HOMESOY terus komited untuk meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara dan menyokong usaha pengesanan awal menerusi kempen ‘Stop That Dot Together’ yang kini memasuki tahun ketiga.
Kempen tahun ini turut memberi tumpuan kepada tindakan bersama dengan memperluas penglibatan masyarakat agar setiap individu dapat memainkan peranan dalam menggalakkan ujian saringan awal.
Selain melibatkan golongan wanita, HOMESOY turut memperkasa pasangan, ahli keluarga, sahabat serta komuniti untuk bersama-sama membantu wanita mengambil langkah pertama yang penting ini.

“Di HOMESOY, kami percaya dalam usaha menyokong kesihatan dan kesejahteraan wanita di setiap peringkat kehidupan mereka. Kesihatan payudara merupakan sebahagian penting daripada komitmen tersebut, dan kami percaya tiada wanita yang harus mengharungi perjalanan ini bersendirian. Saban tahun, kempen ini telah berkembang daripada meningkatkan kesedaran kepada satu gerakan yang diterajui komuniti – menggalakkan keluarga, sahabat dan komuniti memainkan peranan aktif dalam menyokong wanita di sekeliling mereka. Melalui kerjasama erat ini, kami berharap dapat memperkasa lebih ramai wanita untuk mengutamakan kesihatan payudara mereka dengan penuh keyakinan, sokongan dan tanpa rasa takut,” kata Pengarah Pemasaran Ace Canning Corporation Sdn. Bhd., Chang Wan Ping.
Menyatukan Rangkaian Sokongan: Daripada Keluarga Hingga ke Pihak Hospital
Bagi menggalakkan peralihan ke arah tanggungjawab bersama ini, HOMESOY melancarkan sebuah video eksperimen sosial yang menyentuh hati. Ia mengetengahkan cabaran yang sering dihadapi oleh wanita apabila ingin menjalani saringan, dan menunjukkan bagaimana galakan proaktif daripada insan tersayang dapat mendorong mereka bertindak awal.
“Sebagai suami, abang, anak, dan pasangan, golongan lelaki mempunyai peranan penting sebagai penyokong kepada wanita,” kata Mohamad Faiz Bahruddin, 36, suami kepada seorang bekas pejuang kanser payudara. “Sama ada membantu menghantar orang tersayang menghadiri janji temu mamogram, memberikan kata-kata semangat, atau menggalakkan perbualan terbuka mengenai kesihatan di rumah, golongan lelaki juga boleh membantu merapatkan jurang antara kesedaran dan tindakan.”

Demi menterjemahkan kesedaran kepada sokongan yang nyata di seluruh Malaysia, HOMESOY menyumbang bantuan kewangan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bagi menjayakan program saringan di seluruh negara, serta Penyelidikan Kanser Malaysia (CRMY) bagi membiayai kajian khusus terhadap wanita Malaysia.
Selain itu, HOMESOY bekerjasama dengan NCSM dan lebih 40 pusat perubatan di seluruh negara, termasuk Pusat Perubatan Sunway, Pusat Perubatan Subang Jaya, Pusat Perubatan Prince Court, serta hospital KPJ dan Columbia Asia untuk memberi ganjaran kepada pilihan kesihatan yang proaktif. Wanita yang menjalani saringan kanser payudara di lokasi yang mengambil bahagian akan menerima satu pek Susu Soya HOMESOY 3.0 secara percuma, dengan nilai sumbangan keseluruhan berjumlah RM100,000.
Memahami Kepentingan Pengesanan Awal
Menurut WHO GLOBOCAN 2022, kanser payudara menyumbang lebih 30 peratus daripada keseluruhan diagnosis kanser dalam kalangan wanita di Malaysia dan menjejaskan kesihatan 1 daripada 20 wanita sepanjang hayat mereka. Walaupun pengesanan awal mencatatkan kadar kelangsungan hidup hampir 90 peratus, Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia menunjukkan bahawa hampir 50 peratus kes tempatan masih didiagnosis di tahap lewat, iaitu pada Tahap III atau IV, dengan kadar kelangsungan hidup bagi Tahap IV menurun kepada 23 peratus. Selain itu, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan bahawa 75 peratus wanita berusia lebih 40 tahun tidak pernah menjalani ujian mamogram sepanjang hayat mereka, ini menunjukkan betapa pentingnya usaha diperlukan untuk merapatkan jurang saringan ini.

