolah. Bincang dengan guru kelas untuk tahu situasi sebenar.
- Dapatkan bantuan profesional jika perlu. Jika anak menunjukkan tanda trauma atau agresif melampau, kaunselor atau psikologis kanak-kanak boleh bantu.
Anak-anak belajar lebih banyak dari pemerhatian berbanding nasihat. Kalau mereka selalu nampak Mama Papa bercakap dengan hormat, bersabar bila marah, dan menghargai orang lain, mereka pun akan bawa nilai yang sama ke luar rumah.
Sebaliknya, kalau anak biasa dengar kita menjerit, menghina, atau bergaduh di rumah, mereka akan fikir itu cara normal untuk tunjuk kuasa. Dan dari situlah kitaran buli boleh bermula.

Sama ada anak dibuli atau pembuli, kedua-duanya perlukan kasih sayang dan bimbingan, bukan hukuman semata-mata. Dunia mereka masih kecil, dan Mama Papa lah panduan utama mereka untuk faham apa itu empati, hormat dan keberanian untuk buat yang betul.
Jadi Mama Papa, bila nampak perubahan pada anak, Mama Papa jangan anggap “alah, biasa lah budak-budak.” Kadang di sebalik diamnya anak, ada kisah yang berat dia tanggung sendiri.
Pegang tangan anak, dengar tanpa menghakimi, dan tunjukkan pada mereka yang rumah ini sentiasa tempat paling selamat untuk pulang.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Terokai lebih banyak panduan dan ilmu keibubapaan untuk Mama Papa di SINI.