“Pengesanan awal kekal sebagai cara paling berkesan untuk melawan kanser payudara. Saringan secara berkala membolehkan kita mengenal pasti perubahan jauh lebih awal sebelum gejala muncul, iaitu ketika rawatan lebih berkesan dan berpotensi memberikan hasil rawatan yang lebih baik,” jelas Pakar Bedah Am dengan pengkhususan dalam pembedahan payudara Hospital Columbia Asia Klang, Dr. Kiran Kaur Amer Singh.
“Mamogram kekal sebagai standard utama kerana ia mampu mengesan keabnormalan kecil yang belum dapat dirasai melalui sentuhan. Ultrasound juga merupakan kaedah penting, khususnya bagi wanita yang lebih muda dan mempunyai tisu payudara padat. Memandangkan kaedah saringan yang paling sesuai bergantung kepada faktor usia, kepadatan payudara serta risiko, adalah penting untuk wanita mendapatkan nasihat daripada pakar penjagaan kesihatan.”
Menghapuskan Stigma melalui Pendidikan dan Pemakanan
Acara kempen ini turut menampilkan demonstrasi secara langsung menggunakan kit taktil “Know Your Lemons”. Dengan menggunakan model visual 12 biji lemon, kit ini mengajar wanita cara mengenal pasti tanda – tanda fizikal yang tidak ketara selain ketulan biasa, seperti lekukan pada kulit, serta perubahan pada bentuk atau tekstur puting.

“Kesihatan payudara bukan sekadar mencari ketulan pada payudara. Penggunaan alat yang mudah difahami seperti ‘Know Your Lemons’ untuk mendidik wanita agar mengenal pasti dan memahami perubahan kecil yang boleh dilihat atau dirasai dapat meningkatkan kesedaran terhadap tubuh mereka. Ia memberikan keyakinan kepada wanita untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan sebaik sahaja mereka menyedari ada sesuatu yang tidak kena,” kata Komunikator Sains Penyelidikan Kanser Malaysia, Fatin Aina binti Zulkhairi Amin.
Selain menggalakkan saringan awal, kempen ini turut menangani salah faham mengenai pengambilan soya serta menekankan manfaat pemakanan dan kesihatan yang berkaitan dengannya.
“Soya tidak menyebabkan kanser payudara; malah, kajian saintifik semasa menunjukkan bahawa pengambilan makanan berasaskan soya yang lebih tinggi boleh memberi kesan perlindungan terhadap kanser payudara,” jelas Ketua Unit Pemakanan Ace Canning Corporation Sdn. Bhd., Soo Sek Yow. “Walaupun soya mengandungi sebatian tumbuhan semula jadi yang dikenali sebagai isoflavon, iaitu sejenis estrogen berasaskan tumbuhan, sebatian ini tidak bertukar menjadi estrogen manusia di dalam tubuh. Memilih susu soya diperkaya yang berkualiti tinggi merupakan pilihan terbaik untuk memenuhi keperluan pemakanan harian, kandungan protein soya yang lebih tinggi membekalkan lebih banyak isoflavon.”
Dirumus untuk menyokong kesejahteraan wanita setiap hari, HOMESOY 3.0 membekalkan protein lengkap, serat pemakanan, kalsium dan vitamin D. Dengan kandungan lemak tepu yang rendah secara semula jadi, ia membantu menyokong pengurusan berat badan yang sihat serta kesihatan menyeluruh pada setiap peringkat kehidupan.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen ‘Stop That Dot Together’, lokasi acara dan rakan rangkaian saringan, sila layari laman sesawang kami di https://www.homesoy.my/breast-cancer-initiative.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Kelab Mama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Ketahui lebih banyak acara dan berita trending sekarang untuk Mama Papa ketahui DI SINI!
